Dalam usia lebih separuh abad ini, Pak Lang bersyukur kerana sudah dianugerahkan Tuhan pengalaman merantau ke luar negara. Berbanding kawan-kawan yang sama-sama di Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik (Aliran Sains) di Alor Merah, Alor Setar tahun 1977 dahulu, Pak Lang mendahului mereka dari sudut ini. (Satu lagi tentunya di sudut ramai isteri dan ramai anak). Harta tidak ada tetapi pengalaman hidup sangat menginsafkan.
Untuk pengetahuan anak cucu sekelian, dengan izin Allah jua, Pak Lang sudah ditakdirkanNya sampai ke benua Amerika/Kanada, benua Eropah, benua Australia, Timur Tengah dan negara-negara Asean. Selain itu, Jepun dan Pakistan juga pernah sampai. Di Pakistanlah dapat bertemu dengan Tuan Lokman Hakim, Tuan Fadhil Yassin dan lain-lain. Kenal Tuan Ahmad Anuar semasa dia belajar di Perancis.
Kepada anak cucu, pesan Pak Lang - janganlah terlalu merancang secara akal apa yang hendak kita lakukan. Binalah harapan kita secara niat di hati. Ini disebut sebagai alam bawah sedar. Binalah hati yang mencintai kebenaran dan mencari kebenaran. Nanti anda akan diperjalankan Tuhan ke seluruh dunia untuk meralisasikan hasrat hati yang dikatakan cita-cita di alam bawah sedar ini. Percaya dan saksikanlah nanti, anda akan sampai ke mana sahaja kebenaran itu wujud!! Tuhan akan bawa dan hantar anda ke sana!! Janganlah bimbang. Yakinlah Tuhan melihat hati kita. (Nantilah Pak tulis cerita khas tentang ini jika diizinkanNya. Ya Allah tolong ingatkan Pak Lang!).
Sebenarnya dalam banyak-banyak negara, Pak Lang belum pernah sampai ke Turki. Hanya dapat dengar cerita dari kawan-kawan dan melalui pembacaan. Turki adalah negara bersejarah. Sejak sebelum masihi, sejarah mencatatkan kewujudan Turki - samada pernah dijajah dan pernah menjadi penguasa dunia - atas nama Empayar Rom. Orang Turki antara bangsa yang pernah menempuh sejarah panjang peperangan demi peperangan sepanjang zaman.
Negara Turki berada di antara dua benua - Eropah dan Asia menjadikan pengaruh timur dan barat sangat dominan terhadap sosio-budayanya. Dahulu empayar Rom yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantine ini meliputi negara Mesir, Greece, Palestin, Syria dan Turki. Pusatnya terletak di Konstantaniah atau Kota Konstantinapol yang sekarang dikenali sebagai Istanbul di Turki. (Lihat Wikipedia, ensiklopedia bebas).
Apabila Baginda Rasulullah saw dilantik menjadi Rasul, ada 2 kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom dan Farsi. Rom di bahagian barat manakala Farsi di bahagian Timur. Kedua-dua 'blok' ini saling berperang untuk saling menguasai. Ketika itu Rom baru dikalahkan oleh Farsi. Kaum jahiliyah Mekah bersorak dan mengejek umat Islam kerana umat Islam mempunyai kepercayaan yang sama dengan bangsa Rom iaitu beriman dengan agama dari langit (Samawi).
Tuhan hiburkan Nabi saw dalam hal ini dengan menurunkan ayat dari surah Ar-Rum:
"Telah dikalahkan Rum. Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala
urusan, Sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika
berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan
bergembira".
Turunnya ayat ini sebagai satu khabar gembira bagi umat Islam dan ternyata dalam masa tidak
sampai sepuluh tahun dari kekalahan itu, berlakulah kemenangan umat Islam terhadap Rom. Tuhan telah buktikan janjiNya di zaman Sy Abu Bakar As-Siddiq menjadi khalifah. Keseluruhan Empayar Rom dan Farsi jatuh di tangan Khilafah Islam di zaman Saiyidina Omar Al-Khattab.
Jika Pak Lang berkesempatan mengerjakan umrah, insya Allah akan usaha ke Turki. Semoga Allah izinkan tetapi ke mana yang lebih utama? Kawan-kawan di Perth juga perlu diziarahi. Apa-apa pun lihatlah nanti - adakah doa sdr Yahya di Turki atau doa sdr Zai di Perth yang diperkenankan Allah? Dialah yang menentukan.
Sekarang GISB / YKPPM sudah bertapak di Istanbul. Tuan Nasiruddin sedang mengetuai usaha membina jalinan hubungan dan kerjasama dengan pelbagai pihak di sana. Khabarnya Restoran Ikhwan Turki sedang mendapat sambutan yang menggalakkan. Kekuatan yang utama pastilah berpunca dari hubungan hati yang kuat dengan Allah dan Rasul. Khabar tentang bagaimana usaha rohaniah yang dijayakan Tuan Nasirudin bersama kawan-kawan di sana sangat mengujakan. Semuanya sangat wajar dipelajari dan diteladani. Ianya satu usaha yang bertitik tolak dari keyakinan hati dengan Allah dan Rasul.sehingga berupaya membuka pejabat operasi GISB / YKPPM, rumah tamu, agen pelancongan, restoran dan katering. Persembahan nasyid kepada masyarakat setempat tidak putus-putus. Manakala usaha penggambaran TV IKhwan Turki adalah antara yang aktif.
Mereka yang pernah ke sana seperti Tuan Nawawi dan Tuan Harun, sangat teruja bercerita tentang perjuangan Sultan Muhammad Al-Fateh. Pak Lang mengharapkan Tuan Nawawi dapat menghasilkan buku mengenai sejarah dan perjuangan Islam di Turki. Menarik sangat jika mendengar cerita dari beliau..
Satu lagi yang kita teruja mendengarnya ialah tentang Mimar Sinan - arkitek unggul yang bertaqwa yang melahirkan muridnya iaitu arkitek diraja bernama Mehmet Ağa.
Mehmet Aga inilah yang diamanahkan mereka-bentuk Masjid Biru. Perbinaannya bermula pada Ogos 1609 agar ianya menjadi masjid pertama dalam empayar Othmaniah. Ianya siap pada 1616. Reka bentuk Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmed ini adalah kemuncak pembangunan dua abad bagi masjid Uthmaniyyah dan gereja Byzantin. Ia menggabungkan sesentengah elemen-elemen Byzantin dari Haghia Sophia dengan seni bina Islam tradisional dan dianggap masjid raya yang terakhir pada zaman klasik. Gabungan inilah dikenali sebagai Masjid Biru. (Baca tulisan mengenai SEJARAH Masjid Biru DI SINI)
0 ulasan:
Catat Ulasan