Social Icons

Sabtu, 19 Oktober 2013

"Dah Kahwin Ke Belum?" - Soalan Untuk Para Remaja.

Setiap kali jumpa mana-mana remaja yang Pak Lang kenal atau baru kenal, pastilah soalan pertama dari Pak Lang ialah, "Dah kahwin?" Dan biasanya bagi kebanyakannya akan tersengih dan menjawab, "Pak Lang tolonglah carikan calon isteri solehah untuk saya" Itu jawapan 'standart'. Itulah jawapan bagi mana-mana remaja yang masih sedar haram halal.

Satu golongan lagi akan jawab, "Rileklah dulu Pak Lang!! muda lagi..bla, bla.." Ini jawapan yang jenis suka enjoy dan sudah tempuh macam-macam maksiat. Biasanya Pak Lang tahu apa yang menjadi kesukaan mereka.

Kahwin adalah ikatan sah sepasang wanita dan lelaki ajnabi yang menjadikan perhubungan keduanya sebagai suami isteri adalah halal. Sepanjang masa kehidupan dan hubungan sebagai suami isteri ini mendapat ganjaran pahala di sisi Tuhan. Ianya termasuk dalam amal kebajikan yang sangat berkualiti - khususnya di zaman yang penuh cabaran ini.

Ramai remaja yang baik-baik, sentiasa mengawal diri dari terjebak dengan zina. Mereka seboleh-bolehnya berusaha untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, mengawal nafsu dengan berpuasa dan bergaul hanya dengan rakan-rakan yang baik. Umumnya mereka hanya mampu bertahan sehingga usia 19 - 21 tahun.

Maklumlah cabaran pada pandangan mata sudah berleluasa. Masyarakat sudah sangat rosak. Untuk memalingkan muka dari maksiat dan aurat ajnabi sangatlah sulit. Terlalu banyak yang menggugat iman, melintas di depan, belakang, di media dan internet. Godaannya boleh menjadikan seseorang yang kuat iman pun boleh jadi 'gila'.

Keinginan untuk berumah tangga pada diri seseorang remaja sangat meruap-ruap. Darah muda yang masih panas tidak mampu menahan gejolak nafsu kelamin yang semula jadi muncul mengikut bertambahnya usia. Apa boleh buat, Tuhan telah programkan sedemikian. Apa yang malang ialah ketiadaan jalan keluar yang halal. Dicari yang halal dan urusan yang mudah untuk berkahwin sangatlah sukar. Keadaannya seolah-olah tiada penyelesaian.

Seseorang remaja yang baik, yang merintih inginkan pasangan hidup, akan bertemu dengan persoalan siapakah calon yang sesuai untuk dirinya? Kalau sudah ada yang berkenan di hati, bagaimana dengan sigadis iaitu tuan punya diri? Setuju atau tidak? Bagaimana cara hendak tahu jawapan siempunya diri? Belum lagi tanya ibu bapa sigadis. Belum lagi mendengar berapa belanja hantaran yang diminta?

Lalu kalau sudah sedemikian, siremaja yang baru berusia 19 - 20 tahun ini akan tunduk melihat diri. Berapa banyak wang yang sudah disimpan? Kerja pun belum tentu, bagaimana hendak meminang anak dara orang. Kalau pun sudah kerja, berapa pula gaji sebulan yang diperolehi? Kalau lepasan universiti pun, perlu 4,5 tahun mengumpul wang, berapa tahun pulakah yang lepasan SPM perlu mengikat perut dengan hanya makan mee segera.

Berkahwin adalah keperluan si remaja tetapi bagaimana dia melepasi simpang siur prosesnya? Mudahkah dan mampukah? Inilah dilema bagi remaja yang imannya sekadar cukup makan. Dia tidak akan mampu bertahan. Sedikit sahaja ujian yang datang, dengan sedikit kegagalan mujahadah, seseorang remaja di tahap ini akan mudah terjebak dengan dosa besar.

Memang ada remaja yang imannya luar biasa. Hati yang bertaut kuat dengan Tuhan, mampu mendinding diri dari godaan keinginan kelamin. Fikirannya tidak lagi kepada pasangan hidup tetapi kepada bagaimana kesudahan hidupnya? Syurgakah atau nerakakah? Inilah yang membimbangi dirinya. Paling tidak pun dia akan menjadi seorang yang asyik dan lazat dengan solatnya yang khusyuk. Solatnya menjadi hiburan yang mampu melupakannya dari segala hiburan dunia yang lain. Redhanya dengan ketentuan Tuhan menjadikan dirinya sangat merasa cukup dengan apa jua pemberian Tuhan. Diberi sesuatu atau tidak diberi sesuatu padanya adalah dua perkara yang sama dihatinya. Tetapi rasanya dalam sejuta remaja, mungkin hanya ada seorang dua yang sebegini.

Maka apa jalan penyelesaian bagi keinginan berkahwin di kalangan remaja masakini? Apa yang perlu kita lakukan bagi membantu mereka?

Sememangnya sudah ada kesedaran dan simpati di kalangan masyarakat terutama badan-badan agama atau badan kebajikan yang berusaha membantu. Biasanya badan-badan ini membantu mengadakan majlis perkahwinan beramai-ramai dengan bayaran yang termurah. Ada juga yang menyediakan segala-galanya secara percuma bagi pasangan pengantin yang tidak mampu.

Bagi GISB HOLDING, hal sebegini sudah lama ditangani dengan sebaik mungkin. GISB HOLDING akan mencarikan jodoh bagi semua remaja iaitu anak-anak stafnya yang berusia seawal 19 tahun, Bahkan ada kes, remaja yang berusia 16 tahun pun dikahwinkan kerana keinginan berkahwin yang sangat ketara. Ianya sah dan halal. Urusan pendaftaran perkahwinan, mendapatkan kelulusan dengan Mahkamah Syariah dan akad nikah, biasanya mudah asalkan cukup syarat rukunnya.

Semua anak staf GISB HOLDING akan diuruskan perkahwinan mereka oleh pihak pengurusan zon masing-masing. Untuk makluman, GISB HOLDING menyediakan tenaga kerja dari kalangan anak-anak stafnya sendiri. Pengambilan staf GISB HOLDING juga tidaklah semudah menghulurkan resume seperti syarikat lain. Sebaliknya adalah penilaian pada pelbagai sudut kerana teras tugas di dalam GISB HOLDING ialah ke arah melahirkan sistem hidup Islam di dalam syarikat. Proses melaksanakan tugas dari sekecil-keci perkara sehingga yang sebesar-besarnya adalah rangkuman ibadah seorang hamba kepada Tuhannya. Tentulah juga melaksanakan tuntutan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Jadi GISB HOLDING mempunyai tenaga kerja yang semakin bertambah seiring dengan perkembangan syarikat. Setiap anak yang lahir di dalam keluarga GISB HOLDING akan melalui proses pendidikan dan latihan kemahiran yang praktikal se awal usia yang mungkin. Mereka biasanya lebih awal matang berbanding remaja lain. Mereka tidak perlu bercinta atau mencari jodoh sendiri.

Mereka sudah faham, memilih jodoh biarlah yang ada berkat. Yang berkatnya ialah jodoh yang ditunjukkan ibubapa dan pengurusan syarikat. Sebab itu proses menyelaraskan perkahwinan di kalangan remaja Gisb Holding dapat berjalan lancar. Mereka mudah menurut kata orang tua. Apa saja kata pimpinan yang mencadangkan jodoh yang sesuai untuk mereka, mereka biasanya akur.

Cuma kadang-kadang ada juga remaja yang ingin memilih sendiri. memang ada yang terpikat lantaran panahan pandang pertama. Tapi biasanya itu semua dengan mudah dapat diatasi. Seboleh-bolehnya jodoh itu dipandang pada berkatnya sedari awal. Jika ini sudah difahami, prosesnya akan jadi mudah.

Cuma kami orang tua-tua di dalam GISB HOLDING akan berpesan kepada para remaja. Mungkin ianya sebagai petua yang mujarab juga kerana kerap kali 'menjadi'. Petuanya ialah; "Apa jua keinginan, pilihan atau hasrat anda tentang pasangan hidup dan sebagainya, jangan disebut-sebut atau diucanang-canang!! Sebaliknya mengadu dan merintihlah dengan Allah.. Dia Maha Mendengar. Lakukanlah rayuan dan rintihan harapan kepadanya dengan bangun malam, bertaubat, solat hajat dan meminta ampun padaNya, Insya Allah apa yang dihajati biasanya dimakbulkan Tuhan... INGAT!! syaratnya kekalkan hajat itu di hati. Jangan diluahkan kepada sesiapa pun!!!"

Biasanya Tuhan akan gerakkan peristiwa atau kejadian yang memberi makbul pada apa yang diminta!! Kepada remaja yang hendak berkahwin segera, hubungi Pak Lang ya!!

1 ulasan:

  1. salam pak lang, saya baru je dok ikhtiar, lepas solat selalunya skang dapat jawapan dari tulisan ni... tk

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text