Social Icons

Selasa, 13 Mei 2014

Peringatan Untuk Bekas MB Terengganu Dato' Seri Ahmad Said

Ujian yang menimpa Dato Seri Ahmad Said - bekas MB Terengganu juga berlaku kepada semua orang. Ianya adalah pergiliran yang sentiasa terjadi. Allah pergilirkannya pada setiap umat manusia. Digugurkan dari jawatan sememangnya sangat memeritkan. Semakin tinggi jawatan atau kuasa yang dipegang - apatah lagi ketika berada di kemuncak 'kebahagiaan' berkuasa, kejatuhan (dilucutkan jawatan) tentulah sangat menyakitkan. Sakitnya hati, Tuhan saja yang tahu.
 
Kita bersimpati dengan apa yang sedang beliau tanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Malu, rasa terhina, rasa dipermainkan, rasa geram, rasa hendak membalas dendam, rasa maruah diri tercabar dan lain-lain semakin menyesakkan dada. Tidak mudah untuk sabar dan menenangkan diri. 'Bahagia' yang dirasakan selama ini hilang lenyap bahkan seolah-olah tidak pernah mengecap bahagia bila ujian datang bertimpa.

Itu adalah perasaan orang yang menanggung ujian berat. Disuruh turun dari jawatan adalah sebesar-besar ujian penghinaan. Terasa jasa yang disumbangkan selama ini langsung tidak dihargai. Yang buruk sahaja yang dilihat atau dinilai mereka sedangkan kebaikan yang ada tidak dipandang pun walau sebelah mata.

Apa yang terjadi adalah suatu yang menjadi lumrah dalam sifir politik. Setiap politikus pasti mempunyai musuhnya. Ramai atau sedikit jumlah musuh itu terserah kepada keupayaan politikus tersebut 'membeli' musuh berkenaan untuk menjadi 'kawannya'. Yang cerdik dan 'smart' akan pandai 'membeli' seteru politik mereka tanpa menggunakan wang ringgit. 

Siapakah musuh Dato' Seri Ahmad Said? Tentu beliau lebih maklum. Mungkin beliau mempunyai senarai nama orang yang tidak senang dengannya. Pasti beliau tahu berapa ramaikah manusia di Malaysia ini yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan kedudukannya sebagai MB Terengganu. Tentu ramai yang menyimpan dendam dan geram terhadapnya. Siapa pun - terutama orang politik mempunyai musuh di kalangan parti lawan dan bahkan di kalangan sesama parti.

Wataknya yang panas baran dan 'cakap lepas' sememangnya dengan mudah mengundang musuh. Khabarnya ramai yang terasa hati dengannya. Bagaimana perasaan orang yang selama ini pernah tersinggung dengan sikapnya? Tentu sekarang mereka bertepuk tangan. Tentu pada mereka, memang wajar dan tepat, Dato' Seri Ahmad Said digantikan orang lain sebagai MB. Kita yakin, beliau mempunyai jawapannya sendiri bagi semua persoalan di atas. 

Jika Dato' Seri Ahmad Said merenung hakikat ini, mungkin tindak balasnya akan berlainan daripada apa yang terjadi sekarang. Orang tua merajuk memang sangat jelek. Orang melihat dan menilai ianya sebagai ketidak-matangannya sebagai ahli politik. Bukankah politik itu medan 'saling tikam menikam? Jika faham bahawa ini semua watak politik, beliau tidak perlu mengungkit soal timbang rasa, tolak ansur atau kasih sayang. Dalam kamus politik, kuasa adalah segala-galanya. Yang lain tolak ke tepi. 
 
Apa yang ingin disentuh di sini ialah soal ujian atau 'peperiksaan' dari Allah SWT kepada kita sebagai hambaNya. Walau apa sekalipun kedudukan kita, di sisi Allah, kita adalah hambaNya yang hina yang Dia boleh lakukan apa sahaja kepada kita. Kita kena menerima hakikat ini sebagai kepastian di dalam hidup. Ada masanya kita tidak akan dapat apa yang kita hajat. Ada masa, yang tidak kita harapkan pula yang datang. Masalahnya manusia hanya mahu menerima yang 'baik-baik' sahaja. Sedangkan, sesungguhnya semua yang datang dari Alah adalah baik-baik belaka - tidak ada yang tidak baik.

Kebanyakan manusia yang tidak faham, hanya menginginkan pangkat, jawatan, kuasa dan kekayaan semata-mata. Betulkah begitu? Bukankah Allah berjanji untuk menggilir-gilirkan manusia antara susah dan senang, antara mudah dan payah, antara sihat dan sakit, antara hidup dan mati. Inilah kegagalan ramai manusia sekalipun mereka intelek dan profesional. Mereka menginginkan semua yang baik-baik belaka. Itulah positif bagi mereka. Pada mereka, sakit, susah, derita dan mati itu merupakan hal negatif. Masya Allah!!
 
Ramai yang tidak faham konsep manusia sebagai hamba dan Allah sebagai tuan atau owner kita. Ramai yang 'melanggar' ketentuan ini. Sebab itu manusia melatah apabila diuji Tuhan dengan hal-hal yang menyakitkan hati. Mereka tidak mampu menenangkan diri sebaliknya melenting dan marah-marah. Mereka hanya nampak salah orang lain. Salah diri sendiri mereka diamkan sedangkan jika direnung semula sejak awal, pastilah hati kecilnya akan mengakui, dia juga turut mempunyai kesalahan. 

Ruang untuk menerima segala sesuatu yang berlaku itu sebagai positif sangat luas. Ia hanya memerlukan ketenangan, kesabaran, istighfar. dan solat. Iblis, syaitan dan nafsu tentulah sangat mengadu domba dan 'mencucuh api' agar kemarahan boleh berlaku. Api kemarahan ini boleh membakar apa sahaja. Bila marah, maruah dan harga diri turut tercalar. 
 
Janganlah dipedulikan salah orang atau 'konspirasi' yang mereka rencanakan. Lihatlah dari sudut yang lebih bermakna kerana hakikatnya Allah sedang menggunakan makhluknya untuk menguji kita. Jika kita kuat hubungan hati dengan Allah, kita akan mudah akur dengan apa yang berlaku kepada kita. Kita boleh menerima ketentuan dan takdirNya. Terhadap musuh kita yang kita sangka mereka sengaja menghina atau menjatuhkan kita, maka serahkanlah segala-galanya kepada Allah. Dialah yang maha menghukum. Dan Dialah seadil-adil hakim.  

Mengharapkan orang yang bersalah dengan kita dihukum Allah itu adalah amalan orang 'biasa-biasa'. Ada dendam yang terselinap di dalam hati mereka terhadap musuh mereka. Manakala orang-orang pilihan Allah adalah sebaliknya. Mereka khuatir tentang pandangan Allah terhadap diri mereka. Mereka bimbangkan hakikat diri mereka kalau-kalau jelek pada sisi Allah SWT. 
 
Sebab itu mereka suka memilih jalan selamat di akhirat. Di dunia, mereka tidak ambil kisah asalkan mereka benar di sisi Allah. Jadi orang-orang pilihan Allah ini akan mudah meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang padanya. Dia tidak ada masalah kerana dia tahu, itulah yang utama dalam menghadapi karenah manusia. Itulah jalan selamat dalam berdepan dengan seribu satu perangai manusia. Bukankah dunia ini tempat ujian dan bala sengsara?

Jadi kepada Dato' Seri Ahmad Said, sebaik-baik insan yang patut kita teladani ialah Rasulullah SAW. Kembalilah kepada Allah dan Rasul. Mungkin ujian ini merupakan detik paling bermakna dalam hidup Dato' Seri untuk merenung kembali hakikat kehidupan. Dunia politik akan terus hanyut dengan sifirnya yang tidak pernah betul. Sebaliknya kita mesti menyiapkan diri dan keluarga kita untuk mengadap Allah dalam keadaan membawa hati yang sejahtera daripada sifat-sifat keji. 

Semoga Dato' Seri berjaya melepasi ujian berat ini sebagai hamba yang sebenar-benar hamba di sisi Allah SWT!! Ampun  maaf.




 
Kiriman yang Berkaitan
 
 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text