Social Icons

Rabu, 28 Mei 2014

Respon Imam Masjid Negara Terhadap Isu DNA Babi Dalam Dua Produk Cadbury

Isu DNA babi dalam produk makanan yang dilabel halal sedang heboh dibicarakan masyarakat. Isunya pelbagai. Bukan sekadar syarikat yang mengeluarkan produk semata-mata tetapi juga membabitkan kredibiliti JAKIM yang mengeluarkan sijil berkenaan. 
 
Kita menyedari bukannya mudah bagi JAKIM menjalankan pemeriksaan ke atas semua syarikat pengeluar makanan. Kekurangan kakitangan mungkin salah satu faktor utama. Justeru JAKIM memerlukan kerjasama semua pihak untuk melaporkan sebarang keraguan berkaitan status halal sesuatu produk.
 
Terdapat beribu syarikat pengeluaran produk makanan di negara kita. Jumlahnya mungkin mencecah puluhan ribu buah syarikat tetapi hanya 17 syarikat yang mendapatkan sijil halal JAKIM. 17 syarikat ini mendaftar 2141 jenis produk. Maklumat dalam Direktori Halal Malaysia memaparkan tarikh 2011 - 2012. Tidaklah diketahui bagaimana statusnya sekarang. Jika ianya diperbaharui kenapa tidak dikemaskini di dalam direktori berkenaan? 
 
Dengan jumlah syarikat yang terlalu banyak, usaha pemeriksaan dan pengiktirafan halal oleh JAKIM pasti menghadapi pelbagai kekangan. Dan bayangkan - walaupun belum menerima status halal, berapa banyak syarikat yang sedang aktif memasarkan barangan makanan keluaran syarikat mereka? 
 
Perniagaan produk makanan merupakan perniagaan yang berdaya maju. Manusia perlu makan hampir setiap jam!! Justeru permintaan pengguna untuk membeli barang makanan sentiasa wujud bahkan bertambah. Ditambah dengan zaman moden yang memerlukan segala sesuatu yang ringkas dan mudah, maka makanan yang sudah disiap bungkus memang menjadi pilihan pengguna. 
 
Apatah lagi jika ianya dicetak dengan logo halal JAKIM. Pengguna muslim akan membelinya tanpa was-was. Soalnya benarkah ianya logo halal yang asli? Bukankah mencetak logo halal memang mudah pada bungkusan makanan? Jika pembungkusannya cantik, kemas, menarik dan berkualiti, logo halal yang dipamerkan akan kelihatan meyakinkan. Maka risiko kepada para pengguna muslim sangat tinggi. 

Terbukti pada 2 produk Cadbury! Ianya suatu yang sangat tidak patut. Apa yang dimakan itu menjadi darah daging. Bagaimana status daging pada tubuh badan kita yang 'tumbuh' hasil dari makanan yang tidak halal itu? Ramai yang marah dan kesal yang amat sangat. 
 
Sebab itu, semua setuju dengan gesaan Imam Masjid Negara seperti berita berikut:
 
IMAM BESAR MASJID NEGARA SARAN TUTUP KILANG CADBURY



KUALA TERENGGANU: Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya.

Beliau berkata tindakan seperti denda yang berat atau penutupan kilang adalah wajar sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih berhati-hati dalam pematuhan piawaian halal.

"Apa sahaja keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap syarikat itu akan kita sokong, asalkan ia tidak berulang pada depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mahabbah dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu yang mengesahkan dua sampel coklat keluaran Cadbury mempunyai DNA khinzir.

Mengulas lanjut, Syaikh Ismail juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang berniat jahat dengan menjadikan makanan sebagai alat untuk menggugat akidah umat Islam.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri.

"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu.

"Pada masa sama, kita mengharapkan pihak berkuasa terus memantau syarikat pengeluar makanan yang lain bagi mengelak perkara ini terjadi," katanya. -

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text