Social Icons

Rabu, 4 Jun 2014

Isu CADBURY Dan DNA Babi: Antara Auta, Fatwa Dan Taqwa

Pak Lang menerima 'whatsapp' dari seorang pembaca suaramuhajirin313 mengenai isu DNA babi dalam coklat Cadbury. Kandungan 'whatsapp' tersebut merupakan satu artikel menarik yang bertajuk seperti di atas. Pembaca tersebut mengatakan artikel berkenaan ditulis seorang pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UMP) yang pernah melawat kilang pengeluaran produk CADBURY. Para pembaca wajar melihat persepsi yang diluahkan olehnya....

Isu DNA babi yang ditemui di dalam dua perisa coklat Cadbury telah menimbulkan perdebatan yang hangat di tanah air. Respon yang diberikan oleh masyarakat, sekurang-kurangnya memberikan gambaran bahawa umat Islam khasnya di Malaysia amat sensitif dengan isu haram di dalam makanan, walaupun kurang sensitif dengan isu haram pada perkara lain seperti rokok, pengurusan kewangan dan lain-lain. Di saat artikel ini ditulis, JAKIM menerusi Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru sahaja membersihkan produk Cadbury itu daripada DNA babi.

Saya dan keluarga pernah melawat ke kilang tempat lahirnya syarikat besar dunia ini. Ianya terletak di Bourville, Birmingham, United Kingdom. Secara peribadi, saya amat percaya dengan kualiti kebersihan dan ketelusan bahan-bahan yang digunakan oleh Cadbury di dalam menghasilkan coklat mereka. Bahkan saya lebih percaya dengan kualiti dan ketelusan mereka berbanding sebahagian kecil restoran dan pengeluar produk makanan bangsa sendiri. Dan saya juga yakin bahawa piawaian yang sama digunapakai oleh kilang-kilang Cadbury seluruh dunia. Mereka amat profesional, dan sensitif dengan kandungan yang membabitkan isu vegetarian, halal, kosher dan alahan.

Walaupun bidang penyelidikan saya bukan membabitkan industri halal di Malaysia, saya menulis atas kapasiti seorang professional trainer in halal industry peringkat kebangsaan, setelah mengikuti kursus HDC dan mendapat markah tertinggi di dalam ujian kursus tersebut. Saya akan cuba memberikan pendapat berdasarkan 3 perkara, iaitu auta, fatwa dan taqwa.

1. AUTA
Sejak dari awal lagi isu ini dihebahkan, satu perkara yang agak AUTA ialah mengapakah ada pegawai daripada Kementerian Kesihatan melakukan ujian DNA babi ke atas bahan makanan. Berdasarkan pengamalan industri halal, Kementerian Kesihatan tiada autoriti, walaupun bebas untuk melakukan eksperimen, untuk melakukan dan menghebahkan keputusan DNA babi di dalam makanan. Satu-satunya jabatan kerajaan yang ada kuasa ialah Jabatan Kimia, dan antara makmal yang paling berautoriti ialah makmal Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) di Universiti Putra Malaysia. Kementerian Kesihatan bukan pemegang taruh utama di dalam industri makanan halal di Malaysia.

Tambah AUTA lagi, apabila ada pegawai yang tidak amanah membocorkan gambar keputusan makmal tersebut ke media sosial. Ujian dilakukan pada bulan Februari, gambar dibocorkan pada bulan Mei. Maka terpaksalah pegawai-pegawai agensi terlibat, membuat kenyataan separuh masak bagi menangani isu ini.

Yang lebih AUTA lagi, ialah ada beberapa NGO beraliran keras yang telah keluar daripada sempadan fiqh Islam, dengan mengeluarkan fatwa songsang supaya Cadbury menanggung kos pembersihan darah Muslim Malaysia yang sudah tercemar dengan DNA babi. Ada pula yang meminta supaya kos samak mulut dan perut ditanggung oleh mereka. Saya juga mengagak akan ada pensyarah yang mula berkira-kira membuat kapsul samak perut sebagai bahan komersial mereka nanti.

Semua ini mengarut, kerana memprojekkan betapa susahnya agama Islam itu. Bagi mereka yang mula berjinak dengan Islam, mereka akan terpaksa fikir berkali-kali, kerana selepas perlu di’sunat’kan anu mereka itu, terpaksa pula menanggung kos penyucian darah. Bukankah itu menjauhkan mereka dengan Islam?

Hasil AUTA yang berterusan ini, sebahagian media barat, sama ada dengan sengaja atau tidak, memburukkan imej Muslim Malaysia, kononnya kita mengisytiharkan jihad ke atas produk Cadbury. Ianya menggambarkan kebodohan sebahagian umat Islam di dalam isu ini.

Pun demikian, saya merasakan bahawa adalah hak kepada mana-mana individu untuk menyatakan bantahan atau mengemukakan saman ke atas Cadbury. Sama juga di barat, apabila beberapa produk berasaskan daging lembu telah didapati mempunyai kandungan daging kuda, lalu disaman syarikat berkenaan.

Cuma, tahukah anda bahawa beberapa tahun lepas, ada banyak lagi produk pengeluar makanan, sama ada bumiputra atau pun syarikat antarabangsa, yang dikesan mempunyai DNA babi? Dan tahukah anda, DNA babi ini mungkin banyak berada dalam badan kita? Mungkin daripada vaksin yang disuntik semasa anda bayi. Pencemaran DNA babi juga boleh berlaku melalui pencemaran udara.

2. FATWA
Melihat akan senarai AUTA-AUTA yang berlaku daripada kes DNA babi ini, sebagai orang Islam, adalah menjadi keperluan kepada kita untuk merujuk kepada fatwa yang sedia ada. Untuk mengeluarkan fatwa di Malaysia, apatah lagi membabitkan isu yang berkait dengan sains, perbincangan agak panjang. Dan ianya membabitkan pakar di dalam sains makanan, bioteknologi dalam industri halal.

Perkara pokok ialah babi itu adalah haram untuk dimakan. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan juga telah mengeluarkan fatwa bahawa semua makanan yang diproses melalui bioteknologi DNA babi adalah haram dimakan, dan ianya belum sampai ke tahap yang darurat untuk mengharuskannya sementara, kerana terdapat banyak alternatif lain yang halal. Tetapi mereka juga menyatakan bahawa melalukan pengesahan terhadap DNA babi itu adalah suatu proses yang rumit, dan banyak boleh berlaku kesilapan dan pencemaran khasnya di dalam persampelan. Ujian perlu dilakukan berulang kali, dan boleh membabitkan proses sehingga berbulan-bulan.

Justeru, antara FATWA dengan AUTA, umat Islam perlu lebih taat dengan FATWA. Islam agama yang mudah, tetapi tidaklah pula bermaksud boleh untuk mempermudahkan agama. Sekiranya pihak autoriti menyatakan ianya halal, maka sebagai orang awam, percaya sahajalah. Kalau mengambil pendirian untuk tidak mahu percaya, maka saya cadangkan buatlah DNA test di karpet masjid, entah-entah banyak kandungan najis di situ. Dan buat juga DNA test ke atas produk bumiputra, tidak mustahil berlakunya pencemaran udara yang menyebabkan adanya DNA babi. Pasti, Islam tidak serumit itu.

3. TAQWA
Inilah keindahan Islam. Ketika ramai yang berbalah antara AUTA dengan FATWA, mereka lupa akan TAQWA. Andai kita memilih jalan TAQWA, kita akan merasai betapa indah, dan lapangnya kehidupan beragama mereka. TAQWA mengajar kita untuk makan makanan yang halal dan toyyib. TAQWA juga mengajar kepada kita bahawa semua produk yang tidak dimulakan dengan basmalah, maka terputus barakahnya. Kalau memilih jalan TAQWA yang tertinggi, tanamlah koko, perahlah susu, dan buatlah coklat sendiri. Mampukah? Atau sekurang-kurangnya membeli produk coklat Muslim, yang sebahagian daripada saya sendiri meragui kualitinya. Atau yang terbaik, makan sahajalah apa yang dihidang oleh isteri dan ibu kita. Itulah makanan yang terbaik, untuk orang-orang yang memilih TAQWA pada maqam yang tinggi. Inikah TAQWA kita?

Antara AUTA dengan FATWA, FATWA lebih diutamakan.
Antara FATWA dengan TAQWA, TAQWAlah yang paling utama.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text