Social Icons

Selasa, 22 Oktober 2013

Jadilah Remaja Yang Terbaik Di Kalangan Remaja Yang Ada - 10 Cara Mengenali Watak Remaja

Wahai para remaja dan anak cucu sekelian,

Dalam anda berusaha mencari Tuhan, mendapatkan rasa takut dan cintakan Tuhan, mendapatkan rasa rindukan Nabi saw, persiapkanlah diri anda untuk menjadi remaja yang terbaik di kalangan remaja yang ada. Ini adalah kayu ukur hakikat diri anda. Bandingkan diri dengan remaja yang lain. Serupakah anda dengan mereka atau berbeza. Kalau berbeza, adakah anda lebih baik dari mereka? 
Carilah remaja yang baik-baik untuk menjadi kawan dan teman. Anda akan terikut dengan sikap baik dan ketinggian akhlak mereka. Elakkan dari berkawan dengan individu yang menarik anda supaya lalai dari solat atau berbuat sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama dan harapan ibu ayah.

Pak Lang sedih melihat watak remaja Melayu di mana-mana pun jua. Kebanyakannya sangat bermasalah. Mudah sangat orang-orang tua seperti Pak Lang hendak kenal siapa di kalangan remaja yang bermasalah. Banyak tanda dan pertunjuk apa yang ada dalam diri mereka yang dapat dibaca pada kata-kata dan tingkah laku mereka. Biarlah Pak Lang kongsikan di sini apa yang menjadi pertanda kualiti seseorang remaja – lelaki atau perempuan. Antaranya ialah:

1) Dari jauh kami melihat seseorang pada wajah atau air mukanya. Wajah seorang remaja yang tidak solat tidak sama dengan yang menjaga sembahyangnya. Orang tua seperti Pak Lang melihat anak muda yang masih mentah dengan rasa hati. Wajah handsome atau macho tidak memberi kesan apa-apa. Kami orang dewasa sudah tidak melihat pada rupa paras tampan atau cantik rupawan. Kami melihat dengan rasa hati. Ada bisikan rasa di dalam hati yang membisik jauh di dalam sanubari kami tentang seseorang yang dihadapan kami. Ianya bukan kasyaf tetapi mungkin pengalaman hidup bertemu dengan berbagai ragam manusia menjadikan seseorang yang seperti kami mendapat satu gerak rasa hati yang pada kebiasaannya tepat.

2) Jika sudah hampir, kami akan lihat penampilannya. Gaya dan tingkah lakunya akan dapat kami nilai. Kami tidak perlu memerhatikannya secara khusus. Tentu juga tidak perlu membelek-belek tubuh atau diri mereka. Kami sekadar menjeling sekali imbas pun, sudah ada pertunjuk yang menjelma ke dalam minda kami tentang siapa dan bagaimana orangnya. Kata bidalan orang tua-tua; “Terkilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya!!”

3) Gaya berjalan seseorang remaja sangat memberi pertunjuk yang jelas. Mudah sangat hendak kenal budak remaja penagih ‘ice’ atau syabu. Gaya buat-buat ‘alim’ atau gaya budak baik yang dilakonkan itu tetap dapat kami kenal. Biasanya dia akan terlebih aksi. Cakap lebih-lebih dalam usaha meyakinkan kami bahawa dia budak baik dan berakhlak. Remaja yang memang berakhlak tidak perlu berlakon-lakon.

4) Paling mudah mengenali remaja bermasalah ialah pada matanya. JIka sesekali kami terpandang mata mereka, mereka yang ada masalah akan segera melarikan wajahnya dari terus ditatap. Dia tidak kuat menahan atau melawan pandangan mata kami. Tatapan mata sebegini tidak perlu lama. Remaja yang baik akan membiarkan mata dan wajahnya ‘berinteraksi’ dengan mata dan wajah kami. Ianya mungkin hanya sedetik tapi ‘bacaan’ dari pandangan mata sebegini biasanya tepat dan jelas.

5) Selain itu bahasa tubuh seseorang juga amat memberi peranan menjelaskan apa yang di dalam dirinya. Semua gerak badan, kerdipan mata, senyuman, gerakan tangan kaki dan sebagainya menjadi pertunjuk tentang siapa dirinya.

6) Bila seseorang itu bercakap, lagi mudahlah menebak apa yang ada di dalam dirinya. Biasanya manusia akan menggunakan lidahnya untuk menunjukkan dirinya yang sebenarnya. Lidah dari satu segi tidak menipu. Lidah hanya mengikut arahan hati. Lidah sebaliknya akan menjadi pencerita sebenar diri seseorang. Tugas lidah ialah menceritakan apa yang ada di dalam hati. Walaupun ungkapannya macam baik tetapi jika hati tidak baik maka yang akan terserlah ialah hatinya yang tidak baik itu. Sebab itu perpatah arab ada menyatakan: “Sesungguhnya bicara lidah itu wujudnya di hati. Maka sesungguhnya di jadikan lidah itu untuk memberi pertunjuk apa yang ada di dalam hati”.

7) Cara bersalam pun kita sudah dapat mengagak, dia bersalam itu dari hatinya atau cuma tiru-tiru orang. Ramai yang bersalam gaya artis bersalam. Tidak membawa makna apa-apa. Bersalam yang sebenarnya rangkuman penghormatan, kasih sayang, merendah diri, menyanjungi, menghormati dan mengharapkan doa atau keberkatan orang yang lebih dewasa. Ramai remaja ternyata sudah gagal sebaik bersalaman.

8) Kunci penampilan dan akhlak remaja di hadapan orang lain ialah pada merendah diri dan sikap menghormati orang lain terutama yang lebih berusia. Jika ia dapat mengekalkan rasa sebegini, tingkah lakunya akan terbentuk menjadi lebih elok dari masa ke semasa terutama bagi yang mendirikan solat lima waktu.

9) Jika mahu lebih jelas melihat watak seseorang, lihatlah pada ketika dia menghadap hidangan. Jika di depan makanan, watak sebenar seseorang akan mudah terserlah. Tidaklah sukar untuk mendapat keputusan tentang nilai sebenar diri seseorang. Lihat pada cara duduk, cara membasuh tangan. Lihat adakah dia mendahulukan orang lain sebelum dan semasa makan. Lihatlah gelojoh atau gopoh. Mungkinkah masih dapat kekal bersopan di depan makanan. Tangan kanan atau kirikah yang digunakan. Bagaimana makanan disuap, bagaimana mengunyah makanan. Berbunyi atau tidak. (Ramai yang berbunyi – ada ‘musik’ tersendiri semasa mengunyah makanan). Lihat pula pada lauk-pauk yang dipilih. Yang didekat atau lauk yang jauh yang didahulukan. Jika 15 minit masa makan dikaji dan diteliti, watak diri seseorang itu akan dapat dibaca seluruhnya!! Makan yang dimulai dan disudahi dengan doa, adalah makan yang diberkati. Bagaimana akhlak selepas makan. bukankah kita diajar untuk kemaskan bekas-bekas makanan, membasuhnya, membersihkan meja atau tempat makan dengan sebaik-baiknya. Semuanya sangat 'lumayan' untuk mengukur siapa yang sebenarnya di depan kita.

10) Jika seseorang remaja itu memandu kenderaan, kita juga akan mudah memahami siapa dirinya yang memandu itu. Pemanduan sebenarnya penuh dengan elemen ketenangan, kesabaran, bercermat berhati-hati, menghormati orang lain, bijak membuat keputusan dan sebagainya. Remaja yang lurus bendul tidak sama cara memandunya dengan remaja yang peka, sensitif dan optimis. Remaja yang gopoh dan hendak menunjuk-nunjuk akan memandu secara "Formula One". Mereka sukar untuk mengawal diri ketika dapat memegang stereng kenderaan. Kadang-kadang van buruk pun hendak dijadikan macam Ferrary!!!

Demikianlah sepuluh perkara yang akan membantu seseorang itu mengenali dirinya dan orang lain. Banyaklah lagi situasi yang boleh dihuraikan kerana setiap satu situasi, akan ada unsur-unsur yang mampu menjelaskan hakikat diri seseorang. Demikianlah keajaiban yang Tuhan lakukan kepada manusia. Ianya berupaya membuatkan kita insaf bagaimana Tuhan menilai kita. Manusia yang lemah ini pun sangat mampu melihat keburukan kita, apatah lagi Tuhan yang Maha Mencipta. DIalah Tuhan dan owner kita. Dia menyaksikan amal perbuatan kita sepanjang masa dan di mana sahaja. Tidak berkedip mata kita melainkan dalam pengetahuanNya. Tidak terdetik di hati kita sesuatu apa pun melainkan Dia maha mengetahuiNya.

Jadilah remaja yang sentiasa memikirkan hal ehwal dirinya di sisi sang Pencipta!! Kualiti diri kita akan terbentuk menjadi lebih baik jika kita sentiasa menjadikan Tuhan kecintaan dan kerinduan kita.. Allahu Akbar!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text