Social Icons

Rabu, 20 Januari 2016

Halatuju Kehidupan Yang Tersasar - Bukan Jalan Yang Lurus!!



Hari ini kebanyakkan manusia hidup untuk menjadi buruh yang bekerja. Semenjak lahir, disekolahkan sebagai persediaan untuk bekerja. Semenjak muda hinggalah ke tua cuma tahu untuk bekerja. Apabila sudah pencen pula, manusia itu kebanyakkannya cuma menunggu mati dan juga yang masih ada lagi bekerja untuk menghilangkan rasa kebosanan dan kesunyian yang mencengkam jiwa. Alangkah sia-sianya hidup yang begitu rupa, di dunia hidupnya kosong dan di akhirat pula dirinya binasa.

Kenapa binasa? Kerana manusia itu sesat, tidak bertemu tujuan sebenar penciptaannya di dunia ini. Allah SWT menciptakan manusia untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Sepatutnya kita bekerja siang dan malam juga adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab ibadah kita kepada Allah SWT. Melalui pekerjaan itu, kita menjaga hak-hak diri sendiri dan hak-hak manusia lain dengan mengeluarkan zakat, menjauhi riba dan mengelakkan penipuan. Melalui pekerjaan itulah juga kita akan beroleh rezeki menyara keluarga sebagai nafkah dan digunakan untuk membantu makhluk-makhluk Allah SWT yang lain sebagai memenuhi sifat ehsan yang menjadi fitrah kepada jiwa kita.

Alangkah indahnya hidup ini apabila manusia itu mengerti akan tujuan hidupnya di dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Justeru, seluruh hidupnya diusahakan agar bertepatan dengan kehendak Allah SWT sebagai tuntutan ibadah, iaitu pengabdian dan penyerahan diri hanya kepada Allah SWT. Makan, minum, tidur dan segala urusan hidupnya adalah untuk Allah SWT walaupun itu semua bagi menunaikan hajat dan fitrah insani, kerana dia yakin dan faham bahawa semua rezeki yang dimilikinya adalah daripada Allah SWT. Malah dia sedar bahawa dirinya wajib untuk mensyukuri segala nikmat Allah SWT itu.

Hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa di dalam dunia ini. Semuanya kepunyaan dan milik Allah SWT. Kita hanya ditugaskan untuk mengusahakan apa yang telah ada, mengikut apa yang diperintahkan bagi kesempurnaan hidup kita. Kenyataan ini akan kita pegang sungguh-sungguh apabila telah ada kesedaran dalam diri, kenapa kita dilahirkan ke dunia ini dan untuk apa kita dilahirkan.

Apabila manusia telah jelas dengan tujuan hidupnya, insya-Allah akan terasa mudahlah untuk dirinya menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Setiap yang menimpanya tidak akan dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia, sebaliknya adalah sesuatu yang dapat diambil hikmah dan pelajaran daripadanya. Biar betapa sukarpun hidup ini, manusia akan menyedari dan menyakini bahawa masih ada peluang untuk diusahakannya. Malah kehidupannya akan lebih terarah dan bermotivasi dengan berkeyakinan bahawa adanya kehidupan kedua yang kekal abadi selepas mati nanti. Berbaloilah bersabar sedikit dalam kehidupan yang singkat ini demi kebahagiaan yang abadi di sana nanti.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text