Daripada Azeman Ariffin
MAKKAH, 10 Okt (Bernama) -- Hujan ribut di Arafah petang semalam yang mengakibatkan beberapa buah khemah jemaah Malaysia runtuh tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk urusan ibadah wukuf di Arafah empat hari lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata khemah-khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum lagi diikat. Katanya, hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah perkara biasa dan pengurusan TH sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi di Medinah akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang musim haji adalah perkara biasa.
"Berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas... Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman itu untuk meningkatkan persiapan kita," katanya kepada pemberita di Makkah, Khamis. Beliau menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki tanah suci ekoran cuaca buruk dan banjir di Arafah itu.
Jamil Khir berkata semua jemaah haji Malaysia telahpun memasuki tanah suci Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang melalui TH menghadapi sebarang masalah. "Ada berita yang saya dengar terdapat jemaah daripada syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.
Sementara itu, TH dalam kenyataannya di Makkah berkata dakwaan kononnya Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah ditutup ekoran cuaca buruk adalah tidak benar. "Terminal Haji itu ditutup pada Rabu adalah kerana tiada lagi penerbangan haji yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.
Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki Khamis dan cuaca dilaporkan kembali panas sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah yang basah. Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan berwukuf di Arafah pada 14 Okt ini.
--BERNAMA KLIK DI SINI
Ribut yang melanda Padang Arafah menjadikan kerja-kerja persiapan khemah jemaah haji untuk berwuquf terhenti. Di dalam video di bawah, khemah untuk jemaah haji dari Malaysia belum dapat didirikan. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jika ribut sebegini melanda Padang Arafah ketika lebih 2 juta jemaah haji berwuquf di sini pada 9 Zulhijjah nanti. Semoga Allah selamatkan semuanya dan melindungi hamba-hambaNya dengan sebaik-baik pemeliharaan.
LIHAT VIDEO DI SINI- KLIK DI SINI
0 ulasan:
Catat Ulasan