Social Icons

Ahad, 1 Disember 2013

Majlis Makan Malam Amal YKPPM (Bahagian 2)

Sambungan...

6)    Pusat Perkhidmatan Perubatan Ikhwan adalah suatu 'hospital' masa depan. Ianya akan menjadi kayu ukur perkembangan jiwa umat manusia di Malaysia dengan Tuhan. Konsep perubatan 'sakit adalah penghapusan dosa' adalah konsep yang terlalu jauh di depan. Ianya meninggalkan semua hospital yang ada jauh di belakang. Konsep ini mempunyai pelbagai elemen yang cukup kompleks. Ianya langsung tidak bersifat kapitalis malah sangat ketara wujudnya unsur didikan yang sangat sempurna bagi setiap pesakit. Konsep yang dipilih YKPPM ini sangat luar biasa kerana orang hanya mampu mencemburui kebenarannya tetapi ianya tidak mudah untuk ditiru!! Membina hospital samalah seperti membina semua bangunan untuk diduduki. Atas apa tujuannya, bangunan itu sendiri mesti mempunyai aura yang khusus mengenai tujuan pembinaannya. Bangunan kompleks YKPPM ini mempunyai aura yang khusus yang dimaksudkan ini. Rasanya separuh dari kesakitan atau apa yang ditanggung pesakit akan lenyap sebaik menapak kaki memasuki ruang kompleks ini. Ianya mungkin sukar untuk diterangkan tetapi bagi yang kuat rasa hatinya akan menyedari situasi ini. Inilah antara yang membedakannya dengan pusat perubatan lain. Jika telah bertemu dengan petugas di kaunter pendaftaran pun, pesakit sudah mula mengalami proses pengubatan jiwa apatah lagi jika sudah bertemu dengan doktor di dalam bilik rawatan!! Menariknya, 'hospital' ini tidak mengenakan kadar bayaran tertentu. Terpulang kepada para pesakit yang datang. Asasnya percuma dan jika ada yang mahu berterima kasih, mereka boleh memberikan sumbangan sebanyak mana yang mereka mahu. Sumbangan itu akan kembali kepada pesakit lain yang benar-benar tidak mampu. Pihak YKPPM tidak mempunyai niat untuk berniaga dengan manusia sebaliknya menyambut cabaran Tuhan agar 'berniaga' denganNya. Ianya benar-benar 'berjual beli dengan Allah'. Atas nama Allah dan Rasul - demi mengagungkan Allah serta membesarkan Rasulullah saw, maka 'hospital' ini dibina. Niat ini menjadikan penyerahan diri semua yang terlibat kepada satu kuasa yang maha kaya. Ianya juga menjadikan semua hati terhubung dengan Baginda Rasulullah saw. Bukankah Baginda adalah anak kunci segala kejayaan serta 'ubat' bagi seluruh penyakit?

Melawat kompleks YKPPM tersebut, menjadikan kita tergambar wajah hospital YKPPM yang sebenar bila ianya menjadi realiti. Kesungguhan Puan Ibu Hatijah untuk melihat pusat ini segera beroperasi telah menjadikan ianya sudah mula dikunjungi ramai pesakit terutama masyarakat sekitar Rawang. Dato'-dato' yang hadir malam tadi juga sibuk mengambil nombor talipon untuk datang semula mendapatkan perkhidmatan. Tentunya mendapatkan khidmat mengurut daripada para tabib!! Rasanya masanya tidaklah lama lagi untuk kita melihat munculnya satu demi satu hospital YKPPM ini di seluruh negara. Sabarlah kita menunggunya dengan doa yang berterusan. Islam mesti dilihat gagah, berwibawa dan mampu menaungi umat manusia seluruhnya.

7)   Jamuan oleh EKHWAN KATERING sangatlah mengujakan. Sedapnya sangat terasa. Nasi berianinya tidak menjemukan. Salah seorang Dato' di sebelah Pak Lang berbisik, "Eh! sedapnya!! Katering sendirikah?" "ya!" jawab Pak Lang sambil menunjukkan kertas tisu berlogo EKHWAN KATERING kepada beliau. "Oh!! kalau gitu, saya nak ambil katering ini nanti untuk kenduri di rumah saya!!"  Wah!! hanya dengan suapan yang pertama, dia sudah buat keputusan menempah EKHWAN KATERING!! Sememangnya banyak yang masyarakat tidak tahu tentang YKPPM dan GISB HOLDINGS Sdn Bhd. Kalau sudah tahu nanti, tak terbayang bagaimana mereka akan berdatangan. (Sebelum itu Dato' ini sangat teruja melihat peralatan canggih untuk siaran 'live streaming'. Dengan sistem lampu, sistem suara dan sebagainya, dia menggeleng-geleng kepala kehairanan - hairan pada dirinya yang baru tahu, semuanya mampu dimiliki oleh kelompok yang membawa cita-cita Islam - atas nama Islam semuanya itu dapat dipersembahkan dengan hebat dan bertaraf profesional). 
8)   Seperkara lagi ialah soal cuaca!! Sepanjang seminggu setiap petang dan malam, Country Homes sentiasa hujan. Maklumlah akhir bulan November adalah musim hujan. Padang tempat program biasanya becak dan basah dengan air bertakung. Jika tidak hujan di sebelah malam, petangnya pasti hujan. Tetapi kebanyakan hujannya sebelah malam. Dua malam sebelum majlis - setelah khemah besar itu dipasang, hujan dengan ribut turun selebat-lebatnya. Karpet yang sudah dipasang basah lencun. Kami jadi bimbang dan cemas. Jika situasi itu berlarutan bagaimana jadinya majlis yang dirancang itu akan diteruskan? Ianya hanya debaran di dalam hati. Tidak ada apa yang mampu dilakukan. Kena berserah sepenuhnya kepada yang maha kuasa. Jika Dia mengizinkan, Dialah yang akan melakukan segala-galanya. Ajaibnya!! pada hari 30 November itu, dari siang hingga ke malam cuaca panas dan terang! Cuma sempat kami kembali cemas bila selepas asar, cuaca kembali redup - sama redupnya seperti hari-hari sebelumnya. Kami hanya mampu memandang lirih ke langit luas dan merintih memohon ke hadhrat Allah yang maha kuasa agar melayani majlis berkenaan dengan sebaik-baiknya...... Ada banyak pengajaran bila cuaca begitu tenang dan selesa. Banyak yang tersirat yang terjadi. Kalau pun ada titisan hujan sekadar hanya renyai beberapa minit - sekadar melembabkan suasana tapi tidak membasahkannya. Maha besar Tuhan atas pertolonganNya. 

Akhir sekali, Pak Lang ingin mengucapkan terima kasih kepada JAIS. Sangat besar jasa Dato' Haji Marzuki Hussin serta para pegawai JAIS. Tanpa kesungguhan mereka, sukar untuk dibayangkan apa yang akan kami tempuhi. Sekarang - setiap kali kami nyatakan kepada siapa sahaja, betapa JAIS telah mengambil tanggung jawab membawa kami ke tengah masyarakat, mereka mengucap syukur dan amat menghargai usaha JAIS ini. Sememangnya ia adalah suatu tindakan yang tepat terhadap kami. Semoga Allah anugerahkan kasih sayang dan redaNya kepada kita semua. Majlis malam tadi - jika ada air mata keinsafan yang tumpah, jika ada hati yang terdetik azam ingin kembali kepada Tuhan - kita harapkan - jika ada pahalanya mohon di anugerahkan juga kepada semua pihak yang membantu kami serta setiap insan yang sangat menginginkan Islam bangkit dan berwibawa membela umat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text