Social Icons

Sabtu, 21 Disember 2013

Kewujudan Syiah Di Malaysia - Hakikat Yang Pahit Untuk Ditelan

 
Satu lagi fitnah besar terhadap umat islam di Malaysia sekarang ialah gejala Syiah. Kelompok Syiah sudah mula dirasakan merbahaya kepada umat Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Bagi orang yang mengkaji dan meneliti pergerakan Syiah di negara ini, mereka akan tahu bahawa Syiah sudah mempunyai pengikut yang tidak sedikit. Mungkinkah jumlahnya sudah mencapai puluhan ribu atau ratusan ribu orang?

Apa yang pasti, mereka sedang bergerak secara senyap-senyap mempengaruhi umat Islam yang jahil dan lemah kefahaman Islam. Ianya satu kerja dan usaha yang dilakukan secara berterusan dengan penuh perancangan. Kita sedang menghadapi masalah dengan kewujudan penganut syiah di mana-mana. Rakyat sudah mula bimbang kalau-kalau 'markas' Syiah ini sudah ada di mana-mana. 


Soalnya sejak bilakah pengaruh Syiah ini meresap masuk ke negara kita?

Sebenarnya ketika zaman revolusi Iran pada tahun 1978 - 1979 lagi, umat Islam di Malaysia - terutama yang cenderung kepada pergerakan Islam - sangat menyanjung kejayaan Khomeini menumbangkan Dinasti Pehlavi. Semangat revolusi Iran itu telah merebak ke seluruh negara sebagaimana ianya juga meresap ke dalam gerakan Islam di seluruh dunia. 

Tentunya ini semua merupakan sesuatu yang dijangkakan kerana kejayaan 'menubuhkan Republik Islam Iran' adalah suatu keajaiban. Menumbangkan Shah Iran yang didalangi Amerika, menjadi satu penanda aras yang mampu dicapai oleh mana-mana gerakan Islam yang mengambil-pakai strategi revolusi Khomeini itu. Itulah yang disangka mereka.

Maka setiap gerakan Islam cenderung untuk 'mengimpot' strategi ampuh yang digunakan Khomeini di Iran. Khomeini dilihat begitu hebat dan mempunyai pengaruh yang sangat kuat pada semua golongan rakyat di Iran. Apa dan bagimanakah dia melakukannya? Inilah yang sangat dikagumi dan mahu ditiru oleh semua pemuja Khomeini ketika itu. 

Sememangnya kejayaan Khomeini ini adalah suatu hakikat yang sangat menakjubkan kerana walaupun beliau berada di dalam buangan selama 14 tahun di Paris, kemaraan rakyat untuk menumbangkan regim Pahlavi berjaya diuruskannya dengan cekap dari Paris. Inilah yang dikagumi semua pihak yang berkeinginan menggulingkan kerajaan 'thoghut' di negara masing-masing.

Apa yang terjadi di negara kita ketika 1978 / 1979 ialah bermulanya era menyanjungi Khomeini. Ketika itu ceramah-ceramah gerakan Islam dan parti Islam menjadi tidak sempurna jika tidak dilaungkan ikrar jihad sepertimana yang dijadikan slogan oleh tentera revolusi Iran. 


Semua akan berdiri dengan seseorang tampil mengetuai 'lafaz ikrar revolusi Iran' sambil menggenggam penumbuk dan mengangkatnya tinggi-tinggi. Kadang-kadang sampai melebihi 10 minit acara ini berjalan dan diakhiri dengan laungan sekuat hati, "Takbiiiir; Allahu Akbar sebanyak 3kali. Semangat yang terhasil dari laungan ikrar ini dirasakan luar biasa. Seseorang yang terpana dengan laungan ini seolah-olah mendapat suntikan ajaib untuk bangkit agresif bekerja siang malam bagi mencapai matlamat perjuangan masing-masing.

AlMarhum Ustaz Haji Ashaari Muhammad selaku Syeikhul Arqam ketika itu dengan segera menulis dan menerbitkan sebuah buku mengenai isu yang membimbangkan itu dengan tajuknya "Bahaya Syiah". Apa yang diramalkan beliau di dalam buku tersebut - lebih 30 tahun lalu - ternyata sedang kita hadapi kenyataannya sekarang. 

Untuk pengetahuan anak cucu sekelian, Jemaah Darul Arqam ketika itu menjadi satu-satunya jemaah Islam yang mengambil pendirian melawan arus - melawan Syiah. Buku Bahaya Syiah itu menyatakan betapa merbahayanya tindakan segelintir umat Islam mengutip semangat revolusi Iran dalam memperjuangkan cita-cita Islam. 

Pada Al-Marhum, Islam itu mestilah diperjuangkan mengikut kaedah Rasulullah saw iaitu secara dakwah yang berhikmah serta penuh kasih sayang. Islam mesti diperlihatkan mampu menjadi model ikutan seluruh umat manusia. Justeru, Al-Marhum bangunkan kampung-kampung Islam dengan tujuan mempraktikkan sistem hidup Islam yang syumul di dalam komuniti kecil jemaahnya. 

Apa yang dikatakan Al-Marhum di dalam bukunya itu benar-benar berlaku. Pengaruh revolusi Iran ini dengan cepat menguasai ramai golongan yang mengharapkan segera tertegaknya negara Islam di Malaysia. Ianya berlaku seiring penghantaran ramai anak-anak peminat Khomeini di negara kita ini untuk belajar agama di Kota 'Suci' Qom, Republik Islam Iran. Walaupun mereka tahu dan sedar aliran fahaman syiah merupakan pegangan majoriti penduduk Iran, mereka tetap menghantar anak-anak mereka ke sana. 


Tujuannya untuk menjadi kader atau pelatih bagi menguasai sistem perjuangan Khomeini yang dilihat berjaya itu. Mereka diharap akan pulang ke tanah air dan menyelinap masuk, hidup bersama masyarakat bagi menyucuk jarum pengaruh Syiah kepada siapa sahaja. Hal fahaman Syiah ketika itu dianggap isu remeh. Yang dipandang besar ialah kejayaan revolusi menubuhkan sebuah republik Islam. 

Ketika itu, terdengar suara-suara golongan ini yang bersetuju dengan Syiah dengan kata mereka, "Kalau masih ikut Ahli Sunnah Wal Jamaah tapi tidak dapat tegakkan juga negara Islam, lebih baiklah ikut Syiah kerana Syiah terbukti sudah berjaya mendirikan Republik Islam di Iran".

Dalam keadaan kita sudah alpa dengan episod seterusnya berkaitan Republik Islam Iran ini, para pelajar yang dihantar belajar dulu sudah pulang ke tanah air. Ianya silih berganti dengan penghantaran pelajar baru ke sana menjadikan hubungan kelompok ini dengan 'madrasah' di Iran ini pun berlaku secara berterusan.

Secara tradisi, tentulah fahaman, pegangan dan amalan Syiah yang dikuasai semasa bertahun-tahun di Iran itu diteruskan setelah berada di tanah air. Justeru Syiah adalah suatu kefahaman atau doktrin yang bertunjangkan kepada rasa dendam mendendam, rasa benci membenci, maka itulah juga yang 'terpindah' ke dalam mentaliti dan jiwa anak-anak Malaysia yang pulang dari Iran ini. 

Kelompok ini bekerja dan bekeluarga serta menetap di seluruh pelusuk negara menjadikan tersebarnya fahaman dan pegangan Syiah ini kepada mereka yang terdekat seperti keluarga, saudara mara, jiran tetangga, rakan sekerja serta para kenalan. Mudahlah bagi mereka mempengaruhi orang yang rata-rata naif dalam hal agama. Apatah lagi mereka terlatih dan mahir dengan hujjah 'ilmiah' yang mengkagumkan. 

Tidak dapat dinafikan juga, hubungan dagang atau jalinan perniagaan antara rakyat Malaysia dan Iran. Ini semua menjadikan proses pemindahan fahaman Syiah ini berlaku berterusan kepada kelompok ahli-ahli perniagaan yang sentiasa bertemu dan saling kunjung mengunjung. Ini semua terjadi secara mudah tanpa halangan dan gangguan. 

Menurut maklumat, dianggarkan rakyat Iran yang sedang menetap di Malaysia sekarang berjumlah 60,000 orang. Ini adalah satu angka yang kecil berbanding negara lain.  Tetapi kita patut curiga dengan pengaruh fahaman Syiah yang berpotensi disebarkan sebahagian mereka.

Berdasarkan statistik Jun hingga Disember 2009: 1.9 juta pendatang asing dicatat sehingga 31 Disember 2009. Jumlah yang direkodkan ini adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia. Daripada 1,918,146 juta, warga Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu (991,940)orang diikuti Bangladesh (319,020) orang ,Nepal (182,668)orang, Myanmar (139,731)orang dan India (122,382). Statistik yang ditunjukkan adalah pendatang asing yang mempunyai permit ke negara ini pada jangka waktu tersebut. Jumlah keseluruhannya tentu lebih berganda.

Mengenai fahaman Syiah yang sedang menular di kalangan rakyat negara ini, adakah kita hanya sedar akhir-akhir ini? Tentunya sudah agak terlambat. Banyak kerja yang perlu dibuat - itupun jika pihak berwajib berusaha bersungguh-sungguh mengatasinya secara tepat dan tuntas. Kita belum pasti sejauh mana tindakan yang akan diambil. Jika isu ini masih dilihat dari skop bagaimana mendapatkan keuntungan politik, kita tidak akan sampai ke mana-mana. Isu ini tidak akan selesai. Pengaruh Syiah akan semakin merebak dan menebal. Apa yang pasti golongan Syiah akan terus berleluasa dan semakin berani dengan tindakan yang lebih agresif. 

Apa pun Pak Lang yakin dengan kewibawaan Kementerian Dalam Negeri, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk menangani isu ini agar ianya dapat dibendung dan dilenyapkan dari bumi Malaysia tercinta. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua mengatasi mereka. Tindak balas puak Syiah tentunya ada. 
 
Berdasarkan sejarah serta pegangan yang ada dalam Syiah, tidaklah mustahil, jalan-jalan kekerasan merupakan salah satu pilihan kelompok ini bagi mencapai tujuan mereka. Semoga rakyat dan negara kita terselamat dari terjebak dalam kancah perkelahian Sunni - Syiah yang tidak berkesudahan sepertimana yang berlaku di negara lain. Kita berdoa agar Allah swt memelihara kita dan seluruh anak cucu, kaum keluarga dan rakyat jelata dari fitnah kerosakan yang berpunca dari golongan Syiah ini. 

Selamatkanlah kami dan negara kami ya Allah!!!
 





1 ulasan:

  1. as salam Pak Lang Syeikh;
    ini mengingatkan saya sewaktu berada di amerika, 1978-1982, bermulanya revolusi iran....kekawan dari negara telok khususnya puak wahabi dari saudi dan kuwiat mengingatkan kita; " remember brother, "back in their mind" we are kafir]"; maksudnya umumnya puak syiah ini menganggap yang bukan syiah adalah bukan islam...kalau para sahabat besar pun boleh dikafirkan, apa lagi muka kita......sekian maaf, alLah je yang Maha mengetahuinya.Dan kesannya di IPTA ada ustaz kita yang mempersoal kesahihan kitab2 hadis Bukhari&Muslim krna para perawinya tidak dari kalangan puak syiah.Itu tahun lapan 19 lapan puluhan. sekian dan wassalam

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text