Baru-baru ini ada dua orang Pengarah GISB yang ke Phuket, Thailand. Mereka ke sana bagi mengiringi rombongan pelancong yang terdiri dari kaum keluarga dan adik beradik Pak Lang sendiri di Kubang Pasu. Bas dua tingkat yang canggih itu membawa mereka memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dan Hat Yai.
Dua orang pengarah GISB ini mengiringi tamu tersebut sehingga sampai di Phuket sahaja. Sepanjang di Phuket, mereka menyerahkan urusan membawa tetamu tersebut kepada pimpinan GISB Phuket yang lebih memahami situasi tempatan. Tetamu sangat teruja melihat keupayaan GISB ada di mana-mana.
Menariknya kerana kaum keluarga Pak Lang sudi menerima pelawaan Pak Lang supaya menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh GISB Phuket. Ianya bukan soal bayaran yang murah kerana kami dilatih memberi tanpa mengharapkan upah atau bayaran. Jika diberi, kami menganggapnya sebagai sumbangan. Jika tidak diberi kami tidak akan memintanya.
Apa yang penting ialah bagaimana kami berusaha melayan mereka dengan kasih sayang yang dilakukan dengan sepenuh hati. Penghormatan dan layanan yang kawan-kwan berikan semasa mereka menginap di Homestay Ikhwan Phuket atas dasar mengharapkan keredaan Allah dan Rasul. Inilah kunci perlaksanaannya yang dilakukan dengan kasih sayang. Ianya diharapkan akan berpanjangan dan berterusan.
GISB Phuket juga menyediakan pakej katering 3 kali makan sehari untuk mereka yang pastinya tidak meragukan dari segi halalnya. Tentulah ianya jauh menjimatkan dari berbelanja sendirian atau berasingan di mana-mana restoren halal di pulau peranginan tersohor itu.
Oleh kerana ada hal yang mengejut, kedua-dua pengarah GISB ini bergegas balik ke Kuala Lumpur dengan sebuah kenderaan pacuan 4 roda dari Phuket ke Hat Yai. Di Hat Yai mereka bermalam di Homestay Ikhwan Hat Yai. Keesokan harinya selepas sarapan, mereka menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur. Mereka sengaja memilih menaiki bas kerana perlu singgah membeli barangan yang dipesan kawan-kawan ketika singgah di Pekan Danok (sempadan Malaysia Thai).
Bas ekspres yang dinaiki mereka dipandu oleh pemiliknya sendiri - seorang anak muda berbangsa India. Rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia berketurunan India yang mengunjungi Bandar Hat Yai hari itu. Lebih separuh penumpang bas itu adalah mereka. Mungkin cuti Deepavali ketika itu, mendorong ramai masyarakat India beragama Hindu melancong ke Thailand.
Di Danok, semua penumpang diminta turun untuk urusan Imigresen di sebelah Thailand. Kedua pengarah ini juga turun dan berbaris bersama warga Malaysia dan warga asing yang juga akan memasuki Malaysia. Memang betul, ramainya kaum India kerana cuti Deepavali. Kebanyakannya bersama keluarga. Keadaan semasa berbaris penuh sesak dengan anak-anak. Suasana panas dan rimas itu ditambah pula dengan tempuh menunggu yang lama. Lebih setengah jam barulah mereka berdua berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen.
Ketika keluar memasuki kawasan Malaysia - melepasi pagar sempadan, mereka berdua tercari-cari di mana bas ekspres tersebut menunggu. Terdapat banyak bas ekspres di tepi-tepi jalan berbaris memanjang jauh ke hadapan. Mereka berjalan kaki menghala ke bahagian Imigresen Malaysia yang jaraknya lebih 500meter sambil meneliti setiap bas yang dilepasi. Semuanya bukan bas yang dicari. Mereka sampai ke pusat pemeriksaan Imigresen Malaysia dalam keadaan berpeluh lalu beratur untuk urusan paspot.
Secara logiknya, mereka berfikir, apa yang perlu mereka lakukan ialah menunggu di situ. Mungkin bas itu menanti penumpang di ruang parkir bas di kawasan sebelah Thailand semasa mereka berbaris melepasi pemeriksaan Imigresen tadi. Apa pun pastilah bas itu akan sampai juga di sebelah Imigresen Malaysia. (Kesibukan dan suasana hiruk pikuk di sebelah Thailand tadi menyebabkan mereka terlupa membeli barangan yang dipesan). Mereka mengambil keputusan menunggu sambil membasah tekak dengan air mineral.
Lebih sejam menanti barulah bas itu muncul. Jam sudah masuk waktu solat Zohor. Tanpa mengesyaki apa-apa mereka berdua menaiki bas menghala ke selatan - Kuala Lumpur. Tidak sampai 15km bergerak, bas itu memasuki kawasan bebas cukai swasta untuk memberi peluang penumpang makan dan ke tandas. Mereka berdua mengambil masa 20 minit yang diberikan pemandu bas itu untuk solat Zohor dan Asar (Jamak Takdim).
Sebaik mahu memasuki bas, salah seorang daripada mereka meminta untuk mengambil barangnya di bahagian bagasi. Terperanjatlah dia bila mendapati bagasinya tidak ada di dalam bas tersebut. Barulah pembantu pemandu memberitahu beg tersebut sudah dikeluarkan untuk diperiksa oleh Imigresen Malaysia tadi. Dan beg tersebut tidak ada sesiapa mengangkatnya semula ke dalam ruangan bagasi bas.
Mereka berdua bertanyakan pemuda India pemandu bas itu apa yang berlaku. Mulalah dia menyalahkan kedua-dua penumpang yang malang tersebut. Pembantu pemandu tahu mereka bersalah. Dia hanya berdiam diri. Mereka sepatutnya memastikan tidak ada beg yang tertinggal setelah menyedari ada penumpang yang tidak berada di dalam bas ketika itu.
Kedua-dua pengarah GISB ini pula mempertahankan diri bahawa mereka tidak tahu beg mereka dikeluarkan. Mereka sudah melepasi pemeriksaan Imigresen Malaysia lebih awal. Dan jika mereka tahu, tentu mereka akan bersiap sedia mengendalikan bagasi mereka sendiri. Mereka tidak berpuas hati dengan pemandu tersebut - yang tentunya sangat memahami prosedur berkenaan. Kenapa dia tidak memberitahu para penumpang awal-awal dan kenapa dia tidak tolong mengangkat beg yang belum dimasukkan ke dalam bas.
Segala-galanya jadi kacau dan kecoh. Masing-masing mempertahankan diri dan menyalahkan pihak lain. Dalam masa sama, pemandu tersebut berkata, dia tidak ada pilihan melainkan meninggalkan mereka berdua di situ kerana bas tersebut akan mengambil penumpang di tempat lain. "Bas ini tidak boleh lewat" katanya. Penumpang lain hanya berdiam diri. Tidak ada yang bangkit menyokong kedua-dua 'Ustaz' GISB itu.
Apa boleh buat. Tidak ada pilihan melainkan beralah. Mereka berdua turun dari bas dengan membawa barang yang ada. Salah seorang daripada mereka berpaling kepada sipemandu dan berkata, "Awak teruskanlah perjalanan, nanti tengoklah apa yang akan berlaku pada bas ini!!". Mereka berdua terus berjalan kaki keluar dari kompleks bebas cukai berkenaan dengan harapan segera mendapat teksi dan kembali ke Bukit kayu Hitam.
Tiba-tiba bas yang mula bergerak mahu meninggalkan mereka, perlahan-perlahan mendekati mereka. Pemandunya berteriak supaya naik ke atas bas semula. Mereka sedar, tentunya pemandu itu mengubah fikiran mahu berbaik dengan mereka. Tapi kenapa dia mengubah fikiran?
Rupanya pemandu itu terkesan dengan ucapan akhir salah seorang dari mereka. Dia melahirkan tidak puas hati mendengar ucapan tersebut ditujukan pada 'basnya'. Katanya, "Abang tidak patut cakap macam itu tadi! Bayangkan berapa nyawa ada dalam bas ini? kalau jadi apa-apa pada bas ini aiyyo, susah mahu cakap la. Abang pun orang sembahyang, saya juga sembahyang. Kita sama-sama tahu itu Tuhan boleh buat macam-macam. Abang cakap macam itu tadi sangat tidak patut. Apa jadi pada nyawa 30 orang penumpang dalam bas ini kalau berlaku sesuatu." Dia bercakap sambil kepalanya digoyang-goyang dengan tangan kanan dan kirinya juga diangkat menggayakan entah apa-apa!!
Mereka jawab, "Terima kasihlah sebab kamu mahu mengambil kami. kalau kamu teruskan perjalanan tanpa kami, kami takut Tuhan kami akan lakukan sesuatu pada bas ini. Sebab itu kami beritahu kamu awal-awal." Mereka cuba memujuknya agar reda dari kemarahannya. Mereka bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkan mereka dari kena tinggal begitu sahaja. Ianya suatu yang tidak patut jika sipemandu itu sanggup meninggalkan penumpang basnya begitu sahaja. Dari sudut undang-undang pun dia salah.
"Tidak apa lah abang, saya rugi pun tidak kisah asalkan bas saya tidak jadi apa-apa" Itulah ucapan penyudahnya walaupun sebelumnya dia masih merungut.
Apabila mereka ceritakan hal ini kepada Pak Lang, tahulah Pak Lang betapa yakinnya mereka dengan kuasa Allah - Tuhan orang Islam. Kalau dia yakin dengan kuasa Tuhan mereka tentulah dia tidak memperdulikan kata-kata berkenaan. Kuasa Allah begitu menggerunkannya.
Dia tahu dia 'menganiaya' dua orang yang mana kalau dua orang itu mengadu dengan Allah, basnya dan orang-orang yang di dalamnya diyakini tidak selamat. Dia tidak mahu mengambil risiko sebesar itu. Apa pun boleh terjadi ketika perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Sebab itu dia sanggup mengubah pendirian untuk tidak membiarkan mereka terkontang-kanting di situ.
Pemuda India, pemandu bas itu bertindak tepat dengan memastikan kedua-dua pengarah GISB itu akhirnya mendapatkan beg berkenaan dan meneruskan perjalanan bersama sehingga sampai ke Kuala Lumpur.
Pesanan Pak Lang pada anak cucu sekelian, kita akan sentiasa diuji dan teruji. Perkara pertama sebaik diuji ialah, ingatlah bahawa ujian yang berlaku itu adalah peringatan dari Tuhan. Tentu ada sesuatu yang Tuhan mahu kita sedar dan berhati-hati. Sebaik-baik langkah kita ketika itu ialah mengucap istighfar meminta ampun denganNya. Pasti ada dosa kita dengan Tuhan. Tuhan mahu kita muhasabah diri. Berkata-katalah dengan Tuhan meminta keampunan dan pertolonganNya.
Kedua, pastikan kita kekal bertahan bersama kawan-kawan - sama-sama menempuh susah dan sama-sama sanggup menanggung ujian. Susah senang hadapilah bersama. Itulah tanda kasih sayang sejati. Berhati-hatilah dengan orang yang suka memuji kita. Hargailah kawan yang sanggup susah bersama kita. Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis jarang terjadi!!
Kedua, pastikan kita kekal bertahan bersama kawan-kawan - sama-sama menempuh susah dan sama-sama sanggup menanggung ujian. Susah senang hadapilah bersama. Itulah tanda kasih sayang sejati. Berhati-hatilah dengan orang yang suka memuji kita. Hargailah kawan yang sanggup susah bersama kita. Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis jarang terjadi!!
(Bagi para pembaca blog suaramuhajirin313 yang berminat mengunjungi Phuket, Satun dan Hatyai, bolehlah berhubung dengan pimpinan GISB Thai 1 seperti berikut: Tuan Dr Hamzah: 0139713696 atau 0189176993. Untuk lawatan ke seluruh Thailand, hubungi email Pak Lang. nanti Pak Lang maklumkan).
0 ulasan:
Catat Ulasan