Tidak dapat dinafikan tuah sedang melengkari perjalanan politik Mukhriz Mahathir menuju puncak kuasa. Semakin mendekatnya hari pemilihan Naib Presiden, semakin melonjaklah aura nama Mukhriz ke seluruh negara. 146, 500 orang perwakilan yang mewakili bahagian masing-masing sedang menetapkan azam untuk memilih tokoh muda UMNO yang seorang ini. Di tangan para perwakilan inilah akan lahir 3 orang tokoh yang sebenar-benarnya diinginkan rakyat bawahan.
Kali ini, pemilihan Naib Presiden UMNO akan melakar sejarah. Tidak pernah berlaku di dalam perjuangan UMNO, suasana pemilihan semeriah ini. Semua pihak sedang berdebar menanti wajah sebenar barisan pemimpin pilihan rakyat. Bahkan yang paling unik ialah peluang kelompok grassroot menyatakan pilihan masing-masing secara lebih terhormat dan bebas dari pujukan, ancaman atau ugutan politik. Mereka diberi kebebasan untuk menentukan hala tuju parti UMNO untuk lima tahun akan datang. Sekurang-kurangnya itulah harapan semua yang sangat berharap UMNO berubah menjadi parti pembela bangsa Melayu.
Pemilihan kali ini adalah luahan suara hati ahli bawahan UMNO. Ianya lebih dekat dan hampir kepada suara hati orang Melayu secara umumnya. Jika ada pemimpin UMNO yang belum sedar dan insaf, maka pemilihan kali ini diharapkan akan mampu mencelekkan mata hati mereka pada dunia realiti. Pemimpin yang selama ini orang meluat, akan menerima pengajaran yang amat berguna dari para perwakilan.
Kita menyaksikan rata-rata pemimpin UMNO masih khayal dan asyik masyuk dengan kemewahan dan kesenangan. Dalam keadaan muka tak tahu malu, mereka ini dengan selamba menawarkan diri untuk bertanding. Orang sudah tahu, mereka tidak layak bahkan diri sendiri pun tahu, mereka tidak sepatutnya menawarkan diri. Tetapi, itulah nafsu serakahnya manusia sebegini. Cakap mereka hanya janji menanam tebu di bibir mulut. Mereka masih mahu menjadikan kerusi pemimpin sebagai mesin pencetak wang untuk mereka dan keluarga sebanyak-banyaknya.
Untuk mencari 3 orang tokoh pemimpin yang akan menjadi pembantu kanan kepada Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Mukhriz sudah menjadi idaman hati semua perwakilan. Jangkaan umum sudah ada tentang slot pertama kerusi Naib Presiden akan di isi oleh Mukhriz. 2 orang tokoh yang kedua dan ketiga itu tidaklah penting sangat. Mereka hanya akan jadi pelengkap dan pengimbang. Tokoh utama di kalangan Naib Presiden ialah Mukhriz. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu?
Soalnya kenapa para perwakilan akan memilih Mukhriz? Pada pandangan Pak Lang, ciri-ciri berikut ada pada diri Mukhriz.
1) Setelah era Tun Abdullah dan sekarang, sedang melalui era Dato' Seri Najib, ahli UMNO terpaksa mengakui, era pemerintahan Tun Dr Mahathir adalah yang terbaik. Justeru mereka merasakan survival politik orang Melayu amat memerlukan wawasan beliau. Idea-idea segar yang berjaya diimplementasikannya serta ketegasan beliau dalam mencatur pentadbiran negara berbilang kaum ini sangat mengkagumkan. Ianya mengikat hati ahli UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir. Sebaik Tun DM meletak jawatan, semuanya mengharapkan Tun Abdullah dapat berbuat sesuatu yang lebih baik - atau sekurang-kurangnya mengekalkan momentum yang sedia wujud di zaman Tun DM. Tetapi ternyata semua kecewa dengan apa yang terjadi di zaman beliau. Sehingga di zaman Dato Seri Najib, situasi sudah semakin memburuk. Walaupun DSN muncul dengan pelbagai idea tranformasi serta langkah-langkah radikal bagi menyelamatkan UMNO serta survival politik orang Melayu, suasana yang terhasil belum lagi meyakinkan. Masa depan orang Melayu dilihat semakin kabur. Secara umum DSN dilihat gigih berusaha menarik semula sokongan orang Melayu kepada UMNO. Secara realitinya ia telah terjadi. Orang Melayu kembali memilih UMNO dalam pilihanraya yang lalu. Tetapi itu semua tidak cukup. Walaupun idea untuk mengharapkan DSN menjadi seperti Tun DM tidak mungkin berlaku, sekurang-kurangnya semua merasakan perlunya UMNO melahirkan tokoh seperti Tun DM. Watak, kepintaran, keupayaan, ketegasan, kematangan dan sebagainya yang ada pada Tun DM patut ada pada diri seseorang yang ingin menjadi pemimpin nombor satu di negara seperti Malaysia ini. Dan pilihan itu sekarang tertumpah pada Dato Mukhriz. Inilah yang dikatakan anak bertuah!!
2) Orang tidak akan cenderung memilih Dato' Mukhriz kalau dia sekadar anak Tun DM. Orang UMNO yang berpeluang mendekatinya akan tahu aura dan wibawa anak kelima Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah ini. Mereka akan tahu bahawa di dalam diri Mukhriz sebenarnya sudah ada ramuan keperibadian dan kepimpinan yang diwarisinya dari kedua orang tuanya. Sama seperti ayah ibunya, Mukhriz tidak merokok dan tidak minum arak. Ini adalah syarat yang bukan utama dalam politik tetapi bagi golongan bawahan UMNO yang benar-benar berjiwa Melayu beragama Islam, dua perkara ini sangat penting. Orang bawahan dalam UMNO membenci pemimpin UMNO yang menghisap cerut sebesar batang paip yang berharga RM300 sebatang!! Mereka tahu, itu adalah lambang kekayaan dan kemewahan yang sudah menggunung yang tidak akan habis dikikis 7 keturunan. Mereka juga tahu kebanyakan kekayaan itu dikaut dengan cara yang haram. Tentunya mereka adalah pelaku rasuah yang sanggup menggadai negara demi untuk kemewahan dan kemewahan dan kemewahan....
3) Dato' Mukhriz dilihat bersih, berbau bersih dan ternyata memang bersih. Inilah maksud Integriti. Orang lain belum tentu. Ada yang pandai berlakon maka berupayalah untuk dilihat bersih, berwibawa dan ada wawasan membela agama, bangsa dan negara. Tetapi jika di dekati, tentulah individu yang jahat akan tetap berbau najis. Dan jika semakin rapat, tentulah akan terserlah hakikat sebenarnya yang kotor, jijik dan busuk orangnya!! Ini adalah pengalaman kebanyakan ahli UMNO di seluruh negara. Oleh kerana ahli UMNO bawahan sudah sangat kenal orang-orang yang busuk sebegini, maka mudahlah mereka melihat orang yang bersih seperti Dato' Mukhriz. Ianya sangatlah mudah kerana mereka sudah lama mengenali ramai yang jahat, busuk dan jijik tetapi apa kan daya, mereka hanya orang bawahan. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Sekarang peluang sudah di tangan mereka. Kita akan tengok dahsyatnya penolakan ahli bawahan terhadap pemimpin UMNO yang busuk-busuk sebegini.
4) Walaupun Mukhriz tidak meletakkan ketayap di kepala, orang ramai tahu jiwa agamanya. Orang semua tahu, minatnya kepada agama. Beliau masih mengekalkan kuliah agama mingguan di Seri Mentalon yang dimulakan bekas MB Kedah Allahyarham Dato' Seri Azizan Razak. Kuliah agama tersebut sekarang disampaikan oleh SS Dato' Paduka Syeikh Baderuddin Hj Ahmad, Mufti Negeri Kedah - seorang tokoh ulama yang sangat terkenal di utara tanah air. Sambutan bagi majlis ilmu di kediaman resmi Menteri Besar itu amat menggalakkan. Dato' Mukhriz sendiri seboleh-bolehnya akan hadir mengikuti kuliah tersebut. Mendekati ulamak, meraikan pandangan golongan cerdik pandai agama adalah watak peribadi Mukhriz. Bahkan rakyat negeri Kedah sangat maklum hubungan rapat antara beliau dengan Dato' Paduka Mufti Negeri Kedah. Tentulah pemimpin sebegini lebih diharapkan kerana seseorang pemimpin perlu berada dalam kategori pemimpin yang diberkati Tuhan - atau berusaha mendapatkan berkat para ulama yang bertaqwa.
5) Watak dan keperibadian Mukhriz sangat kena dengan selera ahli UMNO. Peribadinya terbentuk mengikut acuan tersendiri oleh asuhan kedua orang tuanya yang sangat tegas. Oleh kerana ayahnya menjadi pemimpin negara yang mempunyai aura luar biasa, kesannya sangat membekas pada diri Mukhriz. Sebahagian besar watak ayah dan ibunya 'tercetak' kemas di dalam dirinya. Watak yang selebihnya akan semakin terbentuk dari masa ke semasa. Dia akan tahu bagaimana memahami, menganalisa serta membuat keputusan kerana beliau lebih dekat dan lebih faham tentang ayahnya. Mukhriz sangat beruntung dari sudut ini. Kelebihan sebegini tidak ada pada tokoh lain. Dalam apa situasi pun, Mukhriz akan berupaya menanganinya mengikut kaedah yang digunapakai ayahnya - yang dia sudah pernah menyaksikan perlaksanaannya. Dengan kata lain, Dato Mukhriz akan ada tempat rujuk iaitu ayah dan ibunya- samada semasa hayatnya atau sebaliknya.
6) Kesan pendidikan yang diterima di dalam negara berbeza dengan apa yang ditempuh di luar negara. Mukhriz adalah 'produk' kelahiran MRSM. Ayahnya memilih menyekolahkannya di dalam negeri - tentunya kerana disiplin di MRSM yang diyakini mampu membentuk sahsiah anaknya. Sebenarnya itulah antara keistimewaan pelajar-pelajar MRSM. Kehidupan di asrama yang menekankan soal hidup berdikari, ketekunan, kesungguhan, akhlak serta disiplin ibadah di asrama MRSM menjadi pencorak peribadi Mukhriz. Orang mengenali Mukhriz sebagai seorang anak muda yang tidak suka berfoya-foya. Hal ini tentulah berbeza dengan ramai tokoh UMNO yang lain. Waktu muda mereka adalah catatan yang memalukan!! Tun Dr Mahathir telah dengan bijaknya mengepung anaknya ini agar terbentuk dengan peribadi bersih sejak kecil. Sejarah peribadi yang bersih adalah syarat utama untuk hidup sebagai seorang ahli politik di Malaysia.
7) Dato' Mukhriz telah teruji dengan berbagai sepak tendang politik. Tentulah Tuhan yang telah mentaqdirkannya sedemikian untuknya. Hikmahnya untuk dia belajar bagaimana perasaan orang yang tersingkir, kalah atau dihina. Perasaan sebegini perlu ditempuh sendiri sebagai persiapan dalaman. Ianya berlaku secara normal, tanpa diusahakannya. Ianya akan melatih jiwa yang penyabar, tabah dan tahan lasak. Ianya juga menjadi cara mengenali kawan dan lawan bahkan cara paling mudah mengenali diri sendiri.
8) Ahli UMNO tidak akan memilih Mukhriz melainkan kerana dia sendiri telah buktikan jasa dan hasil kerja yang tersendiri. Umum mengetahui, beliau berulang alik balik ke Kedah sebaik kekalahan memalukan UMNO kedah di tangan PAS. Sebagai tokoh muda - anak Tun Dm, Mukhriz telah menggembeling tenaga ahli UMNO untuk bangkit semula. Ianya bukan kerja yang mudah. Moral ahli UMNO Kedah ketika itu jatuh teruk. Semua JKKK di seluruh negeri Kedah malu hendak mengangkat muka di hadapan penyokong PAS. Mukhriz berjaya menyatukan pemimpin lama dan muda di Kedah untuk menjadi saf yang utuh. Mereka berpadu. Dato' Ahmad Bashah berjaya didekatinya dan mengumpulkan semua pemimpin UMNO negeri untuk saling berbincang dan bertukar pandangan. Ini adalah keupayaan kepimpinan yang luar biasa. Walaupun masing-masing mempunyai peranan, tetapi aura yang ada pada Mukhriz diyakini telah menjadikan BN dapat menguasai Kedah semula. Apa yang terjadi sangat ajaib. Sokongan rakyat Kedah kepada BN melonjak dahsyat bilamana Dato' Sn mengumumkan; jika BN menang, Dato Mukhriz akan dilantik menjadi MB kedah yang baru. Itulah penangan orang yang bernama Mukhriz Mahathir!!
Cukuplah Pak Lang senaraikan lapan perkara untuk menyatakan bahawa laluan ke puncak yang sedang dilalui Mukhriz Mahathir sedang tersedia di hadapan matanya. Semoga Mukhriz akan menjadi pembantu yang setia dan bertenaga dalam membantu Presiden dan Timbalannya nanti... Serahkanlah segala-galanya kepada Tuhan. Dialah penentu segala-galanya. Manusia yang jahat tidak akan mampu berbuat apa-apa jika Tuhan menghendaki sebaliknya!!!
Bacalah petikan dari blog Sdr Norizan Shariff; KLIK DI SINI
100 HARI MUKHRIZ MAHATHIR
Mukhriz
mula menapak dengan betul pada 100 hari pertama beliau menjadi Menteri
Besar. Sekarang, rakyat sedang memerhatikan bagaimanakah beliau akan berlari untuk lima tahun seterusnya! |
Senario 1
Sewaktu menghadiri majlis kenduri perkahwinan di Kuala Kedah baru-baru ini, tuan rumah meminta saya untuk tunggu sebentar.
"Jangan balik lagi," kata beliau yang merupakan saudara terdekat saya.
"Kenapa?" tanya saya.
"Dato' Mukhriz nak datang," kata beliau penuh bangga.
Saya memandang beliau kehairanan. Beliau yang merupakan saudara saya pernah memberitahu yang dia sudah "cemuih dengan UMNO."
Senario 2
Ketika berucap dalam satu perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan
kerajaan Negeri Kedah, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir menyebut mengenai
sejumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.
"Sebenarnya hutang ni bukanlah berlaku dalam tempoh kepimpinan kerajaan lima tahun lalu, tetapi sebelum itu lagi," katanya.
Selepas mesyuarat, saya berbual dengan beberapa orang pegawai kanan kerajaan.
Seorang pegawai menyebut bahawa beliau suka dengan pendekatan Mukriz yang tidak menyalahkan kerajaan lalu.
"Ini berbeza dengan Menteri Besar (beliau sebutkan nama negeri) yang
asyik salahkan Menteri Besar dulu walaupun dia sudah lima tahun duduk di
kerusi itu," katanya.
Senario 3
Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abd Razak tidak menghadiri majlis
angkat sumpah Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baru di Istana Anak
Bukit.
Puncanya, beliau sakit dan dimasukkan di Kedah Medical Center (KMC).
Selepas angkat sumpah, Muhriz menziarahi beliau di KMC.
Apabila Azizan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, Mukriz beberapa kali melawat beliau di sana.
Selain itu, Mukhriz juga mengadakan majlis bacaan doa di Masjid Zahir Alor Setar untuk bermunajat agar Azizan segera sembuh.
Muhriz pernah memberitahu beberapa orang, apa saja yang baik yang
dilakukan oleh Azizan, akan diteruskannya. Sebagai contoh, majlis ilmu
yang diadakan Azizan di kediaman rasmi di Mentaloon diteruskan oleh
Mukhriz.
Senario 4
Sejak menjadi Menteri Besar, Mukhriz masih tinggal di kediaman
keluarganya di Titi Gajah. Sama seperti Azizan, Mukhriz tidak berpindah
ke kediaman rasmi Menteri Besar.
Apabila soalan ini diajukan kepada pegawainya, alasan yang diberikan
ialah Mukriz tidak mahu membelanjakan kos yang tinggi untuk membaikpulih
kediaman rasmi tersebut.
Untuk masa ini, beliau memilih untuk tinggal di Titi Gajah. Malah, ada
pegawai pejabat beliau yang menumpang di rumah tersebut untuk sementara
waktu.
* * * * *
Sehingga 100 hari kepimpinannya, Mukhriz telah melangkah dengan baik.
Rata-rata, penduduk Kedah selesa dengan Mukhriz. Beberapa orang
penyokong PAS yang ditemui juga senang dengan kepimpinannya.
Ini adalah satu permulaan yang baik.
Bagaimanapun, ini bukan bermaksud Mukhriz tidak akan berhadapan dengan
cabaran. Sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz harus memikirkan bagaimana
untuk memajukan negeri itu dengan sumber yang terbatas. Mukhriz ada
idea yang banyak. Persoalannya ialah adakah dia juga ada sumber yang
diperlukan untuk memajukan Kedah.
Usaha menarik pelabur bukanlah satu usaha yang mudah. Industri
pelancongan berkembang pesat di Langkawi, tetapi di tanah besar tidak
begitu. Sektor pendidikan dan perkilangan mempunyai potensi. Begitu juga
pertanian yang selama ini mendominasi ekonomi negeri perlu dimajukan.
Bagi menggembeling agensi dan pemikir, Mukhriz menganjurkan Makmal
Transformasi Kedah mulai 1 September ini. Terus-terang, beliau mempunyai
harapan yang besar kepada makmal ini. Namun, mampukah makmal ini
menjana idea-idea baru?
Dalam politik, Mukhriz bukanlah Ketua UMNO Bahagian, namun beliau
diberikan kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri. Ini adalah satu amanah yang besar. Kemampuan Mukhriz menguruskan
Ketua-ketua UMNO Bahagian - dan mengambil pendekatan inklusif - akan
memperlihatkan skil kepimpinan politik beliau.
Sekarang sudah ada suara-suara yang inginkan beliau bertanding Naib
Presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan datang. Saya kurang pasti
sekuat manakah suara-suara tersebut, namun saya fikir eloklah pada masa
ini beliau tumpukan kepada kepimpinan di negeri Kedah. Masih banyak yang
perlu dilakukan.
Satu lagi cabaran Mukhriz ialah menguruskan Perkhidmatan Awam Kedah
(Kedah Civil Service). Sebahagian anggota KCS, ada yang tidak
menunjukkan prestasi yang baik (deadwoods). Semua orang tahu sikap
"longleh" sesetengah kakitangan awam di negeri itu. Bagaimanakah Mukhriz
mengendalikan kes-kes ini tanpa memberikan mesej yang salah kepada
kakitangan awam.
Apa pun, seperti yang disebutkan di awal tadi, Mukhriz mula menapak
dengan betul pada 100 hari pertama beliau menjadi Menteri Besar.
Sekarang, rakyat sedang memerhatikan bagaimanakah beliau akan berlari
untuk lima tahun seterusnya!
0 ulasan:
Catat Ulasan