Seingat Pak Lang, selama 7 tahun di Mesir, kami hanya dapat lihat salji di puncak gunung / Bukit Thursina. Kami - pelajar-pelajarYayasan Al-Arqam Mesir pada masa itu biasanya mengadakan ekspedisi melawat Semenanjung Sinai pada musim cuti panjang.
Ekspedisi ini kami lakukan saban tahun - khususnya mendaki Jabal (Bukit Tinggi) Musa - tempat Nabi Musa bermunajat selama 40 hari. Juga melawat kubu Barlif (kubu pertahanan Israel) yang dihancurkan tentera Mesir pada perang 6 Oktober 1973. Perjalanan ke Sinai melepasi Terusan Suez melalui terowong bawah tanah.
Ekspedisi itu sangat berkesan membina kasih sayang dan ukhwah sesama kami dan juga dengan rakan-rakan dari kalangan pelajar Al-Azhar dari pebagai negara. Banyak kenangan manis dan menarik yang berlaku. Bayangkan untuk sampai ke puncak bukit tinggi tersebut, kami terpaksa mula mendaki selepas tengah malam.
Barang-barang diletakkan di hotel. Kami hanya membawa setiap orang 2 botol mineral - untuk minum, bersuci dan wudhu'. Bayangkan berjalan mendaki secara 'ziq-zaq' untuk melepasi kecerunan bukit batu yang hanya mempunyai jalan tradisional. Awalnya memang boleh fokus tetapi kalau sudah 3,4 jam, nafas sudah mengah, tenaga makin kurang, kaki sudah lenguh, macam perkara pun boleh berlaku.
Di celah-celah sitasi sebegitu, ada pula yang mengadu hendak buang air besar!! Mereka malu tetapi terpaksa bersuara. Walaupun malam, di kawasan 'hutan batu' sebegitu, cahaya alami yang ada masih berupaya membantu penglihatan. Sukarlah mereka yang perempuan (banat) hendak menyorokkan diri. Masa tu semuanya berfurdah, maka tahap malu dan 'segan' sangatlah tinggi. Hendak berlindung jauh-jauh takut pula. Gamatlah juga keadaannya sebab kalau 'perut sudah memulas, yang di dalam sudah mendesak', kalau ada raja di depan pun sudah tidak dipeduli.
Di kemuncak itulah pada esoknya kami dapat melihat salji. Walaupun hanya tompokan kecil di sana sini, ianya sudah cukup memuaskan hati. Seumur hidup, dapat juga tengok salji dengan mata sendiri bahkan menyentuh dan memegangnya. Masa itu kawan-kawan di Jordan, sibuk bercerita mereka dihujani salji tebal dan dahsyat. Maka masing-masing sangatlah teruja dengan salji yang dijumpai di Jabal Musa itu.
Sekarang, khabarnya salji turun di Kaherah selepas 112 tahun tidak dituruni salji. Beberapa saintis sebelum ini mengatakan bahawa dunia sedang menuju ke Zaman Ais - zaman membeku. Adakah ini tanda-tandanya? Wallahua'lam...
Tentulah ada sesuatu yang pelik pada fenomena ini. Musim sejuk di Kaherah bahkan di seluruh Mesir tidaklah seteruk Jordan. Ianya tidak sampai ke tahap turunnya salji. Tetapi tahun ini bila salji turun setelah berlalu 112 tahun, orang mula tertanya-tanya apa petandanya dari pihak Tuhan.
Tentulah ada sesuatu yang pelik pada fenomena ini. Musim sejuk di Kaherah bahkan di seluruh Mesir tidaklah seteruk Jordan. Ianya tidak sampai ke tahap turunnya salji. Tetapi tahun ini bila salji turun setelah berlalu 112 tahun, orang mula tertanya-tanya apa petandanya dari pihak Tuhan.
Ianya tentulah bukan sekadar kejadian alamiah atau semula jadi. Mesir menyaksikan berbagai peristiwa yang berlaku sejak awal tamadun manusia. Semuanya pastilah di bawah kuasa dan ketentuan Tuhan. Tidak ada satu pun yang terasing dari penciptaan Tuhan. Mengadakan dan mentiadakan adalah kerja Tuhan. Semuanya mengandungi pengajaran dan tidak sia-sia bagi setiap orang yang beriman.
Tapi kalau tiba-tiba dunia dilanda Zaman Ais sekalipun, tidaklah mengejutkan sangat kerana ramai saintis telah pun memberi amaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Itu semua memang kerja para saintis tetapi bagi kita umat Islam, kenalah mencari apa kaitannya dengan maksud Tuhan. Tentu ada sesuatu yang Tuhan ingin fahamkan kepada umat manusia.
Walaupun kita tidak akan pasti apa jawapannya, sekurang-kurangnya setiap yang berlaku dapat dijadikan iktibar tentang maha berkuasanya Tuhan. Itu semua menunjukkan manusia tetaplah makhluk yang lemah. Tuhan boleh berbuat apa saja. Jadi manusia tidak boleh sombong dan bermegah dengan kemampuannya, kebolehannya dan kekuasaannya.
Semua yang manusia miliki hanyalah pinjaman dan putaran pinjaman itu akan sentiasa berlaku. Tidak semua manusia memiliki segala-galanya pada setiap masa dan sepanjang waktu. Dunia adalah pergiliran nikmat dan ujian. Hari ini kita kaya dan berkuasa, besoknya giliran orang lain pula merasainya. Hari ini kita menderita sakit dan sengsara, besuknya orang lain yang merasai deritanya.
Jika semua manusia menginsafi hakikat ini, dunia akan aman dari kacaubilau dan bersengketa. Masing-masing tahu mengukur kadar yang dipinjamkan Tuhan padanya dengan syukur, sabar dan redha. Manusia akan sentiasa bersedia menerima susah dan sulit dari Tuhan dalam keadaan malu dengan Tuhan, bersyukur atas apa jua nikmat yang dilimpahkanNya.
0 ulasan:
Catat Ulasan