Social Icons

Selasa, 8 Oktober 2013

Aku Yang Pasti Mati...

Beberapa hari lalu berkesempatan menziarahi pengidap sakit jantung, darah tinggi dan kini hatinya pula sedang membengkak. Wajahnya telah menjadi tua berbanding usianya. Badannya kurus, perut membuncit yang tidak sihat. Cepat letih, seharian hanya rehat dan tidur. Selera makan pun semakin hilang.

Beberapa minggu lalu, berturut-turut pada hari dua kali Jumaat beberapa rakan telah pun kembali ke pangkuan Illahi. Mereka telah menemui janji yang pasti. Pasti bagi setiap yang bernyawa adalah mati.

Minggu lepas, seorang tokoh politik, Tan Sri Ustaz Azizan, bekas Menteri Besar Kedah dari parti PAS juga telah meninggalkan dunia yang fana ini menuju ke alam yang kekal abadi. Selesailah pusingan kehidupan di alam dunia bermulalah kehidupan di alam sana.

Kisah kematian mewarnai kehidupan. Tetapi sering terpadam oleh kelalaian dan kelekaan. Walau pun cerita dan berita tentangnya setiap masa ada, tapi biasanya berlalu begitu saja. Tiada kesan apa-apa kepada manusia yang alpa.

Sering kali apa bila pulang dari menziarahi sebuah kematian, kita akan bercerita tentang sejarah kehidupan simati. Kita akan mengimbau kembali pengalaman bersamanya. Kebaikan dan kehebatan simati diungkapkan dengan begitu teliti. Kisah yang sama akan kita ulang-ulang tanda kasih padanya.

Apakah itu cara yang betul untuk kita mengingati beliau dan mengambil iktibar terhadap kematiannya? Sungguh, kebiasaan ini tidak mudah diubah. Kehidupan yang dilalui bersama, lebih dekat berbanding kehidupan yang bakal kita alami bersama.

Menjadi adat kebiasaan, perkara yang mudah kita rasai, adalah apa yang pernah kita lalui, bukan apa yang akan kita tempuhi. Perkara yang belum berlaku, hanya merupakan impian atau sekadar angan-angan. Tetapi dengan kematian, ini bukan angan-angan atau impian. Kematian adalah kepastian. Suka atau tidak, tetap mati. Bersedia atau tidak pun mati. Ingat atau tidak, mesti mati. Takut atau tidak, mati tetap kunjung tiba.

Peluang menyaksikan beberapa pesakit kronik seperti pengidap barah, dari kalangan saudara mara dan sahabat handai menghadapi saat-saat akhir kehidupan mereka di dunia ini, sangatlah menginsafkan. Aku sering tertanya-tanya kepada diri. Bagaimanakah aku di waktu sampai di pantai takdirku?

Oh Tuhan! Bimbang, cemas, sayu, keliru dan buntunya aku memikirkan nasib diriku bila mengenangkan waktu tibanya saat akan menemui Mu! Aku tertanya-tanya pada diriku. Sekiranya aku mati tiba-tiba, seperti dalam kemalangan di jalanraya atau dalam pesawat udara, apakah waktu itu aku dalam kelalaian atau dalam ketaatan?

Bagaimanakah mahuku pastikan, hal kedaaan aku di saat menjelang kematianku? Oh! cemasnya aku wahai Tuhan! Jika ditakdirkan aku juga mendapat sakit kronik sebelum mati, bolehkah aku berubah serta merta daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat? Mahukah segala mazmumah yang sedang bersarang di hati ini bertukar menjadi mahmudah? Oh Tuhan! Mustahil rasanya akan terjadi begitu.

Wahai Tuhan, aku tidak pasti di waktu mana atau dalam keadaan apa kematian menjemputku. Apa yang aku tahu, walau pun isyarat dan peringatan tentang kematian itu berlaku setiap masa, berlaku di sekelilingku, namun aku masih belum mahu merasakan yang giliranku boleh saja tiba bila-bila masa.

Selalunya aku rasakan kematian itu hanya untuk orang lain, bukan untuk aku. Aku anggap kematian aku lama lagi atau langsung tidak terasa akan mati. Bila melihat kematian berlaku, susahnya hati aku untuk merasakan bahawa aku juga boleh mati bila-bila masa.

Sungguh Tuhan! Sebab itu susahnya untuk aku meleraikan cinta dunia yang begitu tebal dalam diriku. Aku rasa umurku masih lama, masih panjang, masih banyak bersisa untuk ku kecapi segala nikmat dunia. Terkadang aku merasakan kematian akan menjemputku sebaik segala persiapan telah aku buat. Oh Tuhan! Dahsyatnya kejahatan bahkan kesesatan perasaanku terhadap kematian.

Bila aku saksikan kematian kawan-kawanku, aku hanya merasakan bahawa mereka baru sahaja mengakhiri sebuah kehidupan. Maka aku hanya mengenang-negenangkan kehidupan mereka yang telah lalu. Walhal sebenarnya mereka baru sahaja memulakan satu kehidupan baru yang entah bagaimanalah nasibnya? Oh Tuhan, selamatkanlah mereka, selamatkanlah aku juga, Tuhan!

Setiap kali berita atau cerita mengenai bencana yang mengakibatkan kematian, aku seolah-olah cuba melupakannya. Setidak-tidaknya aku bersikap acuh tak acuh sahaja. Seolah-olah aku boleh selamat dari bencana seumpamanya.

Kalau pun aku ambil tahu, aku ikuti beritanya, hanyalah kerana isu semasa. Memang manusia suka kepada maklumat dan berita. Tetapi kegemaran itu hanya sebagai hiburan akal, tidak langsung memberi kesan kepada jiwa.

Tuhan! Engkau lembutkanlah hatiku agar setiap kematian akan menjadi iktibar kepadaku. Jadikanlah kematian pembunuh cinta dunia yang bersarang dalam hatiku. Hancurkanlah kesombongan yang menebal dalam diriku dengan kematian yang pasti buatku. Wahai Tuhan! Bilakah lagi aku akan sungguh-sungguh bersedia untuk kematianku? Bilakah lagi aku akan mahu tunduk setunduk-tunduknya kepada Mu sebelum kematian menjengukku?

Tuhan! Aku mengakui betapalah sukarnya untuk aku menjadikan kematian adalah sebuah pengajian, pengajaran, iktibar dan keinsafan. Sedangkan setiap masa aku menyaksikan tiada seorang pun yang mampu menahan kematian, bila kematian itu menjelma di hadapan nyawanya!

Wahai Tuhanku! Berilah hidayah dan pimpinanMu agar aku sentiasa bersedia untuk kematianku. Pimpinlah hatiku agar terus menerus subur dengan zikrilmaut. Jadikanlah ingatanku kepada kematian dapat membunuh angan-anganku terhadap dunia yang fana ini.

Wahai Tuhan, jadikanlah kematianku di waktu aku sedang bertaubat kepadaMu dan ringankanlah serta lembutkanlah kematian itu untukku. Wahai Tuhanku! Ampunilah dan selamatkan aku sebelum kematianku dan sesudah aku mati. Wahai Tuhanku! Aku yang pasti mati, maka elokkanlah kematianku, yakni dengan sebuah pengakhiran yang baik lagi sempurna di sisiMu. Terimalah harapanku ini wahai Tuhanku. Amin ya Rabbal'alamin.

KLIK SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text