Daripada Abu Hurairah katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, manakah sedekah yang lebih utama?" Baginda bersabda: "Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan tamak, mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Jangan tangguhkan sehingga nyawa di halkum lalu kamu katakan, ini untuk si fulan, itu untuk si anu, sedangkan ia sudah menjadi hak si fulan itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semasa menunaikan ibadah haji, Abdullah bin Al Mubarak tertidur di Hijir Ismail. Dalam tidurnya dia bermimpi Rasulullah berpesan kepadanya: “Wahai Abdullah, apabila engkau kembali ke Baghdad, pergilah berjumpa Bahramal Majusi (pemimpin agama Majusi). Sampaikan salamku dan katakan Allah telah redha kepadanya.”
Abdullah tersedar dan menyangka mimpi itu daripada syaitan. Namun mimpi itu datang tiga kali berulang-ulang. Maka setelah selesai mengerjakan haji, Abdullah lantas pulang ke Baghdad dan mencari Bahramal Majusi.
“Wahai Bahramal Majusi, boleh aku tahu apa kebaikan yang pernah engkau lakukan?” tanya Abdullah setelah bertemu dengan orang yang dimaksudkan.
“Baru sebentar tadi aku pinjamkan wang kepada orang dengan faedah yang sedikit.”
“Itu haram hukumnya, ada yang lain?”
“Ya, aku ada empat anak lelaki dan empat anak perempuan. Maka aku telah mengahwinkan sesama mereka dengan mengadakan jamuan yang besar.”
“Itu juga haram, ada yang lain?”
“Ya, aku ada seorang anak perempuan yang cantik dan tiada tandingannya. Itu sebabnya aku bernikah dengannya dengan belanja perkahwinan yang besar. Lebih seribu orang Majusi menghadirnya.”
“Itu juga haram…”
“Oh, baru aku teringat.Seminggu lepas, sewaktu aku sedang tidur bersama anakku pada waktu malam, datang seorang wanita yang sama agamanya dengan kamu. Dia datang dan pergi beberapa kali. Aku syak dia seorang pencuri. Maka aku cuba mengekorinya dari belakang. Sampai di rumah wanita tersebut, kelihatan empat anak perempuannya sedang kelaparan.”
“Mereka bertanya, ” Ibu adakah makanan untuk kami malam ini?”
Ibunya lalu menjawab, ”Aku malu untuk meminta kepada selain Allah. Tambahan pula kepada musuh Allah, orang Majusi itu.”
“Wanita tersebut sedih hingga mengalirkan air mata. Aku tidak tergamak melihat keadaan mereka. Lantas aku pulang dan membawa makanan yang banyak. Semua makanan itu aku serahkan kepada wanita malang itu. Mereka sangat gembira dan aku rasa puas hati.”
“Inilah kebaikan yang telah kau lakukan hingga aku bermimpi bertemu Rasulullah. Dan Rasulullah sudah berpesan kepadaku agar menyampaikan salam kepadamu. Dia juga memberitahu bahawa Allah telah redha kepadamu,” kata Abdullah.
Bahramal tersentak dengan berita tersebut. Dia lantas mengucap kalimah syahadah di hadapan Abdullah Mubarak. Selesai mengucap, Bahramal tersungkur lalu tidak bangun lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan