Social Icons

Khamis, 10 April 2014

Pengalaman Bertemu Ustaz Ibrahim Libya Dan Kisah Memali - Apa Yang Tersirat Di Hati Tun Musa Hitam?

         

 Gambar pondok dan gambar para syuhada' Memali.

(Peristiwa Memali pada tarikh: 19 November 1985 telah mengorbankan 14 orang manakala berpuluh yang lain cedera. Ramai tokoh PAS setempat yang ditahan di bawah ISA selepas kejadian tersebut).

Ketika 'mengaji pondok' di Madrasah Misbahul Falah atau lebih dikenali nama "Pondok Lanai", Pak Lang terdedah dengan aktiviti PAS. Situasinya bukanlah Pak Lang ini terpengaruh dengan politik PAS tetapi lebih berbentuk suatu yang Pak Lang sengajakan untuk mencari pengalaman. 

Semasa di pondok, Pak Lang selalu berhujjah sesama kawan-kawan pondok soal-soal berkaitan perjuangan Islam. Pak Lang lebih condong kepada perjuangan Al-Arqam yang mengutamakan 'Islam Yang Syumul' - dengan maksud politik demokrasi - tidak ada dalam Al-Quran dan Sunnah. Justeru dalam memperjuangkan Islam yang syumul, mana mungkin mengambil pendekatan yang tidak Islamik. Kami tidak bergaduh tetapi itulah gaya kami semasa mengaji pondok. 

Pak Lang masih ingat ketika itu - di pondok tersebut, kami beberapa orang digelar 'mujahidin' oleh rakan-rakan pondok yang lain. Puncanya ialah melihat gaya dan cara kami duduk di pondok tidaklah sama dengan orang lain. Kami di sini ialah kelompok yang datang mengaji pondok hasil kesedaran sendiri. Kami rata-rata berusia lepasan SPM, sedang mencari tujuan hidup. Itulah situasi zaman kesedaran  hasil era dakwah yang berlaku di dalam masyarakat.  

Ada 2 orang yang meninggalkan pengajian di Amerika Syarikat untuk masuk mengaji pondok. Ada beberapa orang yang lain pula ditawarkan pengajian di universiti tanah air tetapi menolak kerana cenderung mengejar ilmu agama yang dirasakan sudah jauh tertinggal. Jumlah kami tidak sampai 10 orang tetapi kami aktif membuat berbagai program di pondok.  

Keghairahan untuk melibatkan diri dalam 'perjuangan Islam' mendorong Pak Lang menziarahi As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya di rumahnya. Pak Lang ke rumahnya pada sebelah malam selepas waktu Isya' bersama seorang teman. Seingat Pak Lang, ziarah itu berlaku sekitar setahun sebelum terjadinya peristiwa Memali. As-Syahid memang terkenal dengan kelantangannya dalam memperkatakan isu-isu semasa yang dikaitkan dengan hujjah Al-Quran dan Hadis.

Isi perbincangan dengannya malam itu adalah lebih kurang sama seperti apa yang biasa dibicarakan oleh tokoh-tokoh PAS. Kelihatannya Ustaz Ibrahim Libya tidaklah agresif atau berwatak keras. Wataknya 'boleh masuk' dengan Pak Lang - ada senda gurau dan ketawa. Keadaan rumahnya pun tidaklah terlalu Islamik. Sekadar rumah seorang 'ustaz' - ada rak kitab di ruang tamu yang seadanya. Sofa lusuh yang kami duduk itupun sudah menggambarkan dia tidak fikirkan sangat soal kehidupan dunia. Apa yang jelas ialah perjuangan Islam yang diyakininya. Tidak ada gambaran beliau mahu melawan kerajaan secara mengangkat senjata. 

Walau bagaimanapun, dia memang ada aura menarik pada kealiman, kepetahan bercakap dan ketulusan hatinya dalam perjuangan. Dia sanggup hidup susah di kampung walaupun sebelumnya dia sudah berpeluang hidup makan gaji di ibu kota. Kesungguhannya mengajar dan mendidik orang kampung mengaut simpati dan sokongan yang kuat dari masyarakat daerah Baling.   

Ketika berlaku peristiwa Memali lebih setahun kemudian, Pak Lang terkejut Ustaz Ibrahim Libya yang Pak Lang ziarahi itu sudah syahid bersama 13 orang yang lain. Insiden itu merobek hati umat Islam Melayu Malaysia. Ahli Pas bangkit memprotes dan menghentam Tun Musa Hitam selaku menteri yang bertanggung jjawab. Ahli UMNO juga bersimpati dengan apa yang berlaku. Secara umum, insiden sedemikian tidak patut berlaku. Jika pihak keselamatan bertindak lebih berhati-hati, pertumpahan darah sangat berpotensi dielakkan. Soalnya kenapa mereka sanggup membunuh orang awam?

Sekarang isu ini ditimbulkan kembali. Orang ramai sekali lagi berpolemik dan melontar berbagai pandangan. Tun Musa HItam selaku orang yang sepatutnya mengambil tanggung jawab sepenuhnya cuba menghina Tun Dr Mahathir di dalam sebuah forum di Kelantan.

Apa yang terjadi kepada Tun Musa Hitam ini sebenarnya? Kenapa baru sekarang dia mahu mempersalahkan Tun Dr Mahathir seolah-olahnya dia dikunci mulut selama ini. Dan baru sekarang kunci itu dapat dibuka. Adakah dia ada agenda tertentu yang tersirat? Kita boleh melihatnya nanti. Sejarah akan terus melakukan catatan seiring dengan apa jua peristiwa yang terjadi.

Secara peribadi, Pak Lang merasakan Tun Musa Hitam tidaklah perlu mengungkit hal tersebut. Menyalahkan Tun Dr Mahathir akan 'menembak' dirinya sendiri sebab beliau adalah menteri yang bertanggung jawab. Jika Tun Musa Hitam menerima arahan Tun Dr Mahathir untuk melakukan apa yang terjadi, Tun Musa - jika benar begitu, sepatutnya tahu menilai baik buruknya. Kenapa dia memerangkapkan dirinya sendiri. 

Sedari awal, masyarakat sudah menilai kesalahan sepatutnya dibebankan kepada menteri yang berkuasa ke atas pasukan polis. Bahkan pihak polis sendiri tidaklah boleh dipersalahkan. Mereka tertakluk pada arahan dan kehendak menteri. Adakah Menteri Dalam Negeri ketika itu iaitu Tun Musa ada menerima 'arahan khas' Perdana Menteri? Apapun arahan - kalau ada, tentulah seseorang yang bertaraf menter, akan bijak menilai bagaimana melaksanakan sesuatu arahan. Pertimbangan dalam pelbagai sudut, pastilah terpikul atas dirinya. Tun Musa yang dikatakan pintar dan cerdik itu tidak perlulah melakukan sesuatu yang menjerat dirinya sendiri. 

Samada Tun Dr Mahathir berada dalam negeri atau di Cina bukanlah isunya. Jika benar Tun Dr Mahathir berada di tanah air, Kenapalah Menteri Dalam Negeri bertindak sedemikian rupa. Tidak adakah belas kasihan dan rasa perikemanusiaan? Tidakkah pernah terfikirkan soal anak isteri dan keluarga mangsa yang dibunuh sebegitu kejam? Bagaimana nasib mereka? Betapa traumanya mereka menyaksikan orang kesayangan mereka dibunuh di depan mata. 

DYMM Sultan Kedah sendiri turut mencemar duli menziarahi kuburan mangsa yang dikategorikan sebagai syahid. Ramai saksi membenarkan betapa mayat mereka masih berdarah 'hidup' walaupun sudah beberapa hari di hospital!!

Kunjungan Tuanku Sultan Abdul Halim ke kubur para syuhadak tersebut sebenarnya memberi pukulan 'cemeti' kepada Tun Musa Hitam. Sebagai Sultan yang menaungi rakyat jelata di bawah jajahan takluknya, Tuanku Sultan teramat sedih dan kesal dengan apa yang dilakukan terhadap rakyatnya. Kenapakah ada manusia yang tidak mahu menggunakan sedikit kewarasan akal dalam menangani 'kedegilan' Ustaz Ibrahim Libya. Itu pun kalau benar beliau degil seperti apa yang digembar-gemburkan.

Sebab itu Pak Lang katakan, apa yang ditimbulkan Tun Musa ini ada maksud lain. Lagi pun, secara semula jadi, watak Tun Dr Mahathir akan dilihat orang sebagai seorang yang sukar bertindak seganas apa yang berlaku. Seorang doktor akan melakukan segala upaya untuk menyelamatkan nyawa sesiapa pun sekalipun musuhnya. 

Orang yang rasional dan mengenali Tun Dr Mahathir pasti akan menafikan wujudnya arahan seganas itu terhadap Ustaz Ibrahim Libya!! Ianya tidak mungkin. Malangnya peristiwa itu telah pun berlaku dan memakan korban yang tidak sedikit. Ianya mencalar kredibiliti pasukan keselamatan. Sememangnya selaku individu profesional - sebagai menteri, Tun Musa lah yang sepatutnya segera meletakkan jawatan ketika itu.

Peristiwa Memali memalit sejarah hitam terbesar selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ramai yang terpaku dan kesal dengan apa yang berlaku. Apakah manfaatnya Tun Musa membangkitkan isu itu sekarang. Inilah yang kita kena kaji dan selidik. Manusia berbuat, bercakap dan bertindak berpuca dari dorongan atau niat di hati. Apa yang di hati Tun Musa akan pasti kita ketahui tidak lama lagi. Ianya akan timbul lambat laun.

Tun Musa yang sudah berusia 80 tahun (Lahir: 18 April 1934) sepatutnya terus berdiam diri mengenai isu Memali. Walau apa pun usaha membela diri dilakukan, trajedi Memali sebenarnya peristiwa yang ditaqdirkan Tuhan untuk memadamkan kerjaya politknya. 

Orang yang emosi dan tidak waras berfikir akan suka bersorak memaki hamun Tun Dr Mahathir. Tetapi percayalah, Malaysia telah pernah memiliki seorang Perdana Menteri yang hebat yang diakui kawan dan lawan. Tun Musa perlu menerima hakikat beliau sepatutnya menggunakan masa umur yang ada untuk menjernihkan suasana. Bantulah membina masyarakat yang harmoni dan saling bertolak ansur dan bekerjasama. 

 Inilah misi yang sepatutnya digerakkan oleh seseorang negarawan seperti beliau. Mengungkit semula kisah lama yang mengguris hati banyak pihak akan menimbuilkan polemik yang tidak sudah-sudah. Ianya sedikit sebanyak menggagalkan usaha pembinaan masyarakat seperti yang kita sama-sama harapkan.

Selepas seminggu peristiwa Memali, Pak Lang berpeluang ke lokasi kejadian. Rumah bersejarah itu menyaksikan peristiwa malang bangsa melayu Islam di negara yang merdeka ini. Kesan peluru, pertempuran dan kesan kawasan rumah yang menjadi tempat sekumpulan masyarakat marhaen berkumpul mempertahankan guru mereka masih jelas kelihatan. Pak Lang ditunjukkan tempat-tempat setiap orang daripada mereka yang syahid. Senario kejadian digambarkan secara terperinci. Sedih sangat rasa di hati. 

Salah seorang yang cedera teruk ialah Al-Fadhil Ustaz Harun Md Isa (Beliau akhirnya dikenali sebagai Ustaz Harun Memali). Beliau adalah guru awal Pak Lang semasa belajar di Maktab Pengajian Islam Kodiang yang kemudiannya berpindah ke Kupang, Baling mengajar di Yayasan Al-Khairiyah. Dari situlah beliau terlibat berkubu bersama mempertahankan Ustaz Ibrahim Libya. Hasil tembakan, beliau lumpuh tangan kanannya dan masih dapat mengajar kemudiannya dengan menggunakan tangan kiri. Beliau sudah kembali ke rahmatullah. 

Jadi, apa yang sudah berlaku, ambillah iktibar. Jika mahu menebus kesilapan, wajarlah Tun Musa bertemu sendiri waris-waris mangsa. Rasanya Tun Musa masih banyak 'berhutang' dengan mereka. Mengusahakan hal sebegini lebih bermakna daripada bercakap di pentas umum yang 'hanya melukakan parut yang sama'.

AL-FATEHAH - Kepada syuhadak Memali dan mereka yang terkorban ekoran peristiwa itu..

          

             Ustaz Ibrahim

Alllahyarham Ustaz Harun Md Isa berbaju biru

 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text