Social Icons

Ahad, 1 Disember 2013

Majlis Makan Malam Amal YKPPM Di Bandar Country Homes, Rawang (Bahagian 1)

Malam tadi berlangsung Majlis Makan Malam Amal sempena Perasmian Kompleks Perkhidmatan Perubatan Ikhwan dan Pelancaran Tapak Pusat Homeodialisis Ikhwan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Tetamu yang hadir sangat memberangsangkan. Khemah 'Marquee tent' yang memuat 30 meja x 10 orang itu penuh dengan hadirin. Semuanya terpaku dengan persembahan Kumpulan Generasi Harapan yang berkonsepkan hiburan komtemporari - Islamik tetapi sesuai dengan selera remaja dan masyarakat masa kini. 

Berikut adalah beberapa perkara menarik yang dapat Pak Lang titipkan di sini khususnya bagi mereka yang hanya mengikuti perjalanan majlis ini secara langsung melalui TV IKHWAN di seluruh dunia. TV IKHWAN adalah tv internet yang menjadi penyiar resmi semua majlis anjuran YKPPM dan GISB HOLDINGS Sdn Bhd. 

Perkara yang dimaksudkan ialah

1)  Tujuan majlis diadakan ialah untuk memperkenalkan Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) kepada semua golongan masyarakat di negara kita. Justeru YKPMM mensasarkan majlis atau acara resmi akan sentiasa dirancang dan dijayakan di semua negeri. Sekurang-kurangnya di Lembah Kelang sahaja, setiap bulan, majlis makan malam amal ini akan diadakan. Bagi mereka yang berminat hadir, boleh layari; http://ykppm.org. Masyarakat yang telah mengenali YKPPM dan memahami latar belakang kewujudannya sangat menghargai peranan yang sedang dimainkan YKPPM. Anda hanya akan memahaminya dengan jelas jika anda hadir sendiri dan mengikuti acara YKPPM. Anda akan tahu kenapa mereka yang mengenali YKPPM sangat teruja dan dengan sukarela turut membantu YKPPM.

2)   Majlis semalam juga dihadiri oleh beberapa tokoh masyarakat. Hampir 10 orang individu korporat dan pemimpin badan NGO berstatus Dato' turut hadir memberi sokongan kepada YKPPM. Tidaklah sesuai Pak Lang sebutkan nama mereka lagi buat masa ini. Cuma mereka sangat memahami situasi kedudukan Puan Ibu Hatijah Aam selaku Yang DiPertua YKPPM. Sebagai isteri AlMarhum Ustaz Ashaari, tentulah hal berkaitan Al-Arqam masih menghantui pemikiran sebahagian kecil masyarakat kita. Mereka belum tahu bahawa Puan Ibu Hatijah bersama 4,000 orang ahli YKPPM dan staf GISB HOLDINGS Sdn Bhd sudah bertaubat dan sedang dalam proses pemulihan. Semua aktiviti beliau dipantau secara langsung oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Justeru semua majlis yang dijalankan adalah dengan restu serta kebenaran oleh pihak JAIS. VIP yang hadir malam tadi adalah kelompok yang bersikap positif dengan kemunculan Puan Ibu Hatijah bersama 4,000 orang anak buahnya ke persada arus perdana masyarakat. Mereka gembira dengan situasi ini dan akan memberi kerjasama yang lebih signifikan demi menjayakan visi YKPPM.

3)    Ucapan aluan Puan Ibu Hatijah Aam ialah mengajak para hadirin untuk takutkan Allah serta mengingati dan merindui Rasulullah saw. Inilah dua perkara yang sepatutnya dapat dirasai dalam hati kita semua. Tanpa wujudnya rasa, agama hanya tinggal teori semata-mata. Islam adalah agama yang mesti mengutamakan hubungan rasa hati yang takutkan Allah dan rasa hati yang rindukan nabi saw. Tanpa rasa sebegini, kita belum lagi memenuhi tuntutan kalimah syahadah yang dilafazkan. YKPPM melihat soal kebajikan yang bersifat rohaniah sebagai suatu yang penting dan perlu diberi perhatian. Sebab itu YKPPM menyediakan para doktor, tabib, jururawat dan para petugas perubatan yang berupaya memahamkan para pesakit dengan konsep 'sakit adalah penghapusan dosa'. Kebanyakan orang sakit terjerumus dengan dosa baharu lantaran gagal memahami kenapa Tuhan sakitkannya. Justeru dia berburuk sangka dengan Tuhan. Jadilah dia orang yang berdosa pula sedangkan dia disakitkan Tuhan awalnya untuk menjadikan dia insaf dan bertaubat. Dari sudut yang lebih luas, manusia kebanyakannya berpenyakit dengan penyakit yang lebih kronik iaitu penyakit hati. Sakit lahir hanya mengakibatkan sengsara di dunia sedangkan penyakit hati atau sakit yang bersifat batiniah seperti hasad dengki, cinta dunia, sombong, bangga diri, buruk sangka dan lain-lain adalah penyakit yang akan membawa sengsara di neraka. Wal'iya zubillah!! YKPPM serius dalam mengaplikasi konsep yang sebegini dan hasilnya para pesakit lebih tenang, Para pengunjung yang bertanyakan YKPPM pun sedari awal sudah difahamkan dengan konsep ini. Siapa sahaja dianjurkan bertaubat dan meminta ampun pada Tuhan. Itulah kaedah rawatan awal YKPPM. Kemiskinan, kemelaratan atau kedhaifan hidup sebenarnya memerlukan pencerahan jiwa dengan konsep sebegini. Hati mereka perlu dijernihkan semula dengan rasa redha dengan ketentuan Tuhan dan memohon keampunanNya kerana pastilah ada dosa dengan Tuhan. Kemiskinan bukan satu kehinaan. Kemuliaan hanya ada pada taqwa. Jika manusia melazimi taubat dengan sepenuh hati, itulah sifat taqwa yang dengan itu, hati akan tenang, jiwa akan lapang dari gangguan dunia dan nafsu. Hasilnya separuh dari kesakitan lahir sudah dapat diubati. 

4)   Persembahan Kumpulan Generasi Harapan  (GH) sangat menyentuh dan mengusik hati. Ramai hadirin menitiskan air mata. Sememangnya begitulah 'penangan' GH di dalam setiap persembahan mereka. Mereka bukan melakukan persembahan biasa seperti kumpulan nasyid sedia ada. Mereka ada aura tersendiri yang sangat luar biasa. Lebih 20 orang remaja lelaki perempuan tampil di atas pentas - dalam keadaan mereka mempunyai hubungan muhram  dari satu bapa dan empat ibu. Mereka bukan sekadar membuat persembahan, mereka malah sedang membawa hati para hadirin 'mikraj' kepada Tuhan. Keagungan Allah yang maha hebat itu dipersembahkan dengan pelbagai aksi tarian, lakonan dan elemen yang digabung-jalin dari tafsiran Al-Fatehah. Dengan kata lain, surah Al-Fatehah yang selama ini kita baca biasa-biasa sahaja, telah diberi nafas kefahaman baharu oleh GH. Rupanya begitu Islam ini diperlihatkan hebat dan mengkagumkan hadirin. Barulah semua hadirin tercuit rasa hati; "Oh!!! bangganya aku dengan Islam, bangganya aku dengan Allah dan Rasul. Hebatnya Al-Fatehah dipersembahkan sebagai satu sistem hidup yang sangat luas dan bermakna dunia akhirat". Hadirin terpaku di tempat duduk masing-masing sehingga ke akhir persembahan jam 11.20 mlm!! 

5)    Majlis malam tadi juga memberi ruang yang sangat selesa untuk saling berkenal-kenalan dan berbual mesra sesama hadirin. Mereka dipertemukan dalam majlis anjuran YKPPM. Mereka sedar, ramai yang sedang turut serta dengan YKPPM dalam memberi sumbangan wang ringgit, kepakaran dan sebagainya demi menjayakan perkhidmatan kebajikan dan perubatan kepada golongan memerlukan. Ada yang datang dari Seremban, Bangi dan Tanjong Malim. Wakil-wakil GISB HOLDINGS Sdn Bhd dari seluruh dunia sememang sudah sedia hadir, Mereka terpaksa berada di luar dewan kerana mendahulukan tempat duduk bagi para tetamu. Setiap tetamu dilayan secukupnya terutama dalam menjawab pertanyaan atau persoalan yang inginkan penjelasan. Setiap meja ada wakil YKPPM untuk melayan sembang dengan tetamu. Apa yang menarik, ramai tetamu menjadi 'jurucakap' YKPPM dan GISB. Mereka mendahului kami dalam memberi input berkaitan Puan Ibu Hatijah, YKPPM, Generasi Harapan dan lain-lain kepada tetamu lain yang semeja dengan mereka. Mereka 'bangga' mengetahui banyak perkara tentang semuanya ini. Sebenarnya itu lebih baik kerana ia menjadi promosi yang sangat berkesan jika mulut orang lain yang menceritakan tentang kita. Hasilnya hubungan mesra ini dilihat akan terus berpanjangan dan mereka akan menjadi penghubung YKPPM dengan saudara mara, kawan rakan mereka yang lain.
KLIK UNTUK BACA SAMBUNGANNYA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text