Hari ini Pak Lang ingin berbicara tentang pendidikan terutama dalam situasi GISB ingin sungguh-sungguh mengikut kehendak keputusan Fatwa.
Dalam soal pendidikan, ramai ibubapa semakin berhati-hati dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Ada yang sanggup menghantar anak jauh di negara luar semata-mata mengharapkan hasil pendidikan yang optimum bagi anak-anak mereka. Jika di dalam negeri usah dicerita. Sekolah-sekolah agama dan tahfiz berasrama penuh yang mempunyai reputasi tinggi menjadi rebutan dan pilihan.
Di Selangor, Bahagian Pendikan JAIS menerima permohonan yang begitu banyak untuk mendapatkan tempat di sekolah-sekolahnya yang terpilih. Bulan Disember dan Januari merupakan bulan yang berdatangan para waris pelajar ke pejabat JAIS - memohon dan merayu tempat belajar di sekolah-sekolah berkenaan.
Sememangnya, sekolah agama dan tahfiz merecup tumbuh di merata
tempat di seluruh Negara. Ini adalah kecenderungan rakyat dalam memilih sistem
pendidikan yang diyakini dapat menjamin keperibadian anak-anak mereka. Walaupun
kecemerlangan di bidang akademik adalah suatu harapan semua keluarga terhadap
anak-anak, nilai keterampilan syahsiah anak-anak juga sangat diutamakan.
Sebab itulah kita dapati sekolah aliran agama semakin
digilai ibubapa. Apa yang tersirat ialah keberkesanan ilmu yang dipelajari itu
terhadap pembinaan jati diri anak mereka. Akhlak dan budi pekerti adalah suatu
yang tidak boleh dikompromi. Tidak ada ibu bapa yang mahu mengambil risiko
rosaknya akhlak anak-anak mereka jika tersilap memilih. Mereka perlukan jaminan
gaya pendidikan yang meyakinkan untuk pembentukan peribadi anak soleh dan
solehah bagi zuriat keturunan mereka. Itulah harapan semua ibubapa.
Walau bagaimanapun harapan tetaplah harapan. Tanpa
usaha yang sungguh-sungguh merealisasikan hasrat sekolah melahirkan generasi ‘ulul
albab’, harapan tersebut hanya kekal sebagai slogan. Pendidikan adalah suatu
yang kompleks. Ianya melibatkan kerjasama pelbagai kelompok, pembinaan pelbagai
unsur di dalam diri pelajar dan guru-guru serta keupayaan mengatasi pelbagai
cabaran yang hebat.
Sistem pendidikan sepatutnya bersepadu kerana inilah
ruh dari falsafah pendidikan Islam – menurut sunnah Rasulullah saw. Tanpa
kesepaduan, hasilnya pastilah tercaing-caing, teribek-robek di sana dan di
sini.
Setakat ini
kita sudah mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang dikira mampu
melahirkan generasi muda yang cintakan Negara. Sekurang-kurangnya itulah
harapan di sebalik falsafah pendidikan Negara. Sebaliknya ini semua belum
menjadi kenyataan sepenuhnya.
Kajian menunjukkan pelajar-pelajar bermasalah muncul
di setiap kelas, di setiap sekolah di seluruh Negara. Ratusan ribu pelajar
sebegini tersaring keluar dari arus pendana pendidikan Negara setiap tahun kerana
terjebak dengan pelbagai gejala yang negatif. Hakikatnya mereka akan muncul
membawa virus kerosakan ke serata tempat di dalam dan di luar Negara.
Pendidikan sebenarnya bukanlah hanya diukur dari sudut
pencapaian akademik. Semua pakar pendidikan bersetuju bahawa pendidikan yang
sebenarnya ialah bagaimana melahirkan generasi penyambung perjuangan membela
agama, bangsa dan Negara. Ianya adalah pembuktian rasa cintakan agama, rasa
ingin membela anak bangsa dan sanggup berkorban apa saja demi keselamatan tanah
air yang tercinta. Sudah terbukti mereka yang dilihat cemerlang dalam pelajaran
dan kerjaya, tidak semestinya cemerlang di sudut moral, kekeluargaan, jati diri
atau kesungguhan beragama.
Justeru pendidikan mestilah dilihat sebagai suatu yang
sangat penting dan utama. Tidak boleh memberi ruang berlakunya kegagalan.
Seorang manusia pun yang terlibat di dalam pendidikan mestilah diselamatkan dan
disiapkan menjadi seorang yang bernilai di sisi Allah swt. Inilah hakikat
sebenarnya pendidikan. Ianya bertujuan memastikan manusia yang dididik itu
benar-benar muncul sebagai hamba dan khalifah yang berkualiti. Penilainya
adalah Allah yang maha menciptakan segala-galanya.
Sukarnya dan sulitnya merealisasikan hasrat sebegini. Ianya seperti menongkah arus yang terlalu deras. Mungkin juga lebih teruk daripada mendaki gunung paling tinggi dan paling bahaya. Justeru kita perlukan tenaga pendidikan yang tahu berbuat dan bertindak. Jika sekadar cakap dan berslogan, kita hanya membazir waktu bahkan merosakkan anak bangsa kita. Amanah pemndidik mereka sangat berat dan agung. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang mampu melaksanakannya.
Kita mengharapkan dan mencari manakah sekolah hari ini yang benar-benar menepati kehendak pendidikan melahirkan generasi pilihan seperti berlaku di tangan Rasulullah SAW. Kita tidak lagi boleh mendabik dada mengatakan kita sahaja yang mampu, bijak dan berupaya. Sebenarnya jika kita melihat di seluruh negara, kita pasti akan terjumpa orang-orang yang ikhlas membangunkan
sistem pendidikan yang sebegini.
GISB sedar, selama ini kita hanya 'syok' sendiri. Kita hanya berslogan dan berteori. Sekarang adalah masanya kita melihat pihak lain yang telah banyak menjayakan sistem pendidikan berkualiti. JAIS sedang berusaha membantu GISB untuk mengubah sikap para guru dan membina halatuju yang jelas dalam bidang pendidikan untuk semua anak-anak pelajar di sekolah-sekolah GISB. Sedikit demi sedikit usaha ini kelihatan sedang menampakkan hasil yang positif. Semoga semua yang dilakukan ini akan berjaya memberi persepsi yang lebih
tepat dalam memahami konsep pendidikan berkualiti seperti yang diharapkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan