Social Icons

Selasa, 1 Oktober 2013

Kisah Benar - Suami Lari Meninggalkan Rumah

Membaca tulisan Tn Nawawi Dahlan dalam blognya mengenai poligami sangat menarik dan menghiburkan. Tulisannya bersahaja, sangat mencuit hati dan penuh dengan hujjah-hujjah mantap yang tak mungkin dapat dipertikaikan. KLIK UNTUK KE BLOG MATAHATI

Bagi golongan yang belum berpoligami - tetapi sangat teringin berpoligami - tulisan Tn Nawawi ini akan menggeletek hati mereka untuk terus kekal membacanya. Justeru Pak Lang syorkan Tn Nawawi teruskan istiqamah menulis tajuk yang sangat menarik ini. Harap-harap dapat dibuat buku nantinya. Ramai sangat peminat poligami di luar sana yang begitu inginkan maklumat berkaitan cara hidup 'berani' sebegini iaitu berpoligami. 

Kaum lelaki juga terdedah dengan penderaan!! Janganlah diingat, hanya kaum wanita sahaja yang kena dera. Sebenarnya kes-kes dera yang ditanggung oleh kaum lelaki lebih dahsyat. Cuma oleh kerana yang kena dera sebegini adalah lelaki maka tidaklah riuh rendah kedengarannya. Orang lelaki lebih berjiwa besar, sabar dan tabah. Mereka lebih matang dan rasional menempuh ujian penderaan.

Kaum wanita secara umumnya lemah dan lembek. Sikit-sikit teruji sudah menjerit melolong-lolong macam pelesit tercabut rambut sehelai. Sebab itu kes kena dera di kalangan wanita lebih hebuh diperkatakan berbanding yang ditanggung lelaki. Ya lah! kaum wanita bercerita tentang kisah mereka teraniaya sambil tangisan dan air mata serta sedu sedan!! Emosinya dengan cepat terpindah kepada pihak yang menonton atau membaca kisah mereka. 

Kaum lelaki lebih selesa menanggungnya sendirian. Sendiri kena, sendiri tanggung. Bebanan seberat mana pun yang menimpa, lelaki yang matang dan berjiwa besar akan terus membiarkan kisah deritanya kekal di dalam dirinya. Dia tidak akan mengadu dan mencecerkan masalahnya kepada orang lain (Apatah lagi untuk menghebahkannya di dalam media cetak atau elektronik - malu!!). 

Justeru tidaklah banyak kisah lelaki kena dera yang tersebar tetapi bagi semua lelaki, mereka juga mempunyai sejarah penderitaan yang lebih hebat dan dahsyat. Bagi yang beriman dan kuat keyakinannya dengan Tuhan, mereka tidak melihat masalah atau ujian itu sebagai suatu yang sukar. Mereka meniliknya dari sudut positif. Mereka melihat ujian - dalam apa bentuk sekalipun - adalah suatu yang datang dari Tuhan. 

Sebaik ujian datang, secepat itulah hatinya akan terasa dirinya sedang 'diperhatikan' Tuhan. Dia tidak sempat melatah - apatah lagi menjerit atau mengadu-ngadu. Dia akan menempuhnya dengan tenang dan berusaha untuk sabar atau redha. Biasanya Tuhan datangkan ketenangan dalam hatinya. Di sebalik ujian dia akan memperoleh ketenangan dan rasa bahagia. Orang yang lemah jiwa, semakin diuji semakin melalut-lalut dan mengelak dari melakukan muhasabah. Apa yang dibuat ialah mencari-cari salah orang lain. Alahai!!

Dalam kes kena dera - samada kita sedar atau tidak - lelaki paling banyak di dera oleh pasangan hidupnya!! Bila Pak Lang renung-renung hal ini memang kasihan pada rakan-rakan yang tiada pegangan agama atau tiada keupayaan memimpin isteri. Al hasil siisteri 'mengambil-alih' kuasa mentadbir rumah tangga. Dari situlah bermulanya kes-kes dera wanita ini terhadap suaminya. 

Ianya adalah penderaan mental dan jiwa. Lelaki yang sudah boleh diarah-arah oleh isteri tersangatlah malangnya. Cuma mereka malu nak bercerita atau masih sanggup bersabar. Ingatkan anak-anak, keluarga dan sebagainya, maka semua yang dideritakan itu didiamkanlah sahaja. Tetapi hati di dalam terobek-robek, tersiat-siat. Lukanya adalah luka yang dalam. Sembilunya yang melekat sentiasa menyiat-nyiat bahagian dalaman jiwanya sepanjang masa. Dialah mangsa dera yang dunia tidak menyedarinya. 

Petang semalam secara kebetulan Pak Lang terjumpa rakan lama yang sudah lebih 2 tahun tidak bertemu. Namanya Hamid (Bukan nama sebenar). Pak Lang memanggilnya Bang Hamid. Dipeluknya Pak Lang erat-erat dengan membisikkan kata dia sangat rindukan Pak Lang dan sudah lama tercari-cari di mana Pak Lang menghilang. Dia tidak tahu Pak Lang sudah berkelana ke Australia, Thailand, Jordan dan Saudi Arabia mengerjakan haji dalam jangka masa tersebut.

"Bang Hamid sudah kahwin kah?" Itulah soalan pertama Pak Lang padanya. Sebenarnya Bang Hamid ini saya sangka sudah bercerai dengan isterinya. Kesnya sama seperti cerita di atas. Suami kena dera dek isteri. Isteri langsung tidak memperdulikannya. Sentiasa membebel, merungut dan menuntut yang macam-macam. Bang Hamid sudah tidak tahan. 

Sebagai seorang bekas anggota tentera (berpencen), Bang Hamid masih sanggup menahan marahnya. Dia lebih rela berdiam diri tetapi pada Pak Lang yang dianggapnya sebagai gurunya, dia ceritakan semua yang berlaku dalam rumah tangganya.  Anak-anak tidak mendengar cakap, mengambil dadah, malas membantunya bekerja di restoran yang diusahakannya. Semuanya menjadikan dia bertindak 'lari' dari rumah. Keluarga lain ada kes anak lari dari rumah atau isteri lari dari suami tapi dalam kesnya, suami yang 'lari'!!

Bang Hamid ini meninggalkan rumah dan keluarganya. Dia berkelana ke Kedah dan mengambil keputusan duduk di sebuah pondok pengajian. Dia membawa diri -  mungkin merajuk. Apa pun, tindakannya itu lebih kepada bertekad hendak 'mengajar' siisteri dan anak-anak. Di pondok itulah dia melakukan pembaikan diri. Bermuhasabah dan merenung semula sejarah perjalanan hidupnya. Dia bertaubat dan pasrah dengan Tuhan.

Pertanyaan Pak Lang tadi dijawabnya, "Eh!! Bang Hamid dah kahwin la.. Tak kan tak kahwin!!" Jawapannya mengejutkan Pak Lang. Betulkah dia telah ceraikan isterinya yang bermasalah dulu? Sambil bersembang, Bang Hamid mengajak Pak Lang masuk ke sebuah restoran. Ada beberapa orang di situ termasuk seorang wanita yang lebih kurang seusia dengannya. Pak Lang tidak mengenalinya. 

"Sebenarnya ini isteri saya yang dulu Ustaz!! Kami masih kekal sebagai suami isteri." Bang Hamid memperkenalkan Pak Lang dengan wanita tadi. Penjelasannya memeranjatkan Pak Lang. "Ohh rupanya berjaya juga dia 'mendidik' isterinya." kata Pak Lang dalam hati. Kami berbual biasa bertanya khabar dan bertukar nombor telipon. Pak Lang ada urusan yang lain. Jadi tidak boleh lama dengannya

Apabila Pak Lang mahu beredar, Bang Hamid mengiringi Pak Lang ke kereta dan berbisik, "Sebenarnya bila saya membawa diri lebih dari enam bulan, Itulah peluang saya membaiki diri. Saya ikut apa yang Ustaz pesan pada saya. Baiki diri itu menajamkan doa. Rupa-rupanya isteri dan keluarga baru terasa kehilangan saya. Baru mereka insaf apa yang selama ini mereka lakukan terhadap saya."

Bang Hamid bercerita perlahan dengan wajah terharu. Dia menyaksikan kuasa Tuhan mengubah isteri dan keluarganya. Dia hanya baiki diri dan menyerah segala-galanya pada Tuhan. "Alhamdulillah anak saya yang menghisap dadah menyerah diri untuk dipulihkan di Pusat Jagaan Merubah Hati di Kampung Teluk Tenggiri, Padang Sera, Jitra, Kedah. Isteri saya pula datang menjemput saya pulang sambil menangis dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan yang lalu." Sambung Bang Hamid. "Saya syukur sangat pada Allah yang sudi mendengar rintihan saya. Jadi bila mereka semua insaf dan bertaubat, eloklah saya kembali menerima mereka dan Alhamdulillah, kami hidup bahagia sekarang!!"

Sambil bersalam sempat pula Bang Hamid bergurau, "Walau macamanapun, saya rasa, saya kena terus kekal dengan hanya seorang isteri. Untuk tambah seorang atau dua, saya belum mampu!!! ha! ha! ha!"

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Salam suai kenal. Entri yang hebat. Terima kasih .

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text