Salam ceria.
Kali terakhir anjang bertemu dengan Allahyarham Pak Cik Tajul ialah pada
13hb Disember akhir tahun lepas. Ketika menziarahinya di wad 4 A, katil
bernombor 13, Hospital Sungai Buloh. Selama hampir setengah jam anjang
berbual dengannya dan Kak Seha. Dalam keadaan terbatuk-batuk, Pak Cik
bercerita panjang tentang bantuan Allah terhadapnya yang sedang sakit.
Dia redha apa sahaja yang Allah tentukan padanya. Ketika itu beliau baru
saja menjalani pembedahan dan ingatannya baru pulih semula setelah
menanggung sakit beberapa hari.
Hari ini, belum terlambat untuk anjang coretkan takziah kepada Kak
Seha dan seluruh keluarga Pak Cik atas pemergiannya ke alam barzah.
Bertemu Allah yang Maha Pengasih. Maha Penyayang. Moga Pak Cik bahagia
di sana. Sesungguhnya kami menyaksikan beliau adalah seorang yang sangat
baik. Semoga Allah menerima roh Pak Cik dalam keadaan redha lagi
diredhai, lalu ditempatkan bersama roh para anbiya’, aulia dan solihin.
Anjang pernah menjadi setiausahanya di Labuan tahun 2004, kalau tak
silap. Ketika itu, Pak Cik sebagai pengarah, Timbalannya Allahyarham Ust
Rashid Suqur Rufaqa’. Kedua-duanya telah mengadap Tuhan. (Bila-bila
masa saja anjang dan kita semua akan pergi). Ketika itu kami di
amanahkan untuk menjaga restoran AM dan beberapa orang remaja. Ketika
itupun Pak Cik dah selalu sakit-sakit. Tapi yang anjang tengok dan
perhatikan, beliau adalah seorang yang sangat gigih dan
bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.
Pak Cik istiqamah buat kelas kepada remaja-remaja penuh sabar
walaupun remaja-remaja tersebut kurang menghormatinya. Pak Cik ceritakan
pada anjang, bila beliau membuat kuliah, remaja-remaja itu masuk tetapi
ada yang protes dengan berbagai cara. Yang anjang sedih tu, ada remaja
yang sengaja menjulurkan kedua kakinya menghala pada Pak Cik yang sedang
berkuliah tanpa ambil perhatian langsung dengan kuliahnya. Sedangkan
beliau seorang yang telah berumur, pemimpin pula, begitu sekali mereka
melayannya. Tetapi kesabaran dan akhlak Pak Cik akhirnya melembutkan
hati-hati remaja tersebut lalu menyayanginya.
Satu kisah yang anjang dengar darinya, yang anjang tak akan lupa
ialah bagaimana beliau berhenti merokok. Pak Cik ceritakan pada anjang,
dulu dia adalah perokok tegar. Kerjayanya sebagai penulis membuatkan dia
semakin kuat merokok. Anjang lupa berapa kotak sehari tetapi kata pak
cik seperti tak putus rokok, lepas sebatang, nyalakan sebatang lagi.
Habis sebatang, sebatang lagi. Kata orang, kalau tak hisap, idea tak
datang untuk menulis. Akhirnya kata Pak Cik, bukan sahaja baju berbau
rokok, peluh yang keluar pun berbau asap rokok. Begitulah kritikalnya
ketagihan Pak Cik.
Tetapi menurut Pak Cik, satu keajaiban berlaku setelah menjadi murid
Abuya ialah dia boleh berhenti merokok tanpa bersusah payah. Abuya tak
pernah menegurnya tentang merokok tetapi Abuya selalu singgah ke
rumahnya bila balik dari berdakwah. Dalam kuliah-kuliah Abuya, Abuya
terangkan tentang Allah dan hukum hakam syariah. Abuya tekankan
kebencian Tuhan terhadap hambaNya yang melakukan perkara yang makruh dan
kemarahan Tuhan terhadap mereka yang melakukan sesuatu yang haram. Maka
seperti ramai perokok-perokok yang lain, bila mengikuti kuliah Abuya,
akhirnya semuanya berhenti merokok, termasuklah Pak Cik. Sesuatu yang
luar biasa, Abuya melahirkan satu-satunya jemaah yang bebas rokok
(setakat yang anjang tahu la).
Oleh itu, amat pelik seorang yang ketagih rokok yang amat sangat
begitu boleh berhenti tetapi remaja yang asalnya tidak merokok, hanya
kerana bergaul dengan perokok, akhirnya bukan dia mengubah perokok itu
untuk meninggalkan rokok, tetapi dia pula menjadi perokok. Berbeza
sungguh jiwa kita dengan jiwa Pak Cik Tajul. Ya Allah, berilah kami
kekuatan roh untuk berubah.
Semasa hayatnya, di usianya yang lanjut, Pak Cik masih berdaya keluar
masuk ke Singapura membawa barang-barang untuk memeriahkan
premis-premis di Mutiara Rini. Benarlah, untuk perjuangan ia sanggup
bermati-matian. Tidak menghiraukan penat lelah, sakit-sakit dan usianya,
cita-citanya menjadikan peribadinya begitu. Padanya hanya syurgalah
tempat rehatnya, di dunia ini biarlah dia bermati-matian.
Bila membaca mesej dari Kak Seha, anjang hanya berdoa dari kejauhan.
(Salam, YDKSH Tuan2, perkembangan Terkini Pakcik Tajul: Utk pengetahuan semua,keadaan Pakcik skrg telah berpatah balik spt asal. Pd mula masuk KMC dia telah mrnunjukkn perubahan. Tp oleh kerana livernya dah rosak, rawatan yg diberi tidak bnyk membantu. Perutnya sentiasa kembong wpun dah bnyk kali. air d buang. Kuning diseluruh badannya semakin meningkat. Doktor telah menukar dos ubat tp menurut doktor semua usaha telah di buat. Bergantung hanya pd ketahanan dirinya. Doktor tidak menjaminkan apa2 lg. Keadaannya mmg kritikal. Mhn doa semua terutama DRIHA agar berlaku keajaiban . Tuhanlah Maha Berkuasa Segala2Nya: dari Kak Seha.)
(Salam, YDKSH Tuan2, perkembangan Terkini Pakcik Tajul: Utk pengetahuan semua,keadaan Pakcik skrg telah berpatah balik spt asal. Pd mula masuk KMC dia telah mrnunjukkn perubahan. Tp oleh kerana livernya dah rosak, rawatan yg diberi tidak bnyk membantu. Perutnya sentiasa kembong wpun dah bnyk kali. air d buang. Kuning diseluruh badannya semakin meningkat. Doktor telah menukar dos ubat tp menurut doktor semua usaha telah di buat. Bergantung hanya pd ketahanan dirinya. Doktor tidak menjaminkan apa2 lg. Keadaannya mmg kritikal. Mhn doa semua terutama DRIHA agar berlaku keajaiban . Tuhanlah Maha Berkuasa Segala2Nya: dari Kak Seha.)
Sampai juga berita kepada anjang, biasa kak Seha selalu berbisik ke telinganya, “Doa banyak-banyak, kitakan nak berjuang lagi.” Selalunya Pak Cik angguk tapi kali ni dia geleng. Mungkin beliau dah
tau, terlalu hampirnya saat perpisahan dengan dunia untuk bertemu
kekasihnya. Moga-moga Pak Cik menepati namanya, Taj al Ariffin… Mahkota
Para Ariffin. Mahkota para orang yang sangat kenal Allah.
Pak Cik dah pergi tetapi taat setia Pak Cik dengan perjuangan hingga ke akhir hayat tetap menjadi contoh teladan kami. Pak Cik dah tiada tetapi pengorbanan Pak Cik berhabis-habisan tetap kekal di hati kami. Pak Cik telah meninggalkan kami, akhlak dan senyuman Pak Cik tak akan kami lupa sampai bila-bila.
Ya Allah, ampunkan Pak Cik dan kami semua.
Musolla Ikhwan Irbid, Jordan.
5.19pm, Feb 17, 2014
5.19pm, Feb 17, 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan