Social Icons

Ahad, 27 Oktober 2013

Rompakan Ambank: Pertanyaan Terakhir Pegawai Bank kepada Suaminya


IRWAN Kamarudin menabur bunga rampai bersama dua anaknya, Mohd. Hazimy, 8, 
(dua dari kanan) dan Nurnisa Nabilah, 12, (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Ayer Hitam, Labu, Kampar, Perak, malam tadi.


"Awak sayangkan saya?" ungkapan terakhir arwah kepada suami


[UM] KUALA LUMPUR 24 Okt. - "Awak sayangkan saya tak?"

Itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, pegawai operasi AmBank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri dalam rompakan di Jalan USJ Sentral 2, semalam, kepada suaminya, Irwan Kamarudin, 37.

Menurut Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi, ungkapan itu diluahkan Norazita ketika menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbitnya kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Saya terima panggilan telefon itu pukul 5.15 petang yang semata-mata mahu bertanyakan soalan sama ada saya menyayangi dia.

"Selepas saya menjawab bahawa saya sayangkan arwah, dia terus memberitahu dia sedang sibuk dan terus mematikan talian telefon," katanya dalam nada sebak tetapi tenang ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Serdang di sini hari ini.

Irwan berkata, dia kemudian menghubungi semula isterinya itu kira-kira pukul 6.30 petang kerana bimbangkan keselamatan arwah yang akan memandu pulang dalam keadaan hujan lebat.

Bagaimanapun, katanya, panggilan itu tidak dijawab dan dia cuba menghubunginya sekali lagi sebelum dijawab oleh majikannya.

"Ketika majikan isteri saya menjawab panggilan tersebut, dia hanya meminta saya datang segera ke bank tetapi tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya sehinggalah saya sendiri mengetahuinya sejurus tiba di situ. Lemah kaki dan menggigil badan saya apabila mengetahui wanita yang mati ditembak di dalam bank tersebut adalah isteri saya," katanya lagi.

Selama 13 tahun mendirikan rumahtangga, Irwan menyifatkan Norazita seorang yang baik dan taat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Beliau memohon individu yang memuat naik dan menyebarkan gambar ngeri selepas arwah isterinya ditembak di internet supaya segera mengeluarkannya sebagai menghormati sensitiviti dan kesedihan yang sedang dialami seluruh ahli keluarganya.

Anak arwah, Nurnisa Nabilah, 12, pula berkata, semalam pertama kali ibunya tidak menghantar dia dan adiknya, Mohd. Hazimy ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari kerana kesuntukan masa. 

Nurnisa menyifatkan ibunya seorang yang penyayang walaupun tegas dan garang dalam mendidik anak-anak. "Walaupun mama garang, saya sangat rapat dengannya. Saya sayangkan mama," katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, jenazah arwah Norazita selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Air Hitam Labu di Kampar, Perak kira-kira pukul 7.30 malam ini. Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, pemimpin setempat serta pegawai AmBank hadir dalam majlis pengebumian itu.


Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat. - Foto Sinar Harian oleh NUR FARHANA ABDUL MANA

Kata suami mangsa, Irwan Kamaruddin seperti yang dipetik oleh Bernama: "Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya."

Hormatilah perasaan dan hak orang lain!

Selain itu, hentikanlah juga penyebaran gambar mangsa pembunuhan, mangsa peperangan, mangsa kemalangan kerana perbuatan itu salah dan tidak beretika. Kita tahu situasi yang berlaku di negara yang bergolak, maka tidak perlulah mengaibkan mangsa peperangan dengan menyebarkan gambar yang kurang menyenangkan mata yang melihat.

Takziah kepada keluarga Norazita Abu Talib.



Suspek kejadian masih BEBAS

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text