Social Icons

Isnin, 9 Jun 2014

Hari-Hari Terakhirku Sebelum Bergelar 'OKU'

Dari Blog KASSIM SELAMAT .... Jangan lupa doakan saudara "Kassim Selamat" ketika membaca tulisan beliau ini. Kunjungi blog beliau untuk beri sokongan padanya. Baca juga kisahnya berada di ICU selama 46 hari DI SINI - ANTARA HIDUP DAN MATI

Wednesday, June 17, 2009 Siaran ulangan entri 25 Mei'2006. Detik² terakhir sebelum bergelar OKU yang tidak akan kulupakan sepanjang hayatku.

Jumaat 14 Jun’ 2002. Hari ini aku mengambil cuti separuh hari kerana isteriku kurang sehat. Sudah dua tiga hari isteriku mengambil MC. Selepas bersarapan aku memandikan isteri keduaku (keretaku). Hampir sejam aku menghabiskan masa membasuh dan menggilatkan keretaku. Aku mandi pun tak sampai 10 minit. Mandi mengalahkan aku!

Isteriku masih berbaring di sofa. Jam ketika itu hampir pukul 12.00 tenggahhari. Aku bersiap-siap untuk ke pejabat dan untuk menunaikan sholat Jumaat. Hari itu aku memakai seluar jeans, berkemeja denim dan memakai boot. "Tak pernah-pernah kubuat sebelum ini memakai jeans ke pejabat. Buang tabiat ke aku ini?" dalam hati berkata.

Aku mengambil keputusan untuk menunggang motor Virago kesayanganku. Sudah lama aku tak menunggangnya ke pejabat. Dalam perjalanan, di Batu 10 Jalan Cheras, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Aku berteduh di bawah jambatan, hampir dua jam aku tersangkut. Telepaslah sholat Jumaatku hari itu. Bila hujan reda aku meneruskan perjalanan ke pejabatku yang terletak di Damansara Heights. (rupanya tu lah kali terakhir aku menunggang motorku)

Ahad 16 Jun’ 2002. Pagi-pagi lagi aku ke pasar mencari daun sup/bawang dan sup bunjut Adabi serta membeli seekor ayam untuk di buat sup untuk isteriku yang demam. Semoga dengan masakanku terbuka seleranya nanti. Memang telah menjadi kebiasaanku ke pasar membeli barang-barang keperluan rumah. Aku tak kekok pun, biasalah orang lelaki pergi ke pasar.

Sampai di rumah aku membersihkan ayam yang aku beli tadi. Setelah membersihkannya aku menumis sup mengikut resepiku. Sebelum ini pun aku pernah memasak sup ‘ikan haruan’ untuk isteriku yang baru lepas bersalin secara ‘caesarean’. Tak ada masalah pun resepiku itu. Isteriku makan apa yang aku masak. Sedap tak sedap bantai sajalah. Seperiuk sup aku masak hari ini. Setelah masak aku merasanya. Eeem…emm boleh tahan juga masakanku. Aku menyuruh anak-anakku menjamah sup yang aku masak. Isteriku tak berselera untuk menikmatinya. Demam biasalah!!! .Tak ada selera.

Di sebelah malam aku buka periuk tenggok sup yang aku masak. Tak luak!. Tak sedap kot. hahaha...air tanggan kassim selamat katakan.
*********************
Sebelum itu, di sebelah petang mertuaku bersama nenek saudaraku datang menjenguk isteriku. Aku membuatkan minuman untuk tetamuku. Isteriku terbaring lesu di sofa. Aku duduk mengadap tv yang sedang rancak menyiarkan ‘World Cup 2002’.

Sambil berbual-bual nenek saudaraku memegang sepotong kunyit dan membaca sesuatu lalu disapukan kunyit ke dahi isteriku. Memang telah menjadi kebiasaan keluargaku menggunakan kunyit untuk demam-demam ringan. Petua orang-orang tua. Alhamdullillah sebelum ini adalah berkurangan demamnya.

Seketika kemudian anakku Amir memberitahuku ayam serama peliharaannya telah hilang dari sangkarnya. Aku mencapai kunci kereta memusing-musing di beberapa jalan dan lorong mencari ayam seramanya. Tapi tak kutemui.

Isnin 17 Jun’ 2002. Aku ke pejabat seperti biasa tanpa isteriku. Di pejabat aku membereskan beberapa tugas yang tertangguh. Pukul 6.30 petang aku bersiap untuk pulang. Sampai di rumah aku melihat keadaan isteriku semakin lesu dan aku mengambil keputusan membawanya ke klinik yang berhampiran.

Doktor yang memeriksanya menggarahkan aku membawa isteriku ke hospital kerana ada tanda-tanda dia menghidapi demam denggi. Setelah selesai menghantar anak-anakku ke rumah neneknya aku memandu menuju ke Kuala Lumpur. Isteriku terbaring lemah di bahagian belakang tempat duduk. Sambil memandu aku berfikir, "hospital mana yang hendak aku tuju, Kajang ke?, Jalan Ampang ke?".

Akhirnya aku mengambil keputusan ke Hospital Tawakal di Jalan Pahang. Di dalam hatiku berkata "senang nanti rakan-rakan pejabatnya nak melawatnya".

Setelah selesai urusan kemasukan ke wad, aku pulang kerumah. Di dalam perjalanan aku teringat untuk singgah sekejap di Chow Kit Road. Ingat nak ronda-ronda sekejap. Aku pun dah lama tak menjengok Chow Kit. Tapi aku membatalkan hasratku kerana badanku rasa tak sedap. Rasa nak demam kot! . (rupanya itulah hari terakhir aku ke pejabat)

Selasa 18 Jun’ 2002. Aku mula berasa demam dan tak ke pejabat. Aku menelefon staffku Shashi untuk memberitahunya aku tak sihat dan mungkin aku mengambil MC.

Di sebelah petang aku mengambil anakku Syafeeni untuk ke hospital melawat ibunya. Aku sempat berpesan kepada anakku agar meminta mertuaku memasakkan ‘agar-agar merah’ Tiba-tiba tekak ini terasa nak makan agar-agar merah.

Sampai di hospital anakku mengajakku singgah di restoran berdekatan kerana dia teringin nak makan ‘Mee Bandung Muar’. Aku singgah sekejap di restoran tersebut. Aku cuma minum fresh oren saja. Anakku berselera menghadap mee Bandung Muar. Memang dia kuat makan

Malam setelah melawat isteriku, aku pulang tapi aku dah tak larat nak memandu lalu menyuruh anakku memandu. Dia tak punya lesen. Umur baru 16 tahun. Tawakal sajalah kataku. Dalam kelesuan, aku sempat juga menegur anakku kerana kurang cermat ketika memandu. Dahlah tak ada lesen, gaya memandu macam orang dah expert. Aku menghantar dia pulang ke rumah neneknya dan aku memandu pulang kerumah bersendirian.

Rabu 19 Jun’2002. Sepanjang hari aku tidur saja. Memang aku betul-betul demam. Di sebelah pagi aku sempat menghantar anakku ke sekolah kemudian sempat singgah ke klinik mendapatkan rawatan. Aku menelefon isteriku untuk memberitahunya yang aku tidak dapat melawatnya hari ini kerana tak larat untuk memandu.

Di sebelah petang birasku singgah kerumah bertanya samada aku mahu mengikutnya ke hospital. Aku dah tak larat hanya berbaring di atas sofa. Sebentar kemudian anakku Amir datang menghantar agar-agar merah yang ku pesan semalam. Cepat betul mertuaku membuatnya. Sayang menantu katakan!! hahaha. Aku cuma menjamah sedikit saja. Tekak terasa pahit. Semalaman aku tidur saja. (hingga sekarang, bila makan agar² merah, aku terkenang kisah ini)

Khamis 20 Jun’2002. Aku terbangun dari tidur pukul 4.30 pagi lalu mengemas-ngemas dan menyusun pakaian yang berselerak. Makumlah dah seminggu isteriku demam tak berkesempatan nak mengemas. Aku takut kalau-kalau pihak jabatan kesihatan datang kerumahku untuk membuat pemeriksaan denggi, rumah bersepah malu aku nanti.

Jam 6.30 pagi, dalam keadaan terhuyung hayang aku memandu kereta kerumah mertuaku. Sampai di sana aku terus naik dan berbaring di atas katil. Anakku Syafeeni sedang bersiap untuk ke sekolah. Aku memintanya supaya tidak ke sekolah pada hari itu. Aku tidak mampu untuk memandu dan memintanya menghantarku ke klinik. (Itulah kali terakhir aku memandu)

Pukul 8.30 pagi, aku dah berada di depan klinik. Pembantu klinik memberitahuku bahawa doKtor lewat sedikit sampai dan menyuruhku datang semula pada pukul 10 pagi. Aku datang semula ke klinik pukul 10 pagi. Doktor membuat pemeriksaan dan mengambil contoh darahku untuk diuji. Aku meminta doktor memberiku suntikan kerana tak tahan lagi. Badanku terasa se olah-olah menggelegak.

Setelah mendapat rawatan aku pulang kerumah. Semasa hendak melangkah keluar dari kereta, aku rasakan kedua-dua kakiku lemah tapi ku gagahi juga bergerak. Tak beberapa lama, aku menerima panggilan dari klinik yang mengesahkan ujian darahku negatif. Aku bebas dari demam denggi.

Di sebelah petang aku ke hospital melawat isteriku. Aku menyuruh anakku memandu. Memang itu yang dia suka. Sampai di hospital anakku terus ke bilik isteriku. Aku pula duduk di ruang lobi kerana pening dan tak larat nak bergerak lagi.

Dalam keadaan terhuyung hayang aku terus mencari-cari klinik doktor yang merawat isteriku. Kliniknya berada di tingkat satu. Aku memilih doktor yang sama. Mudah kerana dia juga merawat kes isteriku.

Setelah membuat pemeriksaan aku terus ditahan di wad. Aku meminta izin untuk keluar sekejap untuk menghantar pulang keretaku tetapi jururawat tidak membenarkannya. Anakku memberanikan diri memandu pulang keretaku. Memang dia betul-betul berani.

Di sebelah malam itu aku cuma makan agar-agar merah yang ku bawa dari rumah dan minum air bali dan fresh oren yang ku pesan dari kafeteria hospital.

Hari Jumaat 21 Jun’2002 dan hari Sabtu 22 Jun’2002. Aku tak berapa ingat apa yang berlaku. Aku cuma ingat beberapa rakanku dan adik iparku datang melawatku. Di waktu itu fikiranku melayang. Aku tak tahu apa yang mereka bualkan. Aku cuma ingat pesanan jururawat supaya jangan tinggakan handphone di dalam laci nanti di khuatiri hilang.

Sepanjang hari aku menghabiskan waktu menonton tv. Ada masanya tv pula menontonku. Kebetulan semasa itu perhimpunan Agung Umno sedang di siarkan di kaca tv. Jadi dapatlah aku mendengar perbahasan mereka walaupun aku tak suka dengan Umno. Tapi aku masih hendak mengikuti perkembangannya. Ini yang di katakan ‘Benci Tapi Rindu’. (Handphone terakhirku Nokia 3310 warna biru. Sekarang aku tak punyai handphone lagi dan tak berapa gemar mengunakannya di atas sebab2 tertentu)

Ahad 23 Jun’2002. Aku tidak ketentuan. Sekejap beralih tidur di kerusi panjang, sekejap baring di atas katil. Di sebelah petang anak-anakku dan mertuaku datang melawat kami berdua. Sebelum mereka pulang aku meminta anakku tinggal menjagaku. Tapi memandangkan mereka sekolah keesokkannya maka isteriku tak membenarkan.

Di sebelah malam sambil berbaring aku menonton tv. Di kaca TV aku melihat bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menangis semasa ucapan penutup persidangan Umno. Aku tak tahu kenapa beliau menanggis kerana masa itu fikiranku sudah jauh melayan. Aku bukan aku lagi!!.

Aku juga mendengar berita salah seorang pemimpin dari parti pembangkang sedang di dalam keadaan tenat. Tapi aku tak pasti siapakah dia kerana ketika itu fikiran dan keadaanku tak berapa stabil. (Yang sakit dan tenat itu adalah Allahyarham Dato' Fadzil, Perisiden Pas. Aku tau arwah meninggal selepas dua minggu sedar dari komaku)

Malam itu keadaan aku bertambah gawat. Lebih kurang jam dua tiga pagi aku bangun menuju keluar bilik. Aku sudah tidak mampu untuk berjalan lalu duduk di atas kerusi roda yang ada di depan bilikku. Dalam keadaan lemah aku menolak kerusi itu menunju ke pintu lif untuk ke tingkat dua menemui isteriku di biliknya. Sampai di kaunter jururawat, aku di tahan dan di tegur oleh jururawat kerana bergerak sendirian di waktu dinihari. Aku menyatakan hasratku untuk berjumpa isteriku kerana aku dalam keadaan kesakitan. (Malam itulah kali terakhir aku berjalan sebelum terus lumpuh)

Aku di temani oleh isteriku dan di hantar kembali ke bilikku, Aku sudah tidak berapa ingat apa yang terjadi pada diriku ketika itu. Aku di beritahu oleh isteriku bahawa darah menjijis-jijis di lantai kerana aku mencabut drip yang terpasang di tangganku.

Menurut isteriku lagi, aku sempat menggelap darah yang bertitisan di atas lantai. Wah….rajinnya aku dalam keadaan tak waras pun sempat menggelap lantai. Aku mengadu sakit di bahagian tengkuk dan doktor yang bertugas datang merawatku dan memberi suntikan. Ketika itu fikiranku dah terasa melayang jauh.

Keesokannya, keadaan aku bertambah kritikal. Aku tak mampu bernafas sendiri dan terpaksa menggunakan bantuan oksijen untuk bernafas. Pagi itu isteriku di benarkan keluar dari wad.

Semasa isteriku pergi memproses daftar untuk keluar wad, aku pula di di sorong masuk ke bilik rawatan rapi ICU.

Dua minggu aku koma dan berada di tahap kritikal. Apabila tersedar keseluruhan tubuhku kaku. Aku lumpuh!.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text