Social Icons

Khamis, 31 Oktober 2013

Ubahlah Sistem Pendidikan Negara Kepada Sistem Pendidikan Islam Yang Sebenarnya!!


Dalam dunia Islam hari ini rasanya tidak ada menteri pendidikannya yang mampu mengubah sistem pendidikan negaranya mengikut sistem Islam yang sebenarnya. Kebanyakannya terikut dengan sistem sekular yang meletakkan pencapaian akal sebagai asas penilaian kualiti seseorang pelajar.

Ya! bukan mudah untuk dirungkai sesuatu yang telah lama mengikat kita. Walaupun dunia pemikiran manusia telah banyak berubah, ramai pula yang masih selesa untuk terus kekal dalam kepompong lama.

Contohnya Tun Dr Mahathir sendiri mengatakan demokrasi bukan sistem yang baik.(BACA DI SINI). Tetapi secara realitinya berapa ramai tokoh politik yang berusaha mengawal demokrasi daripada terus dipergunakan untuk merosakkan agama, bangsa dan negara?

Begitu juga ramai mengakui sistem pembelajaran berasaskan peperiksaan sudah tidak relevan dengan keperluan masa kini. Sitem berasaskan peperiksaan tidak akan melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif. Pakar pendidikan dunia mengakui hal ini. Malangnya tidak ramai menteri yang sanggup mengubah dasar pendidikan di negara mereka. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk keluar dari pemikiran lama.

Dalam Islam, manusia dinilai pada hatinya bukan pada kekuatan akalnya. Lihatlah panduan Tuhan di dalam Al-Quran yang bererti; "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Sabda Rasulullah s.a.w.; yang bererti: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas bagiNya dan bertujuan mendapat keredaanNya"

Juga Baginda saw bersabda: Terjemahannya: "Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad. Bila buruk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Semua menteri pelajaran di negara-negara Islam membaca dan memahami ayat Al-Quran dan hadis yang membawa makna di atas. Malangnya mereka tidak mengambilnya sebagai dasar tindakan mereka. Hasilnya mereka terus mengutamakan pencapaian akal dalam pendidikan. Sedangkan pendidikan yang sebenarnya ialah proses mencelikkan mata hati. Pendidikan adalah membina rasa-rasa hati yang tepat dengan Allah swt yang akal tidak mampu mencapainya.

Akal hanya berupaya faham tetapi tidak mampu mendorong untuk berbuat taat yang ikhlas kerana Allah. Sebab itu pendidikan hati yang perlu digubal dan dikurikulumkan!!

Sukarnya berubah dan mengubah sesuatu yang sudah diketahui membahayakan kepada yang menyelamatkan. Susahnya orang mahu mengakui kesilapan dan berani untuk menukar cara berfikir dan bertindak. Semuanya masih selesa dengan cara lama yang hasilnya sangat merugikan negara.

Lihatlah hasil pendidikan di negara kita pada hari ini!! Kemelutnya sudah meruncing dan menyedihkan tetapi kita masih belum mahu mengakuinya. Data dan statistik yang ada sudah menunjukkan graf akhlak yang semakin menjunam tetapi pakar-pakar pendidikan masih terkial-kial mencari kaedah demi kaedah. Memang ada yang dirombak atau diubah suai tetapi ianya hanya mengubah pada nama - tidak pada hakikatnya.

Membaiki manusia mesti dimulakan dari membaiki hatinya!! Inilah fokus yang sangat signifikan dengan keperluan pembangunan negara sekarang dan pada masa depan. Jika negara mahu terus terhormat mulia, binalah anak bangsa dengan rasa hati yang kenal siapa penciptanya. Mereka akan tahu berakhlak dan bertindak yang sejajar dengan kehendak Tuhan.

Walau bagaimana pun hanya yang sedar sahaja yang akan bangkit. Bagi mereka yang masih tidur, hanya mimpi buruk sahaja yang mampu mengejutkan mereka. Siapa yang akan bangkit dengan kesedaran baru, jika ia masih tidak memahami situasi sebenar? Kita akan kekal mengutip hasil yang busuk jika terus tidak menjaga pohon yang kita tanam dengan baja dan kawalan seccukupnya. Semoga Allah menyelamatkan anak bangsa kita!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text