Social Icons

Selasa, 6 Mei 2014

Akhirnya Kemungkinan Hudud Ditangguhkan Semakin Jelas.....

Ada dua pandangan mengenai isu perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. Yang pertama mengenai keupayaan (atau kelicikan) Tuan Guru Dato' Nik Aziz selama 23 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Sepanjang lebih dua dekad, isu hudud ini kekal tergantung tanpa ada penyelesaian. Ada ura-ura dan 'acah-acah' tetapi setiap kali ianya digemakan, akan ada 'tangan ghaib' yang menekan lubang isu itu agar tidak terus terbuka. Akhirnya isu hudud kembali dilupakan.
 
Pandangan kedua ialah bagaimana 'hebatnya' Menteri Besar Kelantan yang baru setahun memikul tugas sudah 'berjaya' mengheret isu ini menuju 'pintu' parlimen Malaysia. Kata mereka yang menyokong Dato' Ahmad Yaakop, "Ini semua terjadi hasil kesungguhan dan kepintaran Ustaz Mad selaku MB yang berwibawa. Bukan mudah mengajak UMNO ikut serta menyokong hudud!"

Nasihat Pak Lang kepada PAS ialah buatlah fasa khas mendidik ahli PAS menghayati sembahyang. Janganlah nanti bila hudud dikuatkuasakan, ahli- ahli PAS yang tidak sembahyang akan terlebih dahulu dikenakan hukuman hudud. Bukankah hudud itu adalah hukuman bagi kesalahan dalam kategori dosa besar (Al-Kaba-ir)? Bukankah meninggalkan sembahyang itu merupakan dosa besar yang utama sebelum zina, minum arak, berjudi dan lain-lain? Dan apakah hukuman hudud bagi para pendosa besar meninggalkan sembahyang? Carilah jawapannya!! 

Apa yang penting, kenalah difahami bahawa apa yang penting dan utama ialah mendidik dan mentarbiyah umat. Jangan ghairah menghukum tetapi berikan tumpuan dalam mendidik umat agar mentaati Allah. Rasa takutkan Allah itu hendaklah diusahakan agar ianya wujud di dalam hati setiap ahli parti dan masyarakat di sekeliling kita. Jadi, tugas pemimpin PAS sangat berat dan besar kerana merekalah yang mendakwa lebih mahukan Islam. Kalau begitu, merekalah yang wajib menggembeling usaha mengajak dan mendakwah masyarakat kepada menghayati ajaran Islam. 

Menghukum menempelak memang mudah tetapi cubalah cabar diri masing-masing mengubah masyarakat. Usahakan mendidik setiap isi rumah kepada cinta dan takut Tuhan. Menghukum itu untuk yang degil setelah kita berhempas pulas mengusahakan mereka sedar dan insaf. Soalnya apakah yang telah kita lakukan setakat ini sudah memadai?

Hudud tetaplah hukum Allah yang wajib kita tegakkan tetapi berdakwah secara berhikmah tetaplah juga satu kewajipan dan hukum Allah yang wajib kita dahulukan. Inilah prioriti dalam amal Islami. Bukankah tugas asas para Nabi dan rasul ialah memperkenalkan Allah kepada umat manusia sehingga Allah itu dikenali dan dicintai. Kecoh dan riuh-rendah tentang hudud hanya membuktikan kita kehilangan awlawiyat dalam perjuangan Islam!!

Kepada kawan-kawan dalam PAS, Pak Lang terbuka kepada perbincangan ilmiah atau bermuzakarah. Sebarang komen atau pandangan yang berisi hujjah ilmiah (dan tidak emosi) sahaja yang akan dipaparkan.

Jadi huraian Saudara Shahbudin dalam BLOG BELIAU -  seperti berikut akan membantu kita mendapat pencerahan yang menarik. Kita akan dibawa melihat isu hudud ini dari pelbagai dimensi yang di hujungnya adalah 'penangguhan'... Adakah ianya betul-betul ditangguhkan atau diteruskan, sama-samalah kita menanti dan menyaksikannya..Bacalah!

Percayalah, Sekali Lagi Hudud Akan Ditangguhkan!!

Isu hudud yang telah bergema sejak beberapa minggu lalu masih tidak menunjukkan titik penyudah yang meyakinkan. Walaupun Pas tetap berkeras mahu membentangkan usul persendirian mengenainya di Parlimen, tetapi sebagaimana yang diakui oleh salah seorang pemimpinnya, Mohd Hanipa Maidin bahawa terdapat juga sekumpulan pemimpinnya yang mahukan ia ditangguhkan sehingga rakyat bersedia menerimanya.

Di dalam PR sendiri, isu ini kelihatan semakin dikeliru dan mengelirukan dengan pelbagai pandangan pro dan kontra mengenainya.

Di dalam PR, DAP jelas menentang pembentangan usul serta perlaksanaan hukum hudud manakala PKR juga tidak menunjukkan sokongan yang jitu dengan Anwar Ibrahim sendiri mengatakan perbincangan lanjut perlu diadakan, terutama memandangkan belum ada institusi sesuai untuk melaksanakannya serta aspek kehakiman yang perlu diteliti terlebih dahulu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan PR akan berpecah jika isu hudud ini terus menjadi isu besar. Anthony Loke dalam nada yang lebih keras mencadangkan agar Pas meninggalkan PR jika ingin terus melaksanakan hudud.

Di ketika Perdana Menteri, Najib Razak dalam reaksi terbarunya menyatakan banyak kekangan dan halangan perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hudud dilaksanakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah dan kemudian mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal antara UMNO, Pas dan Kerajaan Kelantan mengenai hudud.

Sebelum itu, Muhyiddin Yassin ketika melawat Kelantan telah mengambil kesempatan menziarahi bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat di rumahnya serta mengumumkan perlunya penubuhan jawatankuasa bersama itu. Meskipun demikian, Timbalan Perdana Menteri itu masih mengelak untuk menjawab sama ada UMNO akan menyokong atau sebaliknya jika usul persendirian itu dibentangkan oleh Pas. Begitu juga dengan Najib, masih tiada pendirian sama ada akan menyokong atau menentang usul itu.

Untuk itu, tidak dipastikan tujuan sebenar penubuhan jawatankuasa itu, walaupun Pas nampaknya gembira dengan sikap UMNO yang ditunjukkan melalui Jamil Khir itu.

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebagaimana sikapnya sejak dulu, kekal menentang keras perlaksanaan hukum hudud berasaskan keadilan yang dibimbanginya. Dalam jawatankuasa teknikal ini pun, Mahathir mencadangkan agar tokoh agama bebas turut dilantik menganggotainya.

Walaupun UMNO seolah-olah memberi kerjasama kepada hasrat Pas itu, rakan karibnya iaitu MCA dan Gerakan pula menunjukkan penentangan yang keras. Mereka bukan saja akan mengadakan kempen "Say No To Hudud", bahkan Pemuda MCA sudah pun mengadakan demonstrasi bantahan di depan ibu pejabat Pas, baru-baru ini.

Baik kepada PR mahupun kepada BN, isu hudud ini lebih memungkinkan mewujudkan perpecahan berbanding kejayaan perlaksanaannya. Jika Pas mahu melaksanakannya, DAP pasti tidak memberi sokongan manakala PKR juga mungkin bersikap sama. Sebagai parti berbilang kaum, keutamaan menjaga hati bukan Melayu tentulah turut menjadi pertimbangan mereka.

Begitu juga dengan UMNO, mustahil mereka akan memberi sokongan kepadanya. Menyokong hudud secara terbuka bukan saja menyebabkan UMNO berbalah dengan MCA dan Gerakan, malah mungkin tidak cukup perisai menahan serangan daripada Mahathir.

Cadangan penubuhan jawatankuasa teknikal oleh Jamil Khir hanyalah untuk menunjukkan kepada orang Islam bahawa parti itu tidak pernah menentang hukum dari Allah. Setelah beria-ia mempertahahkan kalimah Allah, menunjukkan turut mahu kepada hukum Allah adalah pertimbangan politik yang mampu menghasilkan sokongan lumayan daripada pengundi Melayu.

Dalam masa yang sama, dengan adanya jawatankuasa teknikal bersama yang ditubuhkan itu, ia boleh menjadi medan untuk melengah-lengahkan masa dan menangguhkan usul persendirian yang mahu dibentangkan Pas itu.

Kebimbangan UMNO ialah kiranya Pas membentangkan usul persendirian itu. Jika mereka tidak mengundinya, ia akan dilihat UMNO sebagai parti yang tidak Islamik manakala jika mengundi dan memberi sokongan pula, risiko yang menunggu ialah berbalah dengan MCA dan Gerakan yang akhirnya menipiskan lagi sokongan pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan.

Jalan paling selamat bagi UMNO dan Najib ialah melengah-lengahkan masa dan berbuat sesuatu agar Pas menangguhkannya. Disinilah pentingnya UMNO ada dalam jawatankuasa teknikal itu.

Di pihak PR pula, walaupun Pas begitu ingin melaksanakan hukum itu di Kelantan tetapi mereka juga sebenarnya turut mengambil kira jika ianya mengakibatkan perpecahan sesama sendiri, lebih-lebih lagi PRU 14 adalah peluang terbaik untuk PR menumbangkan BN. Sudah tentu peluang itu tidak mahu disia-siakan.

Jika Pas membentangkan juga, Ahli-Ahli Parlimen DAP pasti tidak memberi sokongan dan menimbulkan serba-salah kepada Ahli-Ahli Parlimen PKR, terutama yang beragama Islam. Anwar pastilah lebih serba-salahnya, sama ada mahu memihak kepada DAP atau Pas.

Juga, jalan paling selamat bagi Anwar dan PKR ialah meyakinkan Pas agar menangguhkannya.

Bagi Pas, mereka sedar usul persendirian ini tidak akan menang jika tanpa sokongan Ahli Parlimen UMNO dan sebahagian lagi daripada Ahli Parlimen PKR. Daripada 222 kerusi Parlimen, UMNO mempunyai 88 manakala Pas 21, PKR 30, DAP 38 dan selebihnya oleh parti-parti kompenan BN.

Tentulah tidak bermakna jika Pas berkeras mahu membentangkan usul persendirian itu jika akhirnya mengetahui ia tidak mendapat sokongan dan penyudahnya hukum hudud tidak juga dapat dilaksanakan.

Dalam situasi ini, jika perbincangan diadakan dalam PR, sudah pastilah Pas akan dinasihatkan untuk menangguhkan dahulu pembentangan usul persendirian itu dan memberi keutamaan menghadapi PRU 14 serta isu-isu rakyat yang lain demi menjaga kesatuan gabungan itu dan untuk mengelakkan kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

Baik kepada Najib, Anwar, BN, PR mahu pun Pas sendiri, jalan paling selamat ialah menangguhkan sementara isu hudud ini. Dengan berjaya menangguhkan hudud, UMNO tidak akan kehilangan sokongan pengundi Melayu dan boleh terus bersama MCA dan Gerakan untuk menarik sokongan bukan Melayu. Dengan membentangkan halangan, kesusahan dan usul itu tidak mungkin menang jika dibentangkan, menangguhkannya dapat membuatkan Pas kekal dengan perjuangan sedia ada dan meneruskan kerjasama bersama PKR dan DAP dalam mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jika Pas sekali lagi menangguhkan perlaksanaan hukum hudud di Kelantan ini berikutan Nik Aziz sendiri pernah berbuat demikian para 1994 dahulu kerana bimbangkan berlakunya Mageran setelah Mahathir memberi amaran keras menentangnya melalui sepucuk surat yang dihantar kepadanya. (SH 06/05/2014) KLIK SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text