Social Icons

Ahad, 18 Mei 2014

Ikuti Tulisan Orang Yang Membawa Dyana Sofya Ke Dunia Politik

Pak Lang menitipkan di bawah tulisan Pak Aspan Alias mengenai wajah politik baru Malaysia. Semoga ada pencerahan untuk minda kita semua rakyat yang hidup di negara berbilang bangsa ini. Bacalah sumbernya di sini.

Dyana, calon dan anak yang baik, tidak rugi mengundi beliau

Penyertaan Dyana Daud, sebagai calon DAP dalam pilihanraya Telok Intan memberikan banyak kesimpulan yang jelas. Saya adalah orangnya yang membawa Dyana hampir dan akhirnya menjadi calon DAP dan saya begitu bangga dengan kehadiran beliau dalam arena politik negara. Saya begitu rapat dengan ibu dan bapanya dan saya hampir secara peribadi mengenali dengan Dyana sejak Dyana masih dalam buaian lagi. Daud, bapanya, serta ibunya Yammi Samat adalah sahabat keluarga dan tidak pernah berpecah kerana keikhlasan keluarga ini bersahabat dengan keluarga saya.

Saya begitu bersukacita dengan pencalonan beliau itu kerana beliau mungkin dapat membersihkan nama DAP sebagai parti hanya untuk kaum Cina, malahan salah satu dari sebab kenapa DAP dan Pakatan tidak berjaya dalam pilihanraya yang lepas ialah kerana isu bangsa yang menjadi isu yang hangat semasa itu. PAS telah berhadapan dengan isu nama Allah yang disebut-sebut oleh rakan kongsinya DAP dan DAP pula telah menunjukkan sikap chauvinistik nya kerana apa yang digambarkan parti itu sebagai parti untuk semua bangsa tidak dilaksanakan oleh DAP semasa itu.

DAP hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen Melayu iaitu Ariff Sabri di Dewan Legislatif Parlimen. Jika kita semua iktiraf Zairil sebagai Melayu maka DAP hanya mempunyai dua orang wakil Melayu walaupun telah mengakui parti itu sebagai parti semua kaum. Nyata itu merupakan kudis bagi DAP dalam PRU yang akan datang kerana DAP telah berbohong dan tidak dapat membuktikan yang ia adalah sebenarnya parti berbilang kaum.

Dengan terpilihnya Dyana sebagai calon DAP di Telok Intan ini mungkin DAP secara beransur-ansur dapat membuktikan dan meyakinkan orang ramai yang kali ini DAP tidak berbohong lagi. Tetapi DAP hanya akan dapat membuktikan yang mereka serius untuk menjadikan parti itu sebagai parti berbilang kaum dalam PRU yang akan datang.

Saya merasakan yang Dyana akan memenangi PRK Telok Intan ini dan ramai yang menghubungi saya untuk memberikan undi menyokong Dyana secara moral untuk Dyana menjejak kaki ke Dewan Parlimen dan memainkan peranan untuk memperjuangkan 'multiracilism' sebenarnya dalam DAP itu.

Dengan kemenangan Dyana, maka ada dua muka Melayu di dalamnya termasuk Ariff Sabri dari Raub. Seperti yang saya nyatakan tadi jika kita semua iktiraf Zairil sebagai Melayu maka ada tiga orang Melayu dalam Parlimen yang mewakili DAP. Dengan tercalonnya Dyana ini, saya berpendapat DAP bernasib baik dengan adanya PRK ini. DAP masih ada kesempatan untuk memperbaiki keyakinan orang Melayu yang DAP sedang berusaha untuk menjadikan parti itu 'multiracial' sebagai 'attribute'nya walaupun sasarannya masih jauh jika parti itu mahu diyakini sebagai parti berbilang kaum.

Tetapi kita akan hanya tahu samada DAP serius atau hanya bermain ‘intrigue’ politik semata-mata apabila kita melihat senarai calon parti itu dalam pilihanraya 14 nanti. Orang Melayu sekarang amat memberikan fokus terhadap DAP dalam PRU yang akan datang. DAP tidak ada masalah untuk mencari Melayu yang berwibawa yang masih muda dan berkemampuan untuk memberikan nafas dan imej baru kepada parti itu.

Melayu yang muda-muda (40 tahun ke bawah) masih ramai yang belum tercemar budayanya yang boleh diraih oleh DAP untuk bergiat dalam parti itu.

Bagi saya pengundi di Telok Intan sepatutnya memberikan sokongan dengan memberikan undian yang padu kepada Dyana, anak muda yang mempunyai sisik politik yang tinggi. Darah politiknya datang dari darah ibunya yang tidak pernah bersara dari politik walaupun sekarang ini tidak memegang apa-apa jawatan. Walaupun ibu dan keluarga Dyana adalah ahli seumur hidup UMNO tetapi mereka tidak mencegah Dyana membuat pendiriannya sendiri.

Sesungguhnya keluarga ini adalah keluarga yang hidup dengan perjuangan dan kecenderungan politik yang berbeza tidak memecahkan keluarga ini. Itu sahaja adalah bukti yang politik masih hidup jika dalam keluarga itu mempunyai pendirian yang berbeza diantara satu dengan lain.

Kepada pengundi Telok Intan, saya tahu dan mengakui secara testimonialnya yang Dyana ini adalah anak yang baik dan boleh digilap dan diberikan galakan untuk maju jauh kehadapan. Buat kali ini cara menggilapnya ialah dengan memberikan sokongan kepada beliau tanpa was-was.

Saya yakin, pengundi Telok Intan tidak akan ada kekesalan jika mengundi Dyana ini. Berpakat-pakatlah sesama sendiri serta rakan dan keluarga dan memberikan undian yang jelas kepada wanita muda yang bertenaga dalam hidup ini.
Jangan kita biarkan orang Melayu hanya dijadikan pembawa poster dan memikal banting-banting sambil memanjat tiang untuk menampal poster dalam pilihanraya sahaja.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text