Social Icons

Ahad, 20 Oktober 2013

Yang Hendak Menjadi Pemimpin Itu Ramai, Yang Berkepimpinan Sudah Tiada

Bacalah tulisan mengenai politik tanahair dalam paparan kali ini. Sebagai rakyat dan sebagai remaja yang sedang meningkat usia, sangatlah perlu memahami perkembangan politik tanahair. Anak cucu semua kena peka dan sensitif dengan pergolakan yang terjadi. Lambat laun ianya akan terkena batang hidung kita sendiri. Sebab itu kenalah juga membaca akhbar atau berita semasa. Mengetahui hal di sekitar kita adalah pertanda kepekaan kita.

Pak Lang suka membaca tulisan Pak Aspan seperti di bawah. Ianya kelihatan jujur dalam memperkatakan nasib agama, bangsa dan negara kita yang tercinta. Semoga Tuhan memimpin hatinya untuk terus menulis sesuatu yang bermanfaat bagi menyelamatkan negara daripada terjatuh ke tangan manusia-manusia yang durjana. Berdoalah agar Tuhan menyempurnakan nikmatnya untuk bangsa Melayu Islam terus menerajui kepimpinan negara ini. Tuhan maha berkuasa melakukan segala-galanya!!

SILA KLIK UNTUK KE BLOG ASPAN ALIAS

BERIKUT ADALAH TULISAN BELIAU:

Yang nak jadi pemimpin tu ramai, yang berkepimpinan sudah tiada


Kenyataan begitu jelas, UMNO penuh dengan pemimpin dan pemilihan pemimpin dalam UMNO sentiasa mendapat liputan meluas dari media massa perdana dan alternatif. Keputusan pemilihan sudah di ketahui dan dijangka. Apa yang di jangka itu benar semuanya. Apa dia kebenarannya? Banyak kebenaran yang di jangka dari awal.

UMNO tidak mempunyai kepimpinan lagi. Malahan pemimpin-pemimpin yang menang itu tidak berkepimpinan. Mereka tidak tahu ‘hujung pangkal’ tentang kepimpinan. Mereka tidak memahami apa yang hendak di pimpin, bagaimana hendak memimpin dan apa perlu dilakukan dan nilai yang perlu ada untuk memimpin. Mereka itu layaknya duduk dengan saya dikedai kopi mamak selalu.

Yang mereka tahu ialah, aku sekarang dah jadi Menteri dan jadi itu dan ini. Tetapi jika ditanya apakah yang mereka hendak lakukan, mereka akan berkata melakukan segala-galanya untuk agama, bangsa dan negara.

Rupa-rupanya agama, bangsa dan negara itu ialah semua untuk mereka. Jika agama itu mereka ke Mekah setiap tahun dan bulan. Perjuangan untuk bangsa itu ialah dengan memainkan isu rasis dan perjuangan untuk negara itu ialah bekerja kuat untuk menjadi Perdana Menteri kerana jika menjadi Perdana Menteri mereka akan memperkosa negara dan rakyatnya sekali.

Perkara lain mereka tidak tahu. Itu sebabnya menjadi pemimpin besar itu penting bagi peribadi mereka kerana kejayaan mereka di ukur dari setakat mana tingginya kedudukan yang mereka boleh capai. Jika jawatan yang di sandang mereka itu jawatan yang tinggi, itu adalah kejayaan bagi mereka. Itulah sebabnya mereka bermati-matian untuk mendapat jawatan besar.

Kekurangan ilmu kepimpinan mereka dengan senang mereka tutupi dengan bermain politik wang kerana mereka dari awal menjadikan bangsa Melayu itu orang yang marhen dalam segala bidang dan menjadi bangsa yang sentiasa mengharapkan perlindungan. Jadi mereka boleh di bayar dan di beli dan sesiapa yang membayar akan mendapat undi dan sokongan.

Bagi mereka yang lemah ilmu agamanya sedangkan mereka mahu menjadi orang yang kononnya beragama, mereka menggunakan isu seperti isu nama Allah dan isu ini boleh membuat orang ramai yang telah di kosongkan jiwa dan batin mereka untuk bersatu kononnya untuk membela agama dan bangsa.

Mereka ini sentiasa mahukan perlindungan kerana bersikap rendah diri dan tidak mahu berlumba-lumba untuk mendekatkan mereka kepada agama. Mereka terlalu ‘naïve’ dan mahukan perlindungan itu dan mahukan agama itu datang kepada mereka untuk melindungi mereka yang dalam kedhaifan itu. Mereka bukannya untuk Allah tetapi mereka hanya mahukan nama Allah itu sahaja dan mereka mengaku memperjuangkan Islam. Mereka hanya mahu menguasai nama Allah itu sahaja tetapi tidak mahu mengesakan Allah itu. Mereka mahukan nama Allah itu sebagai tangkal yang di lekatkan dibibir dan telinga manusia yang dipimpin mereka.

Jika mereka mahu mengesakan Allah mereka tidak akan lakukan rasuah dan berbagai-bagai tindakan mazmumah dalam hidup mereka. Pemimpin seperti ini pada hakikatnya mahukan perpecahan kerana kuasa yang ada kepada mereka akan memudahkan mereka menguasai rakyat dengan menanamkan nilai-nilai mazmumah di dalam diri rakyat pimpinan mereka.

Tidak usah kita mengharapkan atau menaruh harapan untuk UMNO mengetahui segala-galanya ini. Mengharapkan pimpinan yang ada sekarang ini memperjuangkan agamanya, bangsanya dan negaranya sudah menjadi satu perkara yang tidak mungkin tercapai lagi. Bak kata AR Tompel, “It’s impossible!”.

Akhir-akhir ini saya berulangkali menyatakan, hanya satu jalan sahaja untuk membetulkan keadaan negara ini, iaitu tanggungjawab ini dilakukan oleh parti-parti dalam BN untuk membetulkan landasan perjuangan rakyat. PBB, PBRS dan lain-lain parti di Sawarak serta parti-parti lain dalam BN di Sabah wajar melakukan sesuatu. Mereka pun bermasalah dengan pemimpin-pemimpin utama UMNO dan bahangnya dirasakan oleh mereka jua.

Mereka wajar bersatu dan jika mendapat sokongan parti-parti dalam pakatan maka tindakan untuk membetulkan negara masih ada harapan untuk di perbaiki. Tidak usah menumpukan kepada parti-parti lagi, tidak kira parti dalam BN atau pembangkang. Yang penting dalam keadaan genting sebegini wajar semua parti memikir dan mengutamakan keselamatan negara dalam semua bidang.

Kita cari seorang pemimpin yang boleh menghidupkan kembali semangat negara kita yang sudah di ambang kehancuran itu. Ahli-ahli legislatif persekutuan wajar bersatu untuk mencari seorang yang mampu dan masih mempunyai roh perjuangan untuk negara dan rakyat sejagat, bukannya untuk memperjuangkan sekelompok rakyat pimpinan kerajaan hari ini.

Tidak pernah kita melihat di mana-mana negara yang parti pemerintah mempunyai jiwa yang begitu fakir dan tidak pernah juga kita mendengar parti pemerintah dan kerajaan berebut-rebut dengan nama Tuhan selain dari negara kita. mereka tidak mahu menerima ketentuan Tuhan itu sendiri tetapi hanya memerlukan nama Tuhan itu untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Kata-kata pemimpin hanya indah di dengar tetapi tidak terlihat apa yang mereka sebutkan itu terlaksana. Semalam kita mendengar Najib menasihati mereka yang menang yang beliau kehendaki itu. Beliau menasihatkan mereka yang menang itu supaya mengambil kemenangan itu sebagai tanggungjawab kerana semuanya itu akan di soal di akhirat nanti. Cantik dan enak bunyinya.

Sekarang biar kita pula mengarahkan nasihat itu kepada beliau sendiri. Berbuat baiklah kepada negara dan rakyat berbilang kaum dan agama ini. Jadikan itu matlamat saudara. Oleh kerana saudara tidak berkemampuan untuk melakukannya gunakanlah cebisan pengaruh yang ada untuk menyatukan kepimpinan negara yang sudah punah ranah ini.

Mungkin anda terpaksa melakukan sesuatu yang tidak dijangka, iaitu berhenti sahaja dan biarkan kepimpinan parti-parti dalam BN itu berunding untuk mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan keadaan negara jika di izin Tuhan.

Orang boleh melakukan sesuatu yang baik itu berada diluar kepimpinan tertinggi UMNO. Itu sahaja cara bagi anda menebus kembali kelemahan-kelemahan anda yang telah menyebabkan negara kita terumbang-ambing tanpa hala dan tuju sekarang ini.

Itu sahaja cara bagi anda untuk menikmati ketenangan jiwa di masa hadapan. Sebagai mana yang di sarankan oleh blog ini sebegitu lama, ‘we need to restart this nation anew’.

Tinggalkan lah nama yang baik sebelum kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Maklum sajalah ajal dan maut itu adalah hak Allah semata-mata. Kita boleh di ambilnya pada bila-bila masa.

Najib perlu sedar yang musuh beliau terlalu ramai dalam UMNO itu. Kemenangan tiga kerat Naib Presiden yang penyandang itu tidak mampu menolak arus yang sedang mengalir dengan deras dalam UMNO itu sendiri.

Jika Najib tidak melakukan kebaikan untuk negara dan dirinya sendiri dalam masa yang terdekat ini, nescaya beliau tidak akan menyedari yang suatu hari yang tidak berapa lama lagi beliau akan dikelilingi oleh mereka yang akan menolak beliau. Semasa itu nanti kemenangan ketiga-tiga calon Naib Presiden itu tidak menjamin keselamatan beliau sendiri.

Najib mesti tahu, apabila graf kepimpinannya menurun yang tiga pemimpin ini belum tahu kekal bersama beliau. Masa itu nanti hendak mara tidak boleh dan berundur pun akan memakan dirinya sendiri.

Sedangkan harimau pun mati meninggalkan belang, takkan lah Najib tidak dapat meninggalkan nama walaupun sedikit.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text