Social Icons

Selasa, 24 Jun 2014

Panggilan Yang Paling Ditakuti - Apa Yang Akan Berlaku?



Apa perasaan jika kita menerima panggilan telifon daripada Malaikat Maut? Mari kita bayangkan apa yang akan berlaku pada kita sebaik mendapat panggilan menakutkan ini. Tentunya Malaikat Maut tidak guna telefon bimbit tetapi ada caranya yang tersendiri.

Tahukah kita bahawa Malaikat Maut sentiasa merenung serta melihat wajah setiap orang daripada kita sebanyak 70 kali sehari? Andainya kita sedar hakikat ini, nescaya kita tidak lalai dari mengingati mati. Oleh kerana Malaikat Maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya. Sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan Malaikat Maut.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”

Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.
 
Kita semua tahu sakaratul maut adalah sebuah tahapan awal yang pasti dilalui setiap manusia yang akan berpulang ke kampung akhirat. Pada waktu itulah saat-saat paling menakutkan, sehingga para nabi pun merasakan hal yang demikian. Nabi Isa as, berpesan kepada kaumnya agar selalu berdoa untuk memohon diberi keringanan ketika menghadapi sakaratul maut.

“Dan akan datang sakaratul maut dengan benar, itulah (kenyataan) yang kamu selalu lari darinya.” (Surah Qaaf:19)

Sayyidatuna Aisyah ra, isteri Rasulullah saw pernah mengatakan: “Aku tidak lagi menganggap enteng mengenai sakaratul maut setelah aku melihat betapa beratnya ketika Rasulullah saw menghadapinya.”

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.
MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan 'husnul khatimah' (kesudahan yang baik). Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi).

Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh Malaikat Maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan yang mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan. Dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut."

“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar."

“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Malaikat Izrail menjalankan perintah Allah s.w.t dengan sempurna. Dia diutuskan untuk mencabut roh orang sakit dan juga roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun. 
 
Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia. Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Apapun, sebaik Malaikat Maut mendatangi orang akan dicabut nyawanya - ketika Malaikat Maut memulakan 'tugasnya' maka akan muncul perasaan di hati manusia tersebut bahawa dia akan mati!! Ketika itu kebiasaannya yang akan berlaku padanya ialah:

1)   Perasaan takut yang amat sangat akan menerpa di dalam hatinya. Ada yang terkesan  ketakutannya pada wajah, gerak badan bahkan pada cakap tangisnya.
 
2)   Lidahnya akan kelu tidak dapat berkata-kata lagi. Ketakutan menjadikannya kaku, terpana dan terperanjat yang amat sangat. Itulah akhir bagi kerja lidah. Sehingga ke akhirat, lidah tidak lagi dapat berkata-kata. 
 
3)   Ingatan kepada dunia dan segala keinginannya akan terputus serta merta. Tidak ada lagi angan-angan dan cita-cita untuk hidup bergembira serta lalai dengan Allah. 
 
4)   Ketika itu hati menjerit-jerit dan meraung memohon taubat, meminta ampun dengan Allah. 
 
5)   Hati akan terus menjerit meminta diberi tempoh masa untuk terus hidup dengan janji untuk bertaubat dan beramal dengan kebaikan seperti yang diperintah Allah.
 
6)  Perasaan takut ini bersilih ganti dengan ingatan pada dosa dan maksiat yang dilakukan sepanjang hidup. Semuanya berdatangan bersimpang siur di pandangan mata hatinya yang menambahkan lagi keadaannya semakin tidak menentu.
 
7)   Keadaan takut dan gementar ini biasanya menyebabkannya sehingga terkencing.  Ketika kesakitan menanggung sakaratul maut yang teramat sangat, ia akan terberak. Najis hitam legam yang selama hidupnya melekat di dinding usus akan terkeluar kerana dahsyatnya himpitan sakaratul maut.  
 
Ya Allah matikanlah kami dengan husnul khatimah - dengan berkat Rasulullah saw, para sahabat Baginda, seluruh kaum keluarga Baginda dan para kekasihMu!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text