Syukur kepada Allah SWT kerana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memutuskan untuk mengadakan Forum Perdana Ehwal Islam di Bandar Country Homes, Rawang. Ianya satu inisiatif yang sangat wajar dalam membantu meningkatkan kefahaman kami semua di GISB. Tajuk Forum "Panduan Menuju Jalan Pulang" sangat signifikan dengan apa yang kami sedang lalui.
Program malam esok adalah anjuran JAIS (Bahagian Dakwah JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak) dengan kerjasama GISB HOLDINGS Sdn Bhd. Yang dijangka hadir ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor Bagi Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, YB Ustaz Sallehen Mukhyi dan Pengarah JAIS, Tuan Ahmad Zaharin Mohd Saad.
Setakat ini persiapan program sudah boleh dikatakan selesai. Kalau pun masih ada, hanya beberapa perkara yang sedang disiapkan malam ini dan pagi esok seperti hiasan pentas, penyusunan set sofa serta kerusi dan penyediaan barangan cenderahati.
Jamuan untuk semua yang hadir (dijangka seramai 2,000 orang) sedang dipersiapkan. Aura kemeriahan program berkenaan sedang dirasakan di Bandar Country Homes sehari dua yang akhir ini. Banner yang dipasang di lokasi-lokasi utama sedang menarik perhatian umum. Esok, masjid-masjid di Daerah Gombak akan mengumumkan jemputan ke program ini sebelum solat Jumaat. Begitu juga esok, sila dapatkan akhbar Sinar Harian kerana iklan mengenai program ini akan disiarkan. Semoga jumlah kehadiran masyarakat setempat akan sepadan dengan apa yang dipersiapkan.
Para pegawai JAIS dan pimpinan GISB telah bersama dalam beberapa siri mesyuarat perlaksanaan program yang julung kali diadakan di pusat pentadbiran GISB HOLDINGS ini. Beberapa hari ini juga para pegawai JAIS 'turun padang' melihat sendiri persiapan yang dijalankan. Suasana sibuk dan meriah menambah rasa lapang di dalam hati. Kepada Allah kita berserah agar pengisian forum malam esok menjadi pengisian jiwa para hadirin agar mahu mentaati Allah dan mencintai Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT membantu menjayakan program ini. Amin.
Demikianlah usaha pematuhan fatwa oleh GISB sejak beberapa bulan lalu memperlihatkan tercetusnya pelbagai program pemulihan yang komprehensif daripada JAIS dan JAKIM. Kehadiran khalayak yang dijangka ramai pada malam esok akan menjadi penanda aras baru dalam program JAIS bersama masyarakat. Kerjasama antara JAIS dan komuniti masyarakat merupakan suatu yang sudah lama dilaksanakan oleh Bahagian Dakwah JAIS. Pemilihan Dataran Celebration Mall untuk program JAIS kali ini sangat kami hargai.
Jadi, silalah datang beramai-ramai pada malam esok (16 Mei - Jumaat, jam 8.00 malam). Jamuan makan malam disediakan. Begitu juga terdapat gerai-gerai jualan pelbagai barangan keperluan harian. Sesiapa yang datang awal (dan duduk di kerusi yang disediakan) akan lebih beruntung kerana pihak penganjur menyediakan 1,000 beg mini berisi barangan cenderahati dan produk keluaran GISB. Ahlan wasahlan!!!
0 ulasan:
Catat Ulasan