Social Icons

Isnin, 21 Oktober 2013

Mengejutkan!! Benarkah 10 Ribu Pasangan Memohon Cerai di Pejabat Agama di Semenanjung Setiap Bulan???

Pak Lang berada di salah sebuah negeri selama 2 hari untuk bertemu dengan Sohibus Samahah Mufti Negeri serta beberapa pegawai agama daerah. Pak Lang mengenali mereka sejak di Mesir. Hubungan masih mesra, ramah dan penuh dengan gurauan. Maklumlah mereka tahu Pak Lang beristeri empat. Tentu sangat mengujakan mereka. 

Kebetulan berada di pejabat mereka, Pak Lang sempat bersembang dengan petugas di kaunter depan pejabat agama daerah berkenaan. Sengaja Pak Lang bertanya khabar tentang hal-hal yang menjadi rutin tugas mereka seharian. Untuk berkenalan dan berbual mesra dengan sesiapa pun yang baru dikenal, bukanlah masalah jika kena dengan pendekatannya. Itulah yang Pak Lang lakukan untuk dapat bersembang dengan dua orang petugas wanita berkenaan. Ruang menunggu yang masih ramai orang sedang menanti giliran menjadikan Pak Lang memilih bertanyakan soalan yang pasti menarik.

"Banyakkah pasangan yang datang mendaftar cerai kat pejabat ini?" Itulah soalan awal Pak Lang. Soalan itu kedengarannya agak macam 'main tembak saja'. Tetapi seperti yang Pak Lang sudah agak, ianya bukan soalan yang mengejutkan. Ternyata  petugas tersebut memang tidak terperanjat bahkan dengan selamba berkata, "Hmm! Banyak lah Pak Cik!" Itulah dia membahasakan diri Pak Lang yang sudah tua ini. 

"Berapa banyak pasangan dalam sehari?" Pak Lang cuba menyiasat lebih jauh. 
"Kalau purata tu mungkin sekitar 4,5 pasang sehari!" 
"Ramainya!! Berapa pula bilangan yang paling banyak mohon cerai dalam rekod pejabat ini?"
"Ada yang sampai 8 pasangan sehari Pak Cik, Kalau paling sedikit itu mesti ada sehari  antara dua ke tiga pasangan. Sekarang agak kurang tapi sebelum Ramadhan hingga raya tempuhari, ramai sangat yang memohon cerai". Demikianlah maklumat berharga yang diceritakannya secara tulus pada Pak Lang. Menariknya maklumat ini. Pak Lang sangat teruja mendengarnya. 

Pak Lang terus bertanya; "Ramaikah yang mohon cerai tu dari kalangan yang baru kahwin?"
Petugas itu menarik wajah sedih, "Ohh! tu yang saya ni fobia duduk kat sini Pak Cik. Saya pun baru kahwin juga. Sebenarnya banyak sangat pasangan yang baru kahwin mohon cerai. Kadang-kadang baru 3 hari kahwin sudah datang mohon cerai. Ada yang baru seminggu, baru sebulan sudah hendak berpisah. Sudah tidak boleh hidup sebagai suami iseri". Sekali lagi dengan panjang lebar dia menceritakan situasi yang didepaninya setiap hari.

"Wah!! ini sudah menjadi bahan yang sangat menarik untuk diperhatikan.... Kalau satu Malaysia, tentu jumlah menjadi sangat ramai ni!" Pak Lang bercakap sendirian di dalam hati. 

"Ertinya kalau dalam sebulan, melalui pejabat agama daerah ini sahaja, jumlahnya sekitar 100 - 120 pasangan suami isteri yang mohon cerai lah ya!" Pak Lang melontarkan anggaran untuk melihat bagaimana respon petugas tersebut. 

"Ya! lebih kuranglah tapi biasanya kami ada sesi kaunseling dan khidmat nasihat agar perceraian tidak berlaku. Fail untuk kaunseling ini pun banyak sangat. Banyak yang belum ada kata putus. Hubungan suami isteri sudah tidak elok. Biasanya si suami yang hendak pertahankan tetapi isteri yang ramai tuntut cerai atau mohon fasakh (pisah)." Sekali lagi petugas ini bermurah hati menceritakan maklumat penting untuk pengetahuan Pak Lang. 

"Apa punca mereka hendak bercerai ya?"
"Biasanya isteri dakwa suami curang, ada perempuan lain atau suami tidak bertanggung jawab dan sebagainya. Selalunya isteri yang mengadu"

Pak Lang hanya menggeleng-geleng kepala sambil terus bertanya, "Pasangan yang berusia tak ada yang bercerai ke?"

"Oh!, sebenarnya macam ni Pak Cik,  Biasanya pasangan yang ramai memohon kahwin ialah remaja yang berusia sekitar 17 tahun ke 23 tahun kemudian daripada kelompok yang berumur 23 tahun ke 45 tahun itu akan datang pula untuk memohon cerai. Manakala 'trend' satu lagi ialah yang berusia 45 tahun ke atas akan datang semula memohon berkahwin lain termasuk poligami."  Wah! panjjang lebar lagi maklumat yang dia sampaikan. 

Menariknya kerana petugas tersebut sangat memahami tugasnya, berupaya mengkajinya dan menganalisanya sedapat mungkin. Bagus benar kalau kaki-tangan bertugas yang sebegini. Dia tidak jumud seperti ramai petugas kaunter yang biasa. Pak Lang dan kita semua tentu biasa bertemu petugas kaunter di pejabat kerajaan yang 'malas' hendak melayan pelanggan atau pengunjung yang datang berurusan. Mereka hanya bersembang, membaca surat khabar atau membelek kuku atau membaca novel. Kerja dan tugas dibuat sambil lewa. Pertanyaan orang yang baru datang, dijawabnya acuh tidak acuh sahaja. Tidak serius apatah lagi untuk mengharapkannya bersikap pro-aktif!.

Berbalik kepada maklumat tadi - walaupun ianya tidak boleh menjadi kayu ukur yang sama untuk semua tempat, Pak lang yakin ianya cukup sebagai gambaran umum di Malaysia. Itulah hakikat yang sedang terjadi di tanah air kita. Ramainya yang bercerai sedang menjadi situasi yang membimbangkan. Jika satu pejabat agama daerah sahaja pun sudah mencatat kadar 100 pasangan yang ingin bercerai setiap bulan, bayangkan jumlahnya bagi sesebuah negeri.dan seluruh Malaysia!!

Maklumat daerah; Kelantan - 11, Perlis - 1, Kedah - 11, Johor - 10, Selangor - 9, Perak - 9, Pahang - 11, Negeri Sembilan - 9, Melaka - 3, Pulau Pinang - 5, Terengganu - 7 dan Wilayah Persekutuan KL (yang jumlah penduduknya nya lebih ramai - kita boleh anggap ada 14 daerah), Putrajaya dan Labuan. Anggaran jumlah daerah di seluruh semenanjung ialah 100 buah

Kalau di darabkan 100 dengan 100 ertinya 10,000 pasangan sebulan yang memohon cerai di seluruh semenanjung. Betulkah? Mohonlah sesiapa ahli akademik, buatlah kajian khusus tentang hal ini. Statistik yang mengejutkan pasti akan ditemui!!

Apa kesimpulannya? Pada Pak Lang, semua yang berkahwin tentulah mempunyai hasrat untuk mencapai syurga idaman di dunia. Bagi yang beriman pastilah inginkan kehidupan rumah tangga yang membahagiakan yang membawa ke syurga di akhirat. Apa yang terjadi tidak semua pasangan akan serasi hingga ke hujung. Cabaran dan ujian sentiasa berdatangan.

Halangan tetaplah wujud di mana-mana. Malangnya tidak ada pendidikan yang memahirkan manusia untuk cekal, tabah dan matang menghadapi cabaran hidup terutama masalah rumah tangga. Belajar di universiti hanya untuk makan gaji bukannya untuk menjadi manusia sejati!!

Manusia perlukan didikan jiwa atau ruh. Itulah penanda aras kesempurnaan insan. Jika proses tarbiyah ruhiyah ini diabaikan dalam diri, keluarga dan masyarakat, maka kehancuran, kegagalan dan kekecewaan akan terus berlaku. Semoga tokoh-tokoh masyarakat tidak melihat situasi sebegini sekadarnya sahaja. Bertanggung jawablah untuk menyelamatkan semua yang di bawah tanggung jawab kita. 

Bagi Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia yang dibawah GISB HOLDING, ruang kerja-kerja kebajikan sebegini sedang menanti kita semua. Mampukah kita menggembirakan pasangan suami isteri yang datang ke kaunter YKPPM dengan muka masam? Berupayakah kita? Kita harap, setelah menemui sentuhan petugas YKPPM - mereka akan kembali tenang, ceria dan sudah menemui jalan keluar bagi kemelut rumah tangga yang mereka sedang alami. Itulah harapan Puan Ibu Hatijah Aam selaku YDP YKPPM yang berhasrat merealisasikan motto "Gembirakanlah Hamba Allah Nescaya Allah Akan Gembirakan kita!!". 

Sila layari laman web YKPPM: http://ykppm.org untuk maklumat lanjut.

Sekian buat kali ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text