Pada tengahari 5Februari (Rabu),
Pak Lang mendapat khabar berpindahnya Dr Abdul Rahman Riesdam Affendi (DRAR)
dari alam dunia ke alam barzakh. Kembalinya beliau ke rahmat Allah bermakna
bermulalah satu lagi perjalanan ruh untuk beliau sepertimana yang pasti akan
juga berlaku pada kita. Walaupun khabar kematian ini adalah khabar biasa tetapi
tetaplah mempunyai signifikan dengan perasaan Pak Lang kerana hari Isnin 4Feb,
Pak Lang sempat menziarahi arwah. DRAR meninggal dunia pada jam 10.00 hari Rabu
6Februari.
Pak
Lang mengunjungi DRAR di Rumah Sakit PMI (Palang Merah Indonesia), Bogor, Jawa
Barat, mengikuti rombongan Tuan Rasidi Abdullah, Tuan Fadhil Yassin, Tuan
Nawawi Dahlan, Tuan Moch Umar dan lain-lain. Tujuan ziarah itu tidak lain dan
tidak bukan tentunya untuk terus bersilaturrahim dengan beliau. Kami dipesan
oleh Dato Ratu Ibu Hatijah Aam agar menjadi kawan ketika susah dan
senang.
Ketika
DRAR sakit, kami wajar menziarahinya - sekurang-kurangnya memberi kekuatan semangat
dan memberi pengharapan kepadanya. Apatah lagi kebetulan kami semua sedang
berada di Jakarta bersama Dato Ratu Ibu, ruang masa yang ada perlu dimanfaatkan
sebaik mungkin. Kami semua mengenali DRAR dengan rapat.
Kami
sampai sekitar jam 10.30 pagi dan disambut dengan ceria oleh arwah. Rombongan
kami yang ramai itu dibenarkan masuk - mungkin melihat pada kondisi DRAR yang
semakin membaik. Bilik khusus itu memang berstatus eksklusif. Isteri dan
seorang anak DRAR dibenarkan berada sepanjang masa di dalam bilik berukuran
lebih kurang 16 kaki x10 kaki itu. Ada tandas dan ruang persiapan yang selesa.
Kami difahamkan para doktor memberi perhatian khusus kepada pesakit di wad-wad
sedemikian.
Kelihatan
DRAR sangat ceria dan positif dengan apa yang terjadi padanya. Tidak ada keluh
kesah dan rungutan. Itulah yang kami rasakan ketika bersembang dengannya. DRAR
banyak bercerita bagaimana awalnya kejadian dia mendapat serangan jantung.
Katanya ketika berolahraga di waktu pagi, dia merasakan suatu yang tidak kena
pada dadanya - suatu keadaan yang makin teruk berbanding sebelumnya. Menurutnya
dia mengalami situasi sedemikian sejak 2 tahun yang lepas. Maksudnya bukanlah
penyakit jantungnya baru terjadi pada hari-hari terakhirnya itu.
Beberapa
kali arwah mengungkapkan kata terima kasih atas kesudian kami datang
menziarahinya. Beliau bertambah ceria bila bercakap mengenai keadaannya yang
semakin pulih. "Alhamdulillah kerana saya segera ke Rumah Sakit. Doktor yang
memeriksa dan melakukan berbagai proses rawatan sejak hari awal mengatakan
keadaan saya sangat positif. Saya hanya perlu banyak berehat sehinggalah
akhirnya doktor merumuskan situasi jantung sudah semakin baik dan ok, Mungkin
sehari dua ini sudah boleh keluar dari sini." Ujar DRAR dengan senyuman
yang sangat bererti.
Itulah antara kata-kata arwah DRAR yang Pak Lang masih ingat. Bila Tuan Rasidi bertanyakan tentang pemergiannya ke Malaysia baru-baru ini, DRAR memberitahu bahawa dia ke sana kerana menziarahi Ibu mertuanya (Ibu kepada arwah Puan Salwa - isteri ketiga DRAR yang telah meninggal dunia lebih kurang 2 tahun yang lalu)..
Sepanjang
masa ziarah itu, kami semua berdiri kecuali Tuan Rasidi yang duduk di kerusi
sebelah DRAR. Pak Lang berdiri di depan bahagian kaki beliau. Kami mengikuti
apa yang diceritakan DRAR dengan keyakinan DRAR sudah pulih dan akan keluar
segera dari hospital.
Tidaklah
lama ziarah tersebut kerana kami faham, DRAR adalah pesakit jantung yang
perlukan rehat secukupnya. Sebelum berpisah, Tuan Rasidi sempat mempelawa DRAR
mengunjungi rumah tamu baru GISB di Simpruk, Jakarta Selatan apabila sihat
nanti. DRAR hanya menyebut, "Insya Allah!"
Pak
Lang bercadang bercakap sesuatu secara khusus dengan DRAR. Ianya satu dorongan
rasa hati yang tidak mampu dilawan. Sejak awal memasuki kamar rawatan tersebut,
hati Pak Lang seperti di desak untuk berbicara khusus dengan DRAR.
Justeru
sebaik semuanya selesai bersalaman dan beredar keluar, Pak Lang mendekati DRAR
dan sambil memegang bahunya dengan lembut, Pak Lang berkata, "Dr, sayanglah
kalau Dr menjauhi diri dari jemaah... Bukankah Dr sudah lama bersama Abuya dan
Bonda Ummu (Dato Ratu Ibu Hatijah Aam)....Marilah terus bersama.... Sekarang
situasi jemaah sudah makin diterima masyarakat. Di Malaysia dan Indonesia
perkembangannya sangat luar biasa...Sayanglah kalau Dr tidak lagi mahu
bersama....." itulah antara ungkapan kata Pak Lang.
Percakapan
Pak Lang itu tidaklah lancar. Setiap kali, Pak Lang akan berhenti sebentar dan
menyambung semula. Mungkin kerana bercakap dengan nada perlahan hampir
berbisik, Pak Lang juga rasa sebak di dada. Pak Lang mengasihinya kerana Allah.
Pak Lang bayangkan kalau Pak Lang ditempatnya, Pak Lang mesti perlukan
seseorang berkata seperti apa yang Pak Lang ungkapkan padanya.
Ianya suatu rasa
tanggung jawab seorang rakan terhadap rakan yang sudah dianggap saudara
kandung. Rasa inginkan keselamatan dan inginkan keberuntungan untuknya sangat
menepu. Justeru perasaan sedih, sebak, pilu di hati agak menyukarkan Pak Lang
berkata-kata dengan lancar. Setiap kali berhenti, DRAR dengan wajah tersenyum
menyampuk balas dengan kata-kata, "Doakan ana ya, doakan ana ya!!"
Pak
Lang tahu tidak dapat lama berbicara sebegitu dengannya. Cukuplah apa yang Pak
Lang sampaikan. DRAR seorang pakar dalam bidang Aeronautika jurusan sayap kapal
terbang. Dia cerdik dan pintar. Walaupun pendek apa yang Pak Lang luahkan, dia
pasti mampu memahami hasrat yang tersimpan di hati Pak Lang.
Pak
Lang pun memohon izin dengan bersalam dengannya dan 'meminta pamit'. Pak Lang
'berlari-lari anak' - 'mengejar' Tn Rasidi dan rakan-rakan yang sudah jauh di
depan. Kenderaan yang membawa kami segera menuju kawasan perumahan Sentul untuk
solat zohor dan makan tengahari di sana. Di situ terletak kompleks perniagaan
GISB Zon Jawa 1 yang sebelum ini diterajui DRAR selaku Pengarah Zon Satunya.
Kawasannya strategik kerana berhampiran jalan tol, Pasaraya GIANT, kompleks
pejabat dan pasaraya atau pusat membeli belah.
Pak
Lang dimaklumkan keadaan DRAR di rumah sakit masih dalam keadaan segar dan
masih boleh bersembang secara normal dengan keluarganya sehinggalah ke
petangnya. Ketika kami sampai di perumahan Simpruk selepas Isya, kami
dimaklumkan bahawa DRAR terkena serangan stroke dan sudah dimasukkan di ICU
(Incentive Care Unit).
Pak Lang dan rakan-rakan terkejut dan agak sukar
menerimanya. Tetapi bukankah itu semua kerja Tuhan. Bukankah Tuhan maha kuasa
dan maha menentukan. Apa yang kami boleh lakukan ialah berdoa agar DRAR
selamat. Maklumat sejauh mana serangan stroke yang dialaminya itu tidaklah kami
mengetahuinya secara mendalam. Apa yang kami diberitahu, kondisinya serius dan
masih dalam pengawasan para doktor.
Pak
Lang sangat berhasrat mengunjungi beliau sekali lagi tetapi perjalanan Pak Lang
ke Wanosobo sudah tidak dapat ditunda. Apa yang mampu Pak Lang lakukan ialah
mendoakannya agar Tuhan memberi peluang kehidupan untuknya. Dan jika Allah mahu
mengambil nyawanya, mohonlah diberikan pertunjuk dan keampunan untuknya. Dialah
yang maha kuasa dan padanya kita meminta.
Demikianlah
taqdir Tuhan mengatasi segala usaha ikhtiar manusia. Tidak semua yang kita
harapkan, Tuhan akan tunaikan di dunia. bagi orang yang beriman, setiap kali
dia redha dengan ketentuan Tuhan, ada simpanan anugerah Tuhan untuknya di
akhirat. Sememangnya apa yang dihajat oleh manusia, Tuhan ada cara melayaninya
dengan caranya.
Apa
yang disangka baik pada kita tidaklah mesti baik di sisi Tuhan. Apa yang buruk
pada sangkaan kita pula belumlah tentu juga buruk pada sisi Tuhan. Sebab itu
sebagai hamba kita hanyalah sekeping kapas yang tidak ada daya apa-apa. Ada
kuasa lain yang menggerakkan dan menentukan segalanya untuk kita. Kita hanya
diberi ruang berusaha sekadar yang termampu, selebihnya terserah ada Allah.
Demikianlah
Allah telah memilih untuk membawa DRAR berpindah ke alam yang lain. Alam
barzakh adalah alam transit sebelum masuk ke alam akhirat. Kita semua akan
pasti ke sana. DRAR sudah menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk
perjuangan Islam. Pak Lang harapkan dengan kunjungan kami sehari sebelum
kematiannya itu, DRAR mempunyai ketetapan hati untuk terus bersama kebenaran.
Kematian
DRAR sangat menginsafkan. Ianya suatu yang mudah dan tersangat mudah bagi
Allah. Semuanya itu boleh berlaku juga kepada kita semua. Siapalah kita untuk
mengatakan kita mampu dan berupaya. Kematian DRAR juga memberikan kesan pada
semua warga GISB yang sudah tentu mengenali beliau.
Sebagai
bekas anak murid AlMarhum Abuya Ustaz Ashaari, DRAR mempunyai hubungan rapat
dan kedudukan istimewa di kalangan ahli jemaah. Sebagai salah seorang pemimpin
kanan GISB di Indonesia, DRAR dikenal sebagai seorang tokoh yang berpotensi
sebagai pemimpin alternatif di negara Pancasila ini.
Pak
Lang mula mengenali DRAR (dan isterinya Puan Dr Gina) ketika Pak Lang
mengunjungi Paris pada tahun 1990. Pak Lang sampai waktu Subuh dengan hujan
renyai-renyai setelah menaiki keretapi laju dari London. Kalau tidak silap Pak
Lang ditemani Tuan Ahmad Anuar Abd Rahman.
Ketika itu Pak Lang dihantar
Almarhum Abuya ustaz Ashaari - atas nama jemaah Al-Arqam bagi mengisi program
kuliah dan Fardhu Ain untuk para pelajar Malaysia dan Indonesia di Amerika dan
Eropah. 3 bulan Pak Lang bergelanggang di Amerika dan 2 minggu pula di Eropah
termasuk England, Perancis dan Jerman.
DRAR
dan DR Gina adalah orang yang baru berjinak-jinak dengan jemaah Al-Arqam ketika
itu. Setelah pulang ke Indonesia, dari masa ke semasa kami bertemu terutama
setelah Pak Lang habis belajar di Mesir tahun 1993. . DRAR jugalah menguruskan
pernikahan Pak Lang dengan isteri keempat (Mbak NIng) pada tahun 2005.
Hubungan
kami cepat mesra kerana watak mereka suami isteri yang sangat memperjuangkan
cita-cita perjuangan Abuya ketika itu. Semestinya mereka sangat diberi
perhatian oleh Abuya dan Bonda Ummu Jah selama berada dalam jemaah. Maklumlah
setelah apa yang berlaku di dalam 'era Jundullah', kepimpinan Indonesia, Abuya
amanahkan kepada DRAR dan Dr Gina. Jadi DRAR sangat dekat di hati warga GISB
keseluruhan.
Sebenarnya
hasrat mahu membantu DRAR ketika sakitnya itu datang terus daripada hati Dato
Ratu Ibu Hatijah Aam. Dato' Ratu lah yang meminta kami menziarahinya dan
bertanyakan apa keperluan yang boleh dibantu. Sekurang-kurangnya kami semua
sudah menziarahinya. Tidaklah ada rasa ralat di hati. Pak lang sendiri
bersyukur kerana dapat berbisik bicara seperti di atas. Semoga Allah
mengurniakan keampunan untuknya dan kita semua.
Al
Fatehah!!
0 ulasan:
Catat Ulasan