Social Icons

Sabtu, 15 Februari 2014

Kembalinya Pak Cik Tajul Ke Rahmatullah - Kematian Adalah Suatu Yang pasti

Hari ini Pak lang bertemu dengan seorang tokoh masyarakat yang Pak Lang kenal sejak lama. Khabarnya dia sudah bergelar Datuk. Walaupun sudah lama aktif dalam politik dan sudah dikenali ramai, dia belum sempat bergelar YB. Maksudnya dia belum sempat menjadi wakil rakyat. Dalam usianya yang sudah menjangkau 60 tahun, tidak mungkin peluang menjadi ADUN atau ahli parlimen masih ada untuknya.

Seperti mana orang-orang besar lainnya, hanya kita yang mengenali mereka, mereka tentulah tidak tahu apa-apa tentang kita. Kita lebih tahu profil diri mereka berbanding pengetahuan mereka tentang kita. Ianya lumrah antara yang berpangkat dengan orang biasa. Untuk mudah bicara biarlah Pak Lang gelarkan dia dengan Datuk M.

Kebetulan Datuk M mengenali beberapa ahli keluarga Pak Lang yang juga aktif dalam parti politik yang sama. Sedikit sebanyak mereka tahu tentang pak Lang yang bersama Al-Marhum Abuya sejak Pak Lang masih belajar di Al-Azhar. Selama ini mereka tidak berkata sesuatu yang negatif terhadap Abuya dan Jemaah. 

Mereka menghormati pendirian Pak Lang. Cuma Datuk M sendiri tidaklah mesra dengan Pak Lang. Maklumlah ketika itu dia sedang berada di puncak keinginan manusia. Status, pangkat, kedudukan dan jawatan sudah terlalu banyak yang dapat dicapai. Walapun hati masih belum puas, sekurang-kurangnya itulah apa yang dapat dibanggakan.

Apa yang ingin Pak Lang kongsikan di sini ialah keadaan Datuk M yang sudah tidak secergas dulu. Ada banyak perkara yang terserlah tentang dirinya pada Pak Lang walaupun kami bertemu secara kebetulan. Kami sempat bersembang bertanya khabar sekadar 20 minit. Antara perkara yang ketara ialah;

1) Kalau dulu dia bergerak dengan berkumpulan. Ada saja kawan rakan yang mengekori ke mana sahaja dia pergi. Maka pagi tadi Pak Lang lihat Datuk M hanya bersama isterinya sahaja. Kawan rakan yang ramai sudah tidak ada.

2) Kalau dulu Datuk M hanya sekadar bertegur sapa dengan Pak Lang sekadar basa-basi sahaja. Sekarang banyak perkara yang ingin disembangkannya. Maksudnya sekarang dia sudah mula kesunyian. Dia sudah tidak punya ramai kawan yang mahu menjadi teman bicaranya. Maka orang biasa seperti Pak Lang ini pun sudah cukup mahu diajaknya berbual. Hal sebegini, telah berapa kali Pak Lang temui. Ramai tokoh masyarakat atau politik, bila sampai di hujung usia, baru mahu bersembang dengan kita orang biasa. Sebelumnya mereka tidak pernah ada masa mahu bermesra.

3) Kalau dulu pergerakannya cergas dan lincah. Pagi tadi Pak Lang lihat usianya sudah memerangkapkan dirinya. Dia kelihatan tidak lagi secergas dulu bahkan berjalan pun dalam gaya yang membimbangkan. Usia yang memanjat diri sudah tidak memungkinkan lagi Datuk M kelihatan hebat seperti dulu. Entah kenapa kelihatan bahunya ‘jatuh’, tenaganya semput. Pak Lang dimaklumkan tadi dia masih sihat – tidak ada sebarang penyakit kronik. Walaupun begitu, melihat gayanya kelihatan dhaifnya dia.

Cukuplah 3 situasi yang Pak Lang paparkan untuk renungan kita bersama. Ianya begitu menginsafkan. Maksud Pak Lang itulah apa yang dikejar selama ini. Datuk M hanya berkelulusan SPM. Dia tidaklah secerdik mana. Hanya budak kampong yang masuk politik dari bawah. Dia wajar menerima semua yang ada sekarang – dari sudut kekayaan- - setelah sekian lama berjuang dalam partinya.

Apa yang dapat disingkapkan ialah sejauh mana perjalanan hidupnya itu mendapat keputusan cemerlang di sisi Tuhan. Adakah dia termasuk di kalangan orang yang Tuhan redha? Hal sebegini tentulah tidak ada keupayaan sesiapa menelahnya. Cuma dapatlah diinsafi, sejauh mana seseorang berhempas pulas mencari kekayaan dunia, di hujungnya dia akan dapat kelelahan dan rasa tidak dapat apa-apa. Kalau pun mungkin dia tidak rasa tertipu oleh dunia tapi dia pastilah sedar sejauh mana perjalanan hidupnya, dia akan bertemu dengan hujung yang pasti iaitu kematian.

Kematian sangat mengejutkan bagi pencinta dunia. Ketika ingin mengejar dunia, tiba-tiba Tuhan berkata, "Masa kamu sudah sampai, Ajal kamu sudah tiba untuk meninggalkan dunia yang fana ini!!”. Tentulah ianya mengejutkan dan menakutkan bagi mereka yang tahu selama ini dia melupakan Tuhan.

Itulah yang berlaku kepada seorang lagi kawan lama Pak Lang baru-baru ini. Ketika dia berkata, “Tidak ada apa-apa, sakit saya tidaklah teruk. Doktor pun sudah memberi rawatan yang secukupnya. Insya Allah dua tiga hari lagi saya akan sembuh dan akan keluar dari hospital!”. Itulah kata-katanya penuh yakin. 

Ya! itulah apa yang dia kata sedangkan Tuhan menghendaki sebaliknya. Esoknya kawan ini diserang stroke secara tiba-tiba. Memang dia keluar dari hospital tetapi dalam keadaan sudah menjadi jenazah. Itulah kerentuan Tuhan yang tidak ada siapa dapat menjangkakannya.

Sebaik-baik orang ialah mereka yang faham kerja Tuhan. Ketika mereka insaf dengan kematian yang ketentuannya dari Tuhan, mereka tahu untuk menyiapkan hatinya untuk redha dengan segala yang datang dariNya. Orang mukmin itu sentiasa menyerahkan hidup matinya untuk Tuhan. Tidak ada kepentingan dirinya mengatasi kehendak Tuhan. 

Keutamaannya ialah apa penilaian Tuhan terhadap dirinya. Lalu hiduplah dia dalam keadaan takut dan cemas dengan nasib diri. Dia tidak akan sanggup ketawa terbahak-bahak kerana sedar Tuhan sedang menyediakan neraka yang manusia di dalamnya hanya tahu menangis, menjerit, meraung, melolong-lolong. Allah!!

Maka petang tadi satu lagi khabar kematian sampai ke pengetahuan Pak Lang dan kami semua di dalam GISBHOLDINGS. Khabar kembalinya Tuan Haji Tajul Ariffin Abdul Rahman atau yang mesra kami panggiil Pak Cik tajul tidaklah mengejutkan kami. Kami tahu kondisi kesihatannya dalam 10 tahun yang terakhir sentiasa membimbangkan. 

Tetapi dalam keadaan sedemikian, Pak Cik Tajul dapat bertahan begitu lama sehingga ruhnya diambil Tuhan kembali di sisiNya pada petang tadi. Ragam penyakit yang dialaminya tidaklah menghalang Pak Cik Tajul dari berjuang bersama Al-Marhum Abuya dan 3 tahun terakhir ini bersama Dato’ Ratu Ibu Hatijah Aam.

Sesiapa yang mengenali beliau tentulah memahami betapa lurus hatinya dengan Abuya sebagai gurunya. Begitu juga hatinya yang merendah diri dengan Dato’ Ratu. Jiwanya kental walaupun masa yang sama beliau seorang yang sangat sensitif. Mudah menangis ketika bercakap kerana hati yang sudah lama diproses menyiapkan diri menghadapi kematian.

Pak Cik Tajul menjadi lambang peribadi yang sanggup apa saja demi membela Allah dan rasul, demi membela Islam. Pak Cik sanggup kehilangan segala-galanya. Pahit maung, kesakitan dan ketidakupayaan diri yang ditanggungnya sedikit pun tidak pernah melunturkan semangat juangnya. Pak Lang terkenang-kenang langkahan kakinya yang terketar-ketar sambil memegang tongkat. Pak Cik sedaya upaya tidak mahu menyusahkan orang lain. 

Jiwa gigihnya patut dan wajar sangat dicontohi. Pemergiannya – di satu segi – merupakan kehilangan besar pada GISB. Sebaliknya di satu segi yang lain, tidak ada apa yang perlu disedihkan. Bukankah beliau sudah lama disiapkan menemui kematian. Bahkan beliau diproses Tuhan selama ini untuk menghayati kematian dari detik ke detik, dari nafas ke nafas. 

Kita berbangga mempunyai seorang tokoh seperti beliau. Hasil ketaatannya pada mursyid, hasil merendah diri untuk dididik dan diasuh jiwanya, Pak Cik Tajul akhirnya dipilih Tuhan – pada hari ini – untuk menemui cinta agungnya. Sedetik berpindahnya ruh Pak Cik ke alam Barzakh, dia sudah berada di sisi orang-orang yang merinduinya di alam sana. 

Tentulah Pak Cik bahagia menempuhnya. Bukankah kematian itu syarat bertemu dengan yang dicintai selama ini. Allahu akbar!! Demikianlah setiap orang dari kita di dalam GISB / YKPPM sedang disiapkan untuk menemui kematian.

Beruntunglah Pak Cik Tajul kerana sekian lama hatinya diproses merindui kematian dari detik ke demtik; Setiap tarikan nafasnya adalah tandatanya, adakah itu yang penghabisan? Jadilah beliau seorang yang pasrah untuk dibuat apa saja oleh Tuhannya. Dia redha. Maka dalam setuasi hati sebegitulah dia bangkit berjuang dan berkorban. 

Dia mahu abdikan dirinya dan jiwa raganya untuk Tuhan penciptanya yang agung. Dalam keadaan fizikalnya yang lemah, tersimpan jiwa juang yang kekuatannya luar biasa. Ruhnya aktif bekerja lebih hebat dari mereka yang sihat. Terengganu yang dipimpinnya dibantu Tuhan dengan pelbagai kisah keajaiban. Itulah penangan seseorang yang dirinya dalam perhatian dan kasih sayang Tuhan. Allahu akbar!!

Semoga kita jadikan kematian sebagai proses didikan yang terbaik untuk kita menginsafi diri. Kita hanya membuang masa jika kita sibuk di dunia dalam keadaan melupakan Tuhan. Melupakan Tuhan bermakna mencari kemurkaannYa. Mengingati Tuhan ertinya menagih bantuan dan kasih sayangnya. Hidup kita hanya akan bermakna jika setiap apa yang kita lakukan, dapat kita rasakan kewujudan Tuhan yang maha memerhati dan maha menghukum.

Keberkatan jemaah - sakit kronik menjadi proses yang mematangkan ruh. Sakit yang biasanya orang lain sudah lama meninggal dunia, tetapi bagi orang yang diproses, mereka terus hidup bekerja dan berjuang lebih hebat dari yang sihat. 

Orang yang tidak lagi mendapat keberkatan jemaah, sakit kronik akan terus menghabiskan sisa nyawanya yang ada. Sebaik meninggalkan jemaah, itulah masanya Tuhan mencabut nyawanya kerana tidak ada keperluan lagi untuknya hidup menongkat langit meninggalkan kebenaran. 

Inilah yang perlu kita insafi. Nasib kita belum tahu. Moga Allah selamatkan kita melalui anugerah kematian 'husnul khatimah' dengan berkat Rasulullah SAW dan para kekasih Baginda SAW!!

Al Fatehah untuk Pak Cik Haji Tajul Ariffin. kami juga pasti akan sampai masanya mengiringi pemergian Pak Cik!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text