Social Icons

Jumaat, 27 Mac 2015

Kisah Sejarah Kampong Siputeh, Padang Sera, Kedah

Kedatangan Acheh Ke Kedah

'Sultan Kubang Pasu'
Oleh Suzalina Halid

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dari Kubang Pasu ke Jitra, khususnya di Tok Jalai dekat sini, pasti menyedari kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Walaupun nama Tunku Anum dianggap tidak asing bagi penduduk Kedah, hakikatnya tidak ramai menyedari identiti dan peranan individu di sebalik nama Tunku Anum yang dimeterai pada nama sekolah berusia lebih sedekad itu.

Apa yang pasti, Tunku Anum yang juga anak kepada Tunku Rahmah iaitu puteri sulung Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses pembebasan Kedah daripada penjajahan Siam selama 20 tahun pada 1839, hasil kebijaksanaannya mengambil hati pemerintah Siam di Ligor ketika itu.

Berdasarkan rekod sejarah, Tunku Anum selain membantu membebaskan Kedah, turut mencetus usaha membawa pulang Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, yang diusir Siam ke Melaka, untuk menyambung semula pentadbiran di Kedah, selepas bebas daripada Siam ketika itu.


PAPAN tanda ke Makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid
Kini selepas beratus-ratus tahun, makam Tunku Anum selaku bekas pemerintah negeri Kubang Pasu Darul Qiyam, yang bersemadi di Pulau Pisang, Jitra dan pernah menjadi pusat pemerintahannya, seolah-olah tidak dihiraukan generasi muda, apatah lagi untuk diangkat sebagai antara destinasi pelancongan di Kedah.

Selain Tunku Anum, nasib sama turut menimpa seorang lagi bekas pembesar Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan, yang turut mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada sejarah kelangsungan pentadbiran di Kedah.

Ini kerana, makam Puteri Lindungan Bulan yang menjadi satu-satunya bukti wujudnya pusat pemerintahan Kedah Ke-3 di Kota Siputeh, antara tahun 1282 hingga tahun 1626 yang membabitkan pemerintahan lapan Sultan, turut sepi.



PENGERUSI Sejarawan Malaysia, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof. - Foto Amran Hamid
Ketua Penghantar Bunga Emas

Siapa sangka Tunku Anum dan Puteri Lindungan Bulan antara dua nama besar yang pernah menyumbang kepada sejarah pentadbiran kerajaan Melayu di Kedah. Namun, selepas ratusan tahun berlalu, kedua-dua makam ini ternyata dipandang sepi dan gagal ditonjolkan sebagai antara destinasi pelancongan di negeri ini. Sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib untuk memastikan generasi muda kini mengenali sejarah membabitkan kedua-dua individu ini.

Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof, ketika mengupas sejarah Tunku Anum, berkata pemuda itu turut mendapat gelaran Tunku Paduka Raja Jambangan berikutan dilantik sebagai Ketua Penghantar Bunga Emas kepada Raja Siam di Kota Bangkok pada tahun 1809, iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 1821, Raja Siam mengarahkan armada Ligor menawan kota Kuala Kedah dan bandar Alor Setar, sekali gus berjaya mempertahankan taklukannya selama hampir 20 tahun, menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa menyembunyikan diri di Melaka.


PAPAN tanda maklumat Makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid
Kebangkitan pahlawan Kedah

Namun, pada masa sama, katanya, berlaku kebangkitan pahlawan di Kedah untuk mengambil semula negeri daripada tangan Siam dengan melancarkan dua jenis peperangan yang masing-masing berlangsung pada era 1828 hingga 1831 dan 1838 hingga 1839.

Beliau berkata, Tunku Anum bagaimanapun ketika itu tidak gemarkan peperangan kerana ia disifatkan beliau sebagai berisiko menyebabkan banyak nyawa terkorban dan membabitkan pertumpahan darah.

Justeru, Tunku Anum menjalankan strategi dengan menggunakan helah berangkat ke Ligor kononnya untuk menjaga tawanan Kedah yang ditahan di sana. Kelebihan diperoleh Tunku Anom sepanjang berada di Ligor, digunakan untuk memujuk dan mendapatkan kepercayaan Raja Ligor bagi menyerahkan kembali Kedah kepada pimpinan asal.

"Hasilnya, proses pembebasan Kedah menjadi lebih cepat, malah Sultan Ahmad Tajuddin yang berkelana di Melaka juga dipanggil balik untuk memegang tampuk pimpinan Kedah semula," katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai membalas jasa Tunku Anum, Sultan mengurniakan Kubang Pasu Darul Qiyam yang mempunyai 24 mukim dengan jajahan takluknya bermula dari Tunjang ke Sadao, untuk ditadbir sebagai sebuah negeri dengan pusat pemerintahannya terletak di Pulau Pisang di Jitra.

Ketika ditanya bagaimana keadaan Kubang Pasu sepanjang pentadbiran Tunku Anom, ini jawapannya;

Kubang Pasu diserah kembali kepada Kedah

Kubang Pasu sepanjang pemerintahan Tunku Anom pada 1839 hingga 1853 ketika itu pesat membangun dan berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyatnya dengan wujudnya kilang kain, mahkamah, penjara, pejabat tanah malah masih tersimpan bukti geran tanah yang mempunyai cop negeri Kubang Pasu.

Namun Wan Shamsudin berkata, malangnya selepas kemangkatan Tunku Anum pada 1854, Kubang Pasu yang diserahkan kepada cucunya, Tunku Ishak yang menjadi Raja dan memerintah selama 10 tahun, gagal mempertahankan negeri itu lalu diserahkan kembali kepada Sultan Kedah ke-24 ketika itu iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.



MAKAM Puteri Lindungan Bulan di Kota Siputih. - Foto Amran Hamid
Puteri Lindungan Bulan

Berbeza dengan sejarah Puteri Lindungan Bulan, Wan Shamsudin berkata terdapat dua versi membabitkan fakta dan legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk kampung dahulu kala.

Beliau berkata, dari segi mitos dan lagendanya, Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Sulaiman Syah menyembunyikan puterinya yang bernama Zaleha di dalam sebuah lubang kecil, sehingga terlindung dari cahaya bulan selama tempoh sebulan, bagi mengelak Raja Acheh memperisterikan anaknya itu.

Katanya, dari situlah gelaran Puteri Lindungan Bulan diperoleh dan rentetan insiden itu, Raja Acheh amat marah terhadap Sultan Kedah kerana memperdayakannya sehingga Kedah diserang.

Namun cerita itu hanyalah disebut sebagai mitos dan gagal dibuktikan melalui fakta dan ini adalah cerita sebenarnya;

Kedah diserang Acheh ketika itu berikutan Acheh ingin meluaskan empayarnya di nusantara ini, selain berang dengan tindakan Kedah yang turut menanam lada hitam di beberapa daerah termasuk Langkawi sedangkan Acheh sudah terlebih dahulu menanam tanaman itu yang mampu dijual pada harga tinggi. Keengganan Sultan Kedah mendengar amaran dari Acheh supaya menghentikan tanaman lada hitam menyebabkan Raja Acheh berang lantas menyerang Kedah.


Pokok hilang dahaga bukti kedatangan Aceh
Oleh Suzalina Halid

ALOR SETAR: Tanpa disangka kunjungan ke Makam Puteri Lindungan Bulan, dekat sini, turut membawa kepada penemuan sejenis pokok lokcan, bersebelahan makam berkenaan yang pernah dikaitkan dengan kehadiran Kerajaan Aceh ke Kedah.

Menariknya, pokok lokcan berasal dari Aceh, Indonesia ini hanya boleh dilihat di Kota Siputeh, Padang Sera, dekat sini, yang menjadi satu-satunya lokasi kewujudan tumbuhan terbabit.

Berusia hampir 400 tahun, pokok lokcan di Kota Siputeh ini, tumbuh setinggi kira-kira tiga meter (m) dan rimbun, selain dipercayai mampu berbuah setahun sekali mengikut musim.

Berdasarkan maklumat penduduk kampung, pokok lokcan menjadi antara bukti kedatangan wakil Kerajaan Aceh ke Kedah, kononnya untuk memperisterikan Puteri Lindungan Bulan, sebelum hasratnya ditolak Sultan Kedah ketika itu, Sultan Sulaiman Syah.



POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid
Tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kewujudan pokok lokcan ini, wartawan dan jurugambar BH sekali lagi menemui Tokoh Sejarawan, Wan Shamsudin Mohd Yusof bagi mengesahkan dakwaan penduduk kampung.

Sambil mengiyakan cerita itu, Wan Shamsudin berkata, sejarah mengenai pokok lokcan di Kedah bermula ketika angkatan armada dari Aceh diketuai Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun 1619 ke Kota Siputeh bagi menyerang pusat pemerintahan negeri ketika itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain membawa bekalan makanan dan minuman, pahlawan Aceh turut dibekalkan dengan sejumlah buah lokcan kerana ia dipercayai mampu menghilangkan dahaga.

Katanya, ketika angkatan tentera berehat di sebuah kawasan di Kota Siputeh, pahlawan menikmati buah lokcan itu lalu membuang bijinya, sebelum ia tumbuh dan membesar menjadi sebatang pokok.

"Buah lokcan ini berwarna kekuningan apabila sudah masak dan isinya masam serta manis. Rupanya pula seperti buah epal," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.



POKOK lokcan berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan. - Foto Amran Hamid
Malah, beliau pernah berkunjung ke Aceh pada tahun 1993 bagi menemui rakan sejarawan dengan membawa setangkai dahan dari pokok lokcan.

Berikutan itu, beliau mengetahui bahawa pokok lokcan dikenali sebagai 'berembang' di Aceh dan ia masih dinikmati sebagai `pencuci mulut' oleh penduduk di sana seperti buah-buahan lain.

"Sayangnya, di sini kewujudan pokok lokcan seolah-olah sudah hampir pupus apabila ia hanya tinggal dua batang saja, daripada asal lebih 20 pokok.

"Justeru, kami meminta pihak muzium supaya tidak menebang pokok itu yang menjadi bukti yang mengaitkan serangan Aceh ke Kedah, selain mahu Jabatan Pertanian melakukan sesuatu supaya pokok ini tidak pupus," katanya.

Berkeinginan untuk lebih tahu mengenai kisah pokok ini, BH berkunjung semula ke Kampung Lindungan Bulan dan ternyata kunjungan kami berbaloi apabila berpeluang menemui Yusof Yaakob iaitu penduduk yang tinggal paling hampir dengan kedudukan makam dan pokok lokcan ini.

Yusof yang kediamannya terletak kira-kira hanya 150 meter daripada makam, sudah menetap di sini sejak 50 tahun lalu dan katanya pokok lokcan itu masih sama bentuknya sejak puluhan tahun lalu.

Malah, katanya, setiap kali musim berbuah, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keenakan buah lokcan yang mampu berbuah hingga ratusan biji dengan rasanya persis pisang kaki.


YUSOF Yaacob ketika membersihkan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh. - Foto Amran Hamid

"Sejak kecil, saya rajin naik ke makam ini untuk kutip buah lokcan yang gugur setiap kali musimnya setahun sekali.

"Dulu saya lihat pokok lokcan ini memang tidak berubah, malah ketika tok wan saya masih hidup, dia turut katakan perkara sama," katanya.

Selain lokcan yang terdapat di atas makam Puteri Lindungan Bulan ini, Yusof yang sering menjaga kebersihan di kawasan makam itu berkata, terdapat sebatang lagi pokok sama tidak jauh dari lokasi pertama.

Namun peliknya Yusof mendakwa, pokok lokcan itu tidak mahu hidup selain di tanah kampung Lindungan Bulan.

Bukan sekadar dakwaan kosong, katanya, temannya dari Kuala Lumpur pernah berkunjung ke sini untuk mengambil baka pokok terbabit sebelum dibawa pulang.

Malangnya, pokok itu mati sebaik ia dibawa ke Kuala Lumpur dan perkara sama turut dialami rakannya dari Johor dan beberapa negeri lain yang berhajat seumpama.

Sementara itu, BH sempat menghubungi Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman bagi memaklumkan mengenai hasrat persatuan sejarah itu yang mahu baka pokok lokcan terus dipelihara.

Beliau berkata, melalui semakan di laman sesawang mengenai perihal pokok di negara ini, tiada jenis pokok lokcan yang disenaraikan di Malaysia.

"Saya dimaklumkan pokok lokcan hanya ada di situ. Mungkin saya kena pergi tengok bersama persatuan sejarah sebelum kita dapat kenal pasti jenis pokoknya dan melakukan teknik merambat," katanya.


POKOK lokcan yang ditanam berhampiran dengan Makam Puteri Lindungan Bulan di Kampung Siputeh, Padang Sera. - Foto Amran Hamid

3 ulasan:

  1. assalamualaikum tuan, sy cuma ingin bertanya bagaimana anda menemui Dato' Hj Wan shamsuddin. ada tak alamat beliau, jika xkeberatan nak kongsi.sebab beliau merupakan tokoh yg sy kaji utk kajian sy.

    BalasPadam
  2. cheq utami.. awk blh berurusan dgn persatuan sejarah negeri kedah cawangan Alor Setar.. sy juga membuat kajian di kedah.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum tuan, saya masih penasaran dengan cerita pohon lokcan yang tumbuh di makam tersebut. Apalagi jika dikaitkan dengan sejarah penyerangan kerajaan Pasai. Apa benar buahnya asli dari Aceh? BTW, yang saya ingin tahu... apakah lokasi makam ini berjarak dekat dengan pesisir/coastal? Makasih atas atensinya.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text