Social Icons

Khamis, 31 Oktober 2013

Bunuh Diri Adalah Kematian Kedua Tertinggi Di Malaysia


PULAU PINANG 28 Dis. – Gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini selepas penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Pensyarah Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. See Ching Mey berkata, angka itu diperoleh daripada laporan Kementerian Kesihatan yang dibuat pada tahun ini.

Menurutnya, dalam laporan bertajuk Pencegahan Pembunuhan Diri di Malaysia itu, kadar kematian pada tahun 2004 adalah antara 9 hingga 12 kes bagi setiap 100,000 penduduk manakala tahun lalu pula 13 kes dalam setiap 100,000 orang.

‘‘Dipercayai bilangan sebenar kes membabitkan bunuh diri di negara ini lebih tinggi daripada jumlah rasmi yang diberikan kerana kes-kes seumpama ini kurang dilaporkan.

‘‘Angka-angka ini juga dijangka akan terus meningkat sekiranya kita tidak mengambil langkah pencegahan dari awal khasnya bagi membendung ia daripada terus menjalar ke peringkat umur yang lebih muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan siri syarahan umum pelantikan profesor yang bertajuk ‘Senang Tetapi Tidak Tenteram’ di USM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. See berkata, antara faktor yang menjadi penyumbang kepada meningkatnya kes bunuh diri adalah disebabkan masalah kecelaruan mental.

Tambahnya, sedar atau tidak, sebanyak 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi, dan masalah itu perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengancam nyawa.

‘‘Masyarakat ketika ini terdedah dengan dunia moden yang melengkapi serta mempengaruhi corak hidup seharian dan keadaan itu menyebabkan ramai di antara kita berada dalam keadaan tertekan.

‘‘Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kehendak dunia pada masa ini yang memerlukan kita pantas dan cepat berfikir, kerja yang mencabar, aktiviti harian yang terlalu sibuk dan sebagainya,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru organisasi di pelbagai sektor di negara ini supaya melengkapi persekitaran mereka dengan sistem yang dikenali Program Bantuan Kakitangan (EAP) bagi langkah pencegahan.

Jelas beliau, program tersebut boleh membantu serta memberikan khidmat nasihat bagi mereka yang mempunyai masalah sekali gus mengurangkan masalah kecelaruan mental yang dihadapi seseorang itu.

‘‘Selain itu, saya berpendapat negara ini perlu melahirkan lebih banyak ahli kaunseling kerana jumlah yang ada sekarang tidak mampu menampung pesakit mental ini yang meningkat setiap tahun.

‘‘Mengikut statistik daripada Lembaga Kaunseling Malaysia, jumlah kaunselor yang berdaftar kira-kira 900 orang dan angka itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan taburan penduduk di Malaysia,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm#ixzz2iug9mScH
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text