Social Icons

Rabu, 4 Jun 2014

Unsur Babi Dalam Perubatan - Apa pendirian Kita?

Bacalah artikel berikut. Semoga memberi pencerahan kepada kita. Artikel ini dipaparkan pada
November 9, 2009 oleh abidfana - Pak Lang kutip dan paparkan di blog ini kerana ianya dirasakan relevan dengan isu DNA babi yang heboh diperkatakan sekarang.

Vaksin H1N1 (Swine Flu/Selsema Babi): Halal atau Haram? KLIK SUMBER
 
Sejak bulan lepas, program vaksin virus H1N1 telah dimulakan di kebanyakan tempat di seluruh dunia. Di United Kingdom, progam vaksin tersebut telah dimulakan sejak 21 Oktober 2009 dengan keutamaan diberikan kepada pekerja-pekerja barisan hadapan hospital seperti doktor, jururawat, pemandu ambulans, paramedik dan lain-lain. Selain itu, kumpulan berisiko tinggi seperti perempuan yang sedang mengandung juga telah dihubungi oleh GP tertentu untuk ditawarkan dengan program tersebut. Tidak ditinggalkan, pelajar perubatan.

Di UK, dua syarikat farmasi telah mendapat kontrak untuk membekalkan vaksin tersebut, iaitu Glaxo Smith Kline (GSK) dan Baxter. Panduan NHS menyatakan yang vaksin ini selamat setelah diuji kepada ribuan sukarelawan termasuklah warga emas dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, oleh kerana sifat virus ini yang boleh bermutasi, mereka sentiasa memantau perkembangannya.

Ada beberapa isu di sebalik vaksin H1N1 ini yang perlu diberikan perhatian oleh Muslim. Saya sebenarnya lebih mengharapkan ribuan doktor Muslim di UK dan Ireland untuk membangkitkan isu ini. Anggaplah pandangan ringkas saya ini sebagai garis panduan permulaan sahaja yang mungkin silap, dan diperbetulkan oleh mereka yang bekerja di dalam industri kesihatan.

 
Daripada maklumat yang diberikan oleh isteri saya, vaksin yang dibuat oleh GSK (Pandemrix) disediakan menerusi medium telur ayam, sama seperti vaksin flu yang lain. Sementara vaksin yang dihasilkan oleh Baxter pula (Celvapan) dihasilkan daripada virus yang dikembangkan di dalam kultur tisu membabitkan babi (porcine) di dalam prosesnya. Cuma dikatakan yang kita tidak akan menemui kesan babi di dalam produk akhirnya.

Justeru, adalah menjadi keutamaan Muslim bagi mengutamakan ubat-ubatan yang halal. Sekiranya ditawarkan dengan program vaksin ini, maka mintalah produk GSK yang dikenali dengan Pandemrix. Ini sejajar dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

إن الله أنزل الداء والدواء، وجعل لكل داء دواء، فتداووا ولا تداووا بحرام

Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit dengan ubat, maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan yang haram. (Riwayat Abu Daud)

Dan juga athar Abu Hurairah:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الدواء الخبيث
Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang mengambil ubat yang keji/haram. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kes yang sama turut perlu diberikan perhatian kepada program vaksin MMR bayi. Terutamanya kepada ibu bapa muda, atau yang baru datang ke UK, anda perlu memaklumkan kepada health visitor yang anda adalah Muslim dan perlu minta vaksin MMR yang tidak membabitkan porcine.

Dalam isu vaksin H1N1 tadi, timbul isu sekiranya seseorang itu alergik dengan telur, maka adakah dibenarkan mengambil vaksin Celvapan yang dihasilkan oleh Baxter membabitkan porcine?

Isu ubat-ubatan yang mengandungi babi sebenarnya telah dibincangkan oleh ulamak dan pengamal perubatan pada tahun 2001 lagi. Anda boleh membaca kenyataan bersama World Health Organization dan Islamic Organization for Medical Science di capaian ini.

Secara ringkasnya, walaupun ada kebenaran untuk mengambil ubat-ubatan yang pada proses penghasilannya membabitkan unsur najis seperti porcine tetapi produk akhirnya tiada kesan najis tersebut, akan tetapi sekiranya ada alternatif yang lebih suci, maka Muslim perlu mengutamakannya.

Ada riwayat yang menyatakan Ibn Qayyim melarang terus pengambilan ubat yang mengandungi unsur najis atau perkara yang haram, termasuklah di dalam proses penghasilannya. Ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith di atas yang secara jelas melarangnya.

Dalam masa yang sama, ramai ulamak membenarkannya dalam keadaan terpaksa. Sebagai contohnya, Imam al-Nawawi, seperti yang ditulis oleh beliau di dalam kitab al-Majmu’:

إذا اضطر إلى شرب الدم أو البول أو غيرهما من النجاسات المائعة غير المسكر، جاز شربه بلا خلاف… إلى أن قال: وإنما يجوز التداوي بالنجاسة إذا لم يجد طاهراً يقوم مقامها، فإن وجده حرمت النجاسة بلا خلاف، وعليه يحمل حديث ” إن الله لم يجعل شفاءكم فيما حرم عليكم” فهو حرام عند وجود غيره، وليس حراماً إذا لم يجد غيره


Sekiranya seseorang terpaksa meminum darah atau air kencing atau selainnya daripada najis yang tidak memabukkan, maka ianya dibenarkan tanpa khilaf ……. Sesungguhnya dibenarkan berubat dengan unsur najis sekiranya tiada ubat yang suci sebagai pengantinya. Sekiranya ada ubat suci sebagai pengganti, maka ubat najis tadi menjadi haram tanpa khilaf, dan inilah yang dimaksudkan dalam hadith yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubat-ubat daripada perkara yang diharamkan ke atas kamu”, iaitu haram sekiranya wujud ubat yang suci. Akan tetapi tidak haram sekiranya tiada pilihan lain.

Ulamak juga berhujjah dengan hadith sohih kebenaran yang diberikan oleh nabi Muhammad kepada Zubair al-Awwam untuk memakai sutera kerana beliau alergi dengan tekstil yang lain, serta kebenaran yang diberikan baginda kepada kabilah ‘Ukl dan ‘Uraynah untuk meminum air kencing unta sebagai ubat. Kedua-dua hadith ini termaktub di dalam sahih Muslim.

Apa yang pasti, tiada kebenaran diberikan untuk ubat-ubatan yang mengandungi unsur yang memabukkan, berdasarkan hadith nabi Muhammad SAW:

ليس بدواء، ولكنه داء
Sesungguhnya (khamar) itu bukannya ubat, akan tetapi penyakit. (Riwayat Muslim)

KESIMPULAN
1. Adalah menjadi keutamaan Muslim untuk mengutamakan ubat yang suci berbanding yang mengandungi najis sekiranya ada pilihan.
2. Sekiranya tiada pilihan atau terpaksa (darurat), maka dibenarkan mengambil ubat yang mengandungi najis. Dalam situasi darurat, menjaga nyawa perlu diberikan keutamaan. Selain itu, ianya juga selari dengan firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 119:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ
Dan telah dijelaskan kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu melainkan apa-apa yang terpaksa kamu mengambilnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text