Perjalanan Pak Lang semalam agak menarik. Keluar dari rumah jam 4.30 pagi untuk ke LCCT. Pak Lang dan Mohd Musaddiq - seorang anak buah yang juga ketua para remaja Ikhwan di Puchong
berlepas ke Kota Kinabalu tetapi melalui Bintulu!! Dari Bintulu menaiki
kenderaan darat pula untuk ke Miri.
Kami singgah sebentar di Kompleks Perniagaan Ikhwan Miri untuk solat Zohor dan Asar (Jamak Taqdim), makan
tengahari dan bergegas pula ke lapangan terbang Miri untuk ke Kota
Kinabalu. Kami sampai ke Kota Kinabalu jam 6 petang - sudah Maghrib
kerana waktu Malaysia Timur lebih awal satu jam.
Ketika
di LCCT, seperti biasa, manusia sangat ramai di balai berlepas -
berbagai bangsa dan agama. Kenderaan yang diparkir tidak terkira
banyaknya. Semuanya sanggup mengejar penerbangan awal dan untuk itu
sanggup pula bangun awal. Ada yang hanya menggenyeh-genyeh mata bangun
daripada tidur lalu terus ke LCCT. Inilah penangan Air Asia dengan
'tagline'nya: "Sekarang Semua Orang Boleh Terbang"!!
Pesawat
Air Asia ke Bintulu memakan masa 2 jam 10 min. Pesawat Airbus itu penuh
dengan penumpang. Musaddiq belum pernah merasa naik pesawat terbang
bahkan belum pernah sampai ke Serawak atau Sabah. Sengaja Pak Lang pilih
perjalanan sebegini (menyinggahi di banyak tempat) untuk tiga tujuan.
Pertama untuk memberi pendedahan atau pengalaman khusus untuk Musaddiq
keduanya untuk menziarahi kawan-kawan GISB di tempat berkenaan dan yang
ketiga bagi memanfaatkan wang tambang yang dibayar pada Air Asia sebaik
mungkin.
Jadi
Pak Lang ambil tiket murah untuk terbang ke Bintulu terlebih dahulu
pada jam 7.25pg. Tujuan musafir kami sememangnya ke Kota Kinabalu tetapi
harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sudah naik melebihi
RM600.00 untuk seorang (sehala sahaja). Jadi bila guna cara sebegini,
harga tambang untuk kami berdua hanya RM500.00. Ianya adalah tambang
pergi balik untuk 2 orang!!
Jam
9.45 pagi kami sudah sampai Bintulu. Tidak sempat untuk tidur di dalam
pesawat seperti yang dicadangkan awal kerana asyik membaca. Lagi pun
tidaklah dapat tidur dalam keadaan badan tegak macam patung kerana reka
bentuk kerusi penumpang Air Asia memang untuk 'naik, duduk dan turun'.
Ianya sempit dan kecil - Tidak sesuai untuk santai!! Padanlah dengan harga tambangnya yang murah.
Jam
11.00 pagi selepas dijamu makan di Restoran Ikhwan Bintulu, kami sudah
berada di dalam kereta, terhingut-hingut di bawa laju menuju ke Miri.
Kami tidak mahu ambil risiko menaiki bas dari Bintulu (untuk menaiki
pesawat Air Asia dari Miri ke Kota Kinabalu) kerana Air Asia tidak akan
kompromi dengan kelewatan penumpang.
Rasanya Air Asia
menggunakan sistem pemasaran atau jualan komputer yang canggih. Ianya
'tahu' menaikkan harga tiket sesuai dengan keperluan penumpang. Jika
penumpang berada di dalam situasi terdesak untuk menggunakan
perkhidmatannya, ketika itulah tawaran harganya meningkat!!
Tapi
ramai juga yang beruntung mendapat harga yang sangat rendah. Apa pun
keluar-biasaan Air Asia sudah jadi fenomena biasa di Asia Tenggara.
Semua sudah dapat menerima apa yang diberikan Air Asia kepada
penumpangnya. LCCT yang terlalu sesak sepanjang masa itu adalah bukti
kehebatan strategi penjenamaan dan pemasarannya. Kita tinggalkan dulu
persoalan Air Asia ini walaupun Pak Lang ada hal untuk menulis tentang
Strategi Lautan Biru Air Asia (Blue Ocean Strategy). Semoga Allah
izinkan nanti.
Sepanjang
perjalanan, Pak Lang biarkan Musaddiq memerhati keluar. Kepelbagaian
bentuk muka bumi, keadaan jalanraya, bangunan, prasarana dan masyarakat
tempatan sangat berbeda dengan Semenanjung terutama rumah panjang.
Pemandangan yang mengasyikkan dengan bukit bukau yang sudah ketiadaan
pohon-pohon besar tapi sudah menghijau merata dengan rumput dan tumbuhan
renek.
Tidak
banyak kawasan perkampungan atau perumahan yang ditempuh. Bandar
Bintulu lebih terkenal sebagai bandar minyak dan gas seperti Miri.
Banyak syarikat 'Oil And Gas' menyewa rumah-rumah di sini. Hasilnya
harga sewa rumah dan premis di sini berganda mahalnya. Jadi, banyaklah
yang perlu dikaji dan difahami oleh remaja kita untuk cepat matang dan
tahu untuk bertanggung jawab dengan tugas yang diberikan.
Pak
Lang sudah nyatakan pada Musaddiq supaya belajar mencatit apa yang
dilihat, didengar dan dirasa di dalam hati kerana pulang nanti dia akan
Pak Lang minta taklimatkan pada remaja yang lain. Pengalaman yang
ditempuhinya mesti dikongsikan dengan rakan-rakan yang tidak datang. Dia
perlu banyak melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat yang berbagai
ragam. Jika sepanjang perjalanan ini dia dipimpin, ianya akan membina
jiwa perjuangan yang mantap dengan kefahaman yang tepat seperti yang
sepatutnya.
Sebenarnya
bermusafir di dalam GISB HOLDINGS Sdn Bhd sangatlah unik. Bermusafirlah
di manapun jua di seluruh dunia, GISB sentiasa mempunyai kemudahan yang
secukupnya. Pada kami wang bukan segala-galanya kerana ini semua adalah
pengalaman kami. Wang bukan penentu kerana kami diajar untuk
menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Dialah penentu dan pencatur
semua hal dan perkara.
Dalam
musafir, kita perlukan 3 perkara; Pertama kenderaan, kedua tempat
tinggal dan ketiga makan minum. Maka GISB mempunyai ketiga-tiga perkara
ini di semua tempat. Bermusafirlah bersama kami, nanti anda para pembaca
akan tahu betapa berharganya nilai kasih sayang sesama muslim yang
dapat dipupuk se adanya di dalam GISB.
Meraikan
tamu, berusaha memudahkan segala urusan tamu serta memastikan tamu
selesa, dimuliakan dan diutamakan adalah sikap yang wujud di dalam diri
semua staf GISB di seluruh dunia. Kami tidak melayan anda semua
berdasarkan keuntungan wang ringgit. Ini semua bukanlah didikan yang
kami terima. Sebaliknya kami diajar berkhidmat sebaik mungkin, semaksima
yang termampu demi menggembirakan tetamu.
Kasih
sayang yang kami curahkan - jika ianya benar-benar datang dari hati
kami, pastilah akan menjadikan kita saling berkasih sayang kerana Allah
dan Rasul. Kita akan jadi kuat, gagah dan berwibawa. Tidak ada satu apa
pun yang mampu merosakkan hubungan kita sesama muslim jika hati kita
terpadu sebegini rupa.
Bayangkan,
anda akan kami layan lebih dari keluarga anda melayan anda. Kami
benar-benar merasakan anda saudara kami seIman dan seIslam. Anda akan
disambut di lapangan terbang sebaik sampai dan ditunjukkan secara
terhormat ke kenderaan canggih yang sudah menanti - siap dengan
pemandunya.
Anda
akan di bawa ke bilik penginapan sebelum di pelawa turun untuk makan -
dijamu seadanya tapi pastilah menyelerakan. Nanti akan ada perbincangan
apa yang hendak dibuat, ke mana hendak dituju, semuanya akan diuruskan
sedapat-dapatnya sehingga anda tahu bahawa demikianlah hebatnya kasih
sayang yang dicetuskan oleh Islam. Itulah yang dilaksanakan dalam
sejarah oleh Baginda Rasul dan para sahabat.
Inilah
kewibawaan Islam yang mesti kita perjuangkan sama-sama. Walaupun hanya
dari sudut permusafiran atau pelancungan, Islam sudah ada sistemnya yang
unik berteraskan kasih sayang demi mendapatkan keredaan Allah swt dan
kecintaan kepada Rasulullah saw.
Musaddiq
sudah melihat kehebatan Islam yang sebegini. Ianya adalah suatu yang
wujud dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat di kalangan
GISB. Musaddiq menyaksikannya di hadapan matanya sepanjang sehari
permusafiran ke Kota Kinabalu melalui Bintulu dan Miri, Serawak. Kami
akan berada selama seminggu di negeri Sabah - negeri "di bawah bayu"
ini. Tentu banyak yang akan dialaminya!!
0 ulasan:
Catat Ulasan