Social Icons

Sabtu, 3 Mei 2014

Teguran Kepada Datuk Mahfuz Omar

Pak Lang ingin mengulas sedikit mengenai cabaran Datuk Mahfuz Omar - Ketua Penerangan PAS terhadap UMNO dalam isu hudud. Beliau mencabar UMNO sebagai 'pondan' jika tidak turut menyokong pembentangan rang undang-undang hudud oleh PAS di Parlimen. Pada Pak Lang janganlah guna perkataan yang menghina orang bila kita mahu berbuat sesuatu yang mulia!!
Walaubagaiman pun, sebagai orang lama dalam politik, Datuk Mahfuz tentu sedang melakukan percaturan politiknya berhubung isu ini. Kita akan lihat nanti jerat politik pihak manakah yang akan mengena. Kita tahu cabaran mengatakan UMNO pondan itu adalah cabaran politik. Ianya jauh dari hasrat untuk menegakkan hukum hudud itu sendiri. 
Ini semua hanya wayang politik. Isu hudud akan berfungsi menaikkan sokongan rakyat terhadap PAS dan membenci UMNO jika UMNO menentangnya. Sekarang suara UMNO hampir senada dengan PAS. Inilah yang mencemaskan orang cerdik pandai politik dalam PAS. Ahli PAS yang lurus bendul akan bertakbir keseronokan. Mereka tidak tahu hujung pangkal. Mereka hanya taksub dengan hudud tanpa mahu mengambil kira sepak terajang orang lain. Hudud pada mereka adalah perjuangan kemuncak. Jika Malaysia dapat mereka kuasai - bagi mereka, hududlah yang mesti diperkirakan terlebih dahulu.

Mereka yang mahir firasat politik di dalam PAS sudah mula merasa terperangkap dalam isu ini. Jika UMNO menentang pembentangan rang undang-undang ini di Parlimen, PAS akan dapat memperlekehkan UMNO di pentas ceramah mereka bahawa benar-benar UMNO menentang Islam. Menentang hudud ertinya menentang Islam kata mereka.

Soalnya sekarang, UMNO mengambil pendirian menyokong atau yang senada dengan maksud tidak menentang. Inilah yang sulitnya bagi PAS. (Baca isu ini DI SINI) Pak Lang tidak pasti, adakah PAS sudah menyiapkan draf pelaksanaan hukum hudud - sekurang-kurangnya sebagai kerangka dasar bagi rujukan. Sebaik-baiknya untuk semua rakyat, PAS wajar menyebarkan maklumat khas mengenai hudud secara praktikalnya.

Mungkin jika masyarakat bukan Islam membacanya, akan dapat melihat hudud dari skop menyelesaikan masalah masyarakat yang sangat dibimbangi umum masa kini. Relevannya hudud itu boleh diperjelaskan melalui bahan bacaan yang disebarkan. Cuma Pak lang sendiri tidak pernah dapat bahan berkaitan.

Jadi bila Datuk Mahfuz mencabar UMNO sebagai pondan, ianya bermaksud memaksa UMNO supaya 'jangan menyokong'. Inilah yang dapat kita faham. Pondan adalah kata-kata penghinaan. Ianya jauh dari usaha memujuk dan mengajak UMNO secara terhormat untuk turut serta menyokong usaha murni PAS dalam menegakkan undang-undang Islam. Cabaran itu lebih bermaksud agar UMNO tidak jadi menyokong hudud. Siapa pun tidak mahu diperlekehkan sebegitu rupa. Tapi itulah politik. Dunia mereka adalah kepentingan meraih sokongan dan kuasa yang tidak bertepi. Bukan soal hukum Islam yang mahu ditegakkan? 
Kenapakah Datuk Mahfuz tidak mengusahakan strategi lain yang lebih profesional untuk mendapatkan sokongan UMNO? Kenapa memilih mencabar dengan penghinaan dalam usaha meminta pihak lain menyokong sesuatu yang mulia di sisi Tuhan? Apakah niat di hatinya?
Kenapa Datuk Mahfuz tidak mengusahakan pertemuan khas pimpinan PAS dengan Perdana Menteri dan lain-lain di pihak UMNO? Bincanglah dari hati ke hati. Sekurang-kurang UMNO akan rasa dihargai, diperlukan dan tentu ruang kerjasama selanjutnya akan boleh berlaku. Tentulah tidak mudah ini semua akan terjadi. Kecenderungan memupuk kemarahan rakyat terhadap kerajaan lebih ketara jika isu hudud ini terus berlegar memanaskan hati.

Kita lihat isu hudud ini memberi gambaran kem-kem di dalam PAS yang mula terserlah. (Kelompok dalam PAS: Baca DI SINI). Ada kelompok di dalam PAS yang sudah mula mahu meninggalkan Pakatan Rakyat. Mereka lebih rela kembali kepada Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya melakukan 'tahalluf siyasi' dengan UMNO. Berbanding DAP, UMNO masih Melayu dan Islam. Ini kelompok para ahli agama di dalam PAS.

Satu kelompok lagi di dalam PAS ialah mereka yang akan terus sehidup semati dengan DAP dan PKR. Kelompok ini adalah ahli politik tulen dalam PAS. Pertimbangan mereka adalah pertimbangan politik. Tahalluf siyasi hanya istilah yang memberi ruang mereka bertindak mengikut bacaan politik masing-masing. 

Isu hudud ini menjadi medan kedua-dua kelompok ini 'bertarung". Siapa yang akan menang?

Sila rujuk berita berikut seperti yang dilaporkan Malaysia Insider.

 
Datuk Mahfuz Omar mencabar Umno turut sama membentangkan rang undang-undang hudud di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mei, 2014. 

Umno ‘pondan’ jika tak turut serta bentang rang undang-undang hudud, kata Mahfuz
OLEH DIYANA IBRAHIM
May 02, 2014
 
Umno 'pondan' sekiranya tidak membantu PAS dalam membentangkan rang undang-undang pelaksanaan hudud di Parlimen, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata inilah masa bagi Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan keikhlasan dengan membentangkan rang-rang undang Islam itu dilaksanakan di Kelantan.

"Apa kemahuan dan keberanian Umno, dia kerajaan, sekarang ini kalau dia bukan 'pondan', dia bawalah rang undang-undang hudud ke Parlimen. "Ia tidak harus dibentangkan secara pensendirian, Umno dan Barisan Nasional (BN) kena pastikan ahli Parlimen mereka hadir untuk mengundi rang undang-undang tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hudud dapat dibuktikan dengan menjadikannya usul yang datang dari pihak kerajaan. "Biasanya di Parlimen, Speaker akan mendahulukan rang undang-undang kerajaan, menyebabkan kita khuatir tidak ada ruang pensendirian.

"Sekiranya Umno yang membawa rang undang-undang hudud, maka ‎ia akan menjadi urusan kerajaan yang perlu dibentangkan segera," katanya.

Ditanya mengenai penentangan keras DAP, Mahfuz menjelaskan pembentangan rang undang- undang Islam tersebut dibuat secara persendirian tanpa mewakili mana-mana pendirian parti Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Katanya, PAS menggunakan ruang demokratik dengan membentangkan rang-rang undang di Parlimen dan meminta semua pihak menghormati proses tersebut. "Pembentangan pelaksanaan hudud adalah melalui proses demokrasi. Siapa yang tidak bersetuju, mereka boleh mengundi untuk menolak," katanya.

Mahfuz berkata tidak ada paksaan di pihak PAS agar pihak lain bersetuju dengan pelaksanaan hukum tersebut memandangkan parti itu sudah diberikan ruang demokrasi sepenuhnya.

"PAS terima keputusan, namun apa yang penting, apabila parti ini diberi ruang, apabila segala sekatan dan halangan dapat dibawa secara adil untuk pertimbangan, ia tidak melanggar demokrasi dan Perlembagaan," tambah Mahfuz.

‎Beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu yang meminta PAS memberi kerjasama menerangkan mengenai hudud. Katanya‎, ia jelas membuktikan bahawa sebelum ini, Umno tidak pernah melaksanakan penerangan hudud kepada orang ramai.

"Kerana itu kita minta kerajaan Umno jujur dengan memberi ruang dan peluang kepada PAS mendapat liputan daripada media arus perdana menerangkan mengenai hudud boleh ada perdebatan dengan menjemput ulama PAS,‎" katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz menolak spekulasi penyertaan berkurangan kaum Cina semasa demonstrasi Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ‎semalam kerana tidak menyokong pelaksanaan hudud PAS.

"Demonstrasi semalam tidak ada kaitan dengan kaum, siapa paling ramai atau tidak, atau tidak bersetuju dengan hudud sekalipun.

"Bagi saya, kehadiran kaum bukan merupakan satu isu, demostrasi semalam cukup berjaya apabila rakyat kini bebas untuk bersuara tanpa ada sebarang provokasi daripada pihak berkuasa," katanya. – 2 Mei, 2014.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text