Selama 2 minggu blog ini tidak dapat diuruskan sepertimana biasa. Ramai teman dan pembaca blog bertanya Pak Lang kenapa tiada paparan terkini. Sebenarnya Pak Lang berada di Jelebu, Negeri Sembilan. Ya, Pak Lang bersama Puan Hatijah Aam dan 58 orang terdiri daripara ahli lembaga pengarah GISB HOLDING SDN BHD serta 9 anak syarikatnya dan selebihnya beberapa orang staf telah mengikuti Kursus Pemulihan Untuk Bekas Pengikut Al-Arqam / Global Ikhwan. Kursus ini berjalan secara intensif selama 2 minggu.
Pak Lang memohon maaf kerana tidak memaklumkan di dalam blog situasi Pak Lang. Tumpuan menghayati pengisian kursus tersebut sangat penting. Ianya satu kursus yang sangat bermakna pada kami. Lagi pula, modul kursus itu sendiri menjadikan kami tidak sempat hendak santai-santai. Tetapi walaubagaimana sibuk sekalipun, Pak Lang mencatit semua yang terlintas di hati untuk di paparkan dalam blog ini. Sememangnya Pak Lang bercadang menuliskan semuanya selepas selesai kursus. Jadi paparan kali ini akan dapat menjelaskan apa yang kami telah lalui dalam tempoh tersebut. Semoga semua pembaca blog ini akan terus mendoakan kami..
KURSUS PEMULIHAN
BEKAS-BEKAS ARQAM / GLOBAL IKHWAN
(FASCA 1) - 13 APRIL – 27 APRIL
2014 - Di Pusat Pemantapan Akidah Jelebu (PPAJ)
Munajat Dan Harapan:
Segala
puji dan syukur kami persembahkan kepadaMu ya Allah. Kasih sayangMu terlalu
agung. Kami yang bersalah dan berdosa ini, telah Engkau beri peluang sekali
lagi untuk bertaubat - setelah berkali-kali kami gagal membuktikan kebenaran
taubat kami sebelumnya.
Betapa
luarbiasanya kasih sayangMu Ya Allah terhadap kami. Engkaulah yang telah
mengetuk-ngetuk hati kami untuk mahu datang ke sini. Tanpa gerak dan taqdirMu
tentulah kami masih jauh daripada kebenaran. Jika itu berlaku, malanglah nasib
kami kerana tidak akan mendapat keinsafan yang dengannya mendorong kami bertaubat.
Engkaulah
Ya Allah yang telah memilih kami untuk dapat mengikuti program pemulihan di
Pusat Pemantapan Akidah Jelebu ini. Keberadaan kami di PPAJ selama 2 minggu ini
telah membuka mata hati kami untuk terus sekali lagi tunduk mengakui kesalahan dan kesilapan
kami.
Terlalu
banyak ilmu dan maklumat yang disingkapkan kepada kami. Terlalu banyak rahsia
ilmu-ilmu wahyu dan sunnah Nabi saw diperjelaskan kepada kami satu persatu.
Begitu ramai tenaga penceramah dan ulamak berwibawa yang di datangkan khusus
untuk membantu kami memahami asas-asas yang perlu dalam memahami agama yang
suci ini.
Akhirnya
kami jadi kerdil di hadapan lautan ilmuMu Ya Allah. IlmuMu yang maha luas itu
rupanya lautan tidak bertepi. Lazatnya bila kami dapat mengecapi ilmu yang
dinukilkan dalam kitab-kitab yang muktabar – yang dikarang oleh para ulamak
yang ikhlas dalam memelihara kesucian agama kita ini. Sebenarnya itulah antara
kepuasan kami apabila ianya menjadi rujukan bagi setiap pembentangan dan
perbahasan tajuk-tajuk yang dikhususkan kepada kami.
Para
pensyarah dan penceramah telah berjaya membuktikan kepada kami betapa agungnya
ilmu Islam yang datang melalui lidah Nabi Mu Saiyidina Muhammad saw. Daripada
Bagindalah mengalirnya aliran akidah suci Ahli Sunnah Wal jamaah yang kami
dituntut untuk sama-sama mempertahan dan memperjuangkannnya ini.
Ya
Allah! Malunya kami mengenangkan kebodohan kami selama ini. Dalam keghairahan
kami mahu mengamalkan ajaran Islam, kami tersasar dari landasan sebenar.
Sepatutnya kami rajin bertanya daripada mereka yang lebih mengetahui tetapi
kami lemah dalam mengusahakannya. Jadilah kami kelihatan meraba-raba walaupun
di dalam terang apatah lagi jika di dalam gelap.
Banyak perkara yang sepatutnya
tidak ada apa-apa masalah tetapi kami menjadikannya bermasalah. Ianya jadi
sukar mahu dibetulkan. Masyarakat umum jadi pelik dan aneh melihat tindak
tanduk kami. Mereka cuba menegur kami tetapi kami masih buta untuk sedar
hakikat ketelanjuran kami.
Demikianlah
apabila Engkau mentaqdirkan kami dihantar pulang dari tanah suci Mekah ke
Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi. Rupa-rupanya 13 Mei 2013 itulah detik
bermulanya kami Engkau 'paksakan' menerima ketentuan dariMu. Berpuluh-puluh orang
pegawai JAIS menunggu kepulangan kami di lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Engkaulah yang mencatur ini semua Ya Allah.
Penghantaran
pulang kami menjadi penyebab kami dipertemukan dengan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) melalui bahagian penguat kuasanya. Bersama mereka, kami diberi peluang
bermuzakarah. Kami diberi ruang untuk bertanya dan menyoal. Semua kekeliruan
kami. berjaya mereka perjelaskan secara berhikmah. Ianya sangat mendorong kami
berfikir sendiri. Bahkan ianya memaksa kami kembali berfikir secara rasional.
Berbulan-bulan
lamanya masa yang kami ambil dalam bertanya-soal dengan para pegawai Bahagian
Penguat Kuasa yang begitu sabar melayan kami. Kami dilayan dengan penerangan
dan penjelasan yang memuaskan hati. Kami diberi kebebasan menganalisa dan berfikir.
Kami diberi peluang membuat penilaian sendiri. Segala fakta dan hujjah
dilonggokkan di hadapan kami. Segala peristiwa dan insiden diperjelaskan.
Semuanya berjaya membuktikan kepada kami betapa kusutnya masalah yang kami
timbulkan di tengah masayarakat.
Justeru,
apabila kami yakin, semua yang berlaku ini adalah dengan kuasa dan pertunjukMu,
maka kami mahu ianya benar-benar kami syukuri dan hargai. Kami tidak mahu
keinsafan ini hilang begitu sahaja. Kami malah mahu membuktikan kami
benar-benar insaf dan benar-benar sedang
dan mahu berubah.
Walau
seberat mana sekalipun bebanan yang kami tanggung dalam membuktikan kebenaran
kata-kata taubat kami, kami berazam untuk melepasi cabaran ini. Apatah lagi
sepanjang kursus ini, kami diyakinkan oleh pihak JAIS, Jakim dan pihak keselamatan
bahawa mereka akan terus membimbing kami.
Ya
Allah Engkau perkenankanlah hajat kami dalam usaha taubat ini. Berilah kami
kekuatan dalam melakukan semua perkara yang akan kami gariskan ini untuk
menebus kembali kesalahan dan kekhilafan kami. Berilah kami peluang sekali lagi
untuk kami kembali kepada kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya. Amin, Amin, Amin Ya
rabbal ‘Alamin.
Maka
untuk itu; Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami
isytiharkan di sini, pada hari ini bahawa kami para peserta kursus Pemulihan
Akidah – selaku kelompok yang dikenali sebagai bekas-bekas Arqam atau Global
Ikhwan – secara resminya telah meninggalkan segala bentuk fahaman dan amalan, secara lahir dan
batin – apa-apa yang bercanggah dengan keputusan Fatwa oleh Majlis Fatwa
Kebangsaan mengenai fahaman Aurad Muhammadiyah, Syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi, Putera Bani Tamim, Jadual Tuhan, amalan Pencak Sunda dan sebagainya. Kami menyesal dengan sebenar-benar penyesalan atas semua yang telah kami lakukan.
Dan
pada hari ini, kami isytiharkan bahawa kami semua kembali kepada ajaran ASWJ.
Kami akan terus mendalami ilmu berkenaan akidah dan amalan ASWJ melalui
guru-guru yang akan diuruskan oleh pihak JAIS dan JAKIM untuk kami. Inilah
hasrat dan harapan kami agar terus dipandu serta ditunjuk ajar. Kami sudah
serik dengan apa yang telah terjadi.
Maka
kami dengan ini menyerahkan segala-galanya untuk dicatur oleh JAIS dan JAKIM
sehingga kami dapat menjalani kehidupan normal di dalam masyarakat arus perdana
di Negara yang tercinta ini. Kami memohon kemaafan dan keampunan di atas segala
kesusahan dan kesulitan yang kami cetuskan selama ini di tengah masyarakat.
Kami
berazam selepas ini, kami akan menjadi warganegara yang baik, taat serta patuh
dengan peraturan jabatan agama dan undang-undang negara. Kami akan berusaha
membantu JAIS dan JAKIM dalam apa jua bidang kerjasama yang termampu oleh kami
dengan niat menebus kembali kesalahan kami. Dan inilah juga niat kami untuk
mahu menyambut ikatan silaturrahim dan kasih sayang yang sudah mula terjalin
antara kami dengan pihak JAKIM, JAIS dan lain-lain badan berkuasa agama di negeri
serta tidak lupa pihak keselamatan.
Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas segala budi dan jasa semua pihak yang sangat prihatin dengan masalah kami dan sanggup bersusah-payah membantu menyedarkan kami. Terima kasih. Sekian.
0 ulasan:
Catat Ulasan