Sempena Sambutan Maulid Rasul GISB / YKPPM baru-baru ini di Dataran Ikhwan, Bandar Country Homes, Rawang, telah berlangsung satu kursus memasak. Kursus ini bermula pada hari Ahad dan berakhir pada hari Selasa (Hari Sambutan Maulid). Ianya dikendalikan Chef Zamani dan Chef Zul dari sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Kemuncak kursus ialah pertandingan memasak pelbagai menu pilihan.
Khabarnya kursus itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di kalangan remaja dan warga GISB / YKPPM. Menurut Chef Zamani, beliau terdorong untuk membantu kerana melihatkan kesungguhan GISB berada di mana-mana di seluruh dunia. Dia ingin terus membantu memastikan kualiti masakan semua restoran GISB berada di tahap yang memuaskan - sehingga sampai di tahap 5 bintang.
"Kalau boleh semua masakan di Restoran Ikhwan mempunyai 'standart' yang sama di mana jua ianya berada. Kalau makan tomyam Ikhwan tu, benar-benar sama rasanya yang sedap dan enak di mana-mana pun" Itulah kata-kata Chef Zamani ketika berucap di hari penutup kursus.
"Selepas ini saya akan melawat seluruh restoran dan cafe Ikhwan untuk pastikan pelanggan berpuas hati. Ada 3 elemen penting yang perlu diberi perhatian, pertama soal kebersihan, yang ini tidak ada kompromi, kedua soal kualiti masakan, yang ini kena terus belajar. Insya Allah saya dan Chef Zul akan membantu dan yang ketiga layanan yang terbaik dan cepat kepada pelanggan sebab pelanggan adalah sasaran kita." Itulah nada bersemangat serta pesanan Chef yang datang bersama isteri kesayangannya.
Sambungnya lagi, "Apa yang kita masak dan dihidangkan pada pelanggan akan dinilai oleh mereka. Jadi semua staf dan pelayan Restoran Ikhwan kena ikuti kursus berkomunikasi dengan pelanggan dan menjaga penampilan masing-masing" Itulah antara kata-kata Chef Zamani memberikan pandangannya.
Semoga semua warga kerja GISB / YKPPM mengambil perhatian atas apa yang disampaikan. Ianya bukan setakat untuk staf restoran bahkan suatu yang sesuai untuk semua projek dan premis perniagaan kita. Kebersihan dan kekemasan adalah suatu yang sangat dititikberatkan oleh Puan Ibu Hatijah sendiri. Di mana-mana pun Puan Ibu pergi, kebersihanlah yang diberi fokus. Ianya melambang peribadi siapa sahaja yang berada atau bertugas di situ. Para pemimpin akan ditanya kenapa kebersihan terabai. Mereka yang akan kena menjawab.
Pak Lang hanya sempat menyaksikan pertandingan memasak untuk para peserta kursus yang telah mendapat ilmu selama 2 hari dari kedua-dua Chef berkenaan. Walaupun kebanyakannya baru belajar, minat dan kesungguhan mereka menjadi pertanda mereka boleh meningkatkan lagi kemahiran masing-masing.
Jadi saksikanlah gambar-gambar menarik kursus tersebut terutama gambar menu yang siap terhidang untuk dinilai oleh para juri yang diketuai Puan Fauziah Ariffin. Juga ada gambar buah yang diukir cantik. Nampak mudah tetapi perlukan kemahiran dan pengalaman.
0 ulasan:
Catat Ulasan