Social Icons

Khamis, 29 Mei 2014

Unsur Babi Yang Digunakan Dalam Perubatan Tidak Haram?

482735_568026513209824_359868328_n1
Isu unsur babi dalam pemakanan dan perubatan semakin diperkatakan. Ini bukanlah isu baru. Sejak lama umat Islam menyedari wujudnya penggunaan unsur babi dalam dua bidang ini. Selama ini ianya masih samar-samar diperkatakan dan diperdebatkan. Tahu dan sedar adanya penggunaan unsur haram ini tetapi tidak tahu secara jelas, terperinci dan berfakta. 
 
Tetapi apabila teknologi berkembang, apa yang samar selama ini jadi jelas dan sahih. Tidak boleh lagi takwil dan buat alasan. Hukum dan fatwa mestilah segera dikeluarkan - setelah mengkaji perbahasannya dalam mazhab Syafie - menurut ahli sunnah wal jamaah. Jangan pula mengikut fahaman Wahabi yang mengatakan haram pada babi itu hanya pada dagingnya!! Masya Allah!! 

Persoalan menggunakan unsur babi dalam perubatan adalah hal dharurat - suatu yang tidak dapat tidak dan tidak dapat dielakkan. Kita perlukan kata putus Jawatan Kuasa Fatwa dalam hal ini. Dalam soal makanan, situasi dharurat hanya berlaku jika tidak ada lagi makanan yang lain dan situasi jika tidak memakan yang haram akan membawa kematian. Jadi makan untuk membolehkan ada upaya untuk hidup.
 
Bacalah apa yang dilaporkan themalaysianinsider di bawah ini. Pandangan yang diutarakan Dr Farouk Musa ini perlu penjelasan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan. Pandangan mengatakan bahan kimia yang diambil daripada babi untuk perubatan adalah tidak haram merupakan pendapat peribadi beliau. Kita perlukan keputusan Majlis Fatwa...

 
Pensyarah perubatan Universiti Monash, Dr Farouk Musa (gambar) berpendapat LMWH daripada babi yang digunakan dalam perubatan tidak haram. Low Molecular Weight Heparin (LMWH) yang diambil daripada babi banyak digunakan dalam amalan perubatan di seluruh dunia termasuk Malaysia khasnya dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), kata pensyarah perubatan, Dr Farouk Musa.

Pensyarah perubatan di Universiti Monash itu berkata, ia adalah bahan kimia yang diambil daripada babi untuk kepentingan manusia dan ia tidak haram kerana bukan memakan dagingnya.

"Fatwa yang dikeluarkan oleh A Hassan Bandung jelas berkata, yang haram adalah memakan babi," kata Farouk yang merupakan Presiden Islamic Renaissance Front kepada The Malaysian Insider.

Farouk berkata, ketika mendapat rawatan akibat koma itu, beliau sendiri menggunakan bahan itu. Farouk yang pernah beberapa bulan koma dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang dialami masyarakat Malaysia apabila Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) mengesahkan dua jenis coklat Cadbury mengandungi DNA babi iaitu LMWH yang diambil daripada babi.

Cadbury mengesahkan mereka menarik balik dua produk yang mengandungi DNA babi iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond. Susulan daripada itu serangan dihalakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memberikan sijil halal untuk coklat itu.

Bagaimanapun, semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, coklat sedemikian halal dimakan. Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata ia termasuk dalam kategori keadaan 'Umum al-Balwa' iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

"Dalam kes produk siap diproses dan dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan yang suci dan halal, dan juga disahkan sebagai halal tetapi kemudian didapati berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah memutuskan ia dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'.

"Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Samak mulut
Sementara itu, pandangan sesetengah pihak yang mempersoalkan bagaimana caranya untuk menyamak mulut dan perut yang dimasuki babi setelah termakan coklat ini dianggap sesuatu isu yang tidak perlu dan tidak wajar dibangkitkan.

Dua pakar agama, bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dan Dr Zaharudin Abdul Rahman memberi penjelasan mengenainya. Asri berkata, membantah Cadbury itu sesuatu yang bagus sebagai hak pengguna yang tidak boleh diperdayakan.

Bagaimanapun, katanya, berlebihan dalam hukum seperti menyuruh samak mulut, tukar darah dan lain-lain adalah merupakan unsur ghuluw ataupun melampau dalam beragama. Katanya, sesiapa termakan yang haram tanpa sengaja tidak dikira dosa dan seseorang tidak akan dihukum Allah atas perkara luar dari maklumat dan kemampuannya.

Dr Zaharudin berkata, bagi sesiapa yang termakan Cadbury mengandungi DNA babi secara tersalah atau tidak tahu berkenaan kewujudan unsur babi tersebut tidaklah berdosa dan tidaklah perlu membersihkan darah.

"Namun, jika ingin diambil saman ganti rugi atas kesilapan Cadbury dan kealpaan mereka atau keculasan menggunakan logo halal pada yang tidak halal, itu wajar dilakukan namun jangan dihujah atas nama ‘membersihkan darah’ seolah-olah ia tuntutan agama," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text