Pada 8 November baru-baru ini, Pak Lang mengikuti program Istitabah bekas Pengikut Al-Arqam anjuran Jabatan Agama Islam Jais. Ianya adalah majlis mengisytiharkan taubat dan insafnya semua bekas pengikut Al-Arqam yang bersma Puan Ibu Hatijah Aam. Semua yang hadir bersumpah untuk mematuhi sepenuhnya kehendak fatwa berkenaan isu Al-Arqam dan Aurad Muhammadiyah.
Pak Lang sempat bertemu dengan ramai rakan dari kalangan ahli lembaga pengarah GISB HOLDINGS Sdn Bhd yang datang dari seluruh dunia. Lebih 300 orang yang hadir. Ianya hanya separuh dari jumlah keseluruhan 600 orang. Antara yang hadir ialah Tuan Muhammad Adam iaitu Pengarah Zon Thai 2 Bangkok. Pak Lang kenal beliau apabila beliau datang bersama rombongan Abuya (Dikenali sebagai Syeikhul iArqam) ke Mesir pada tahun 1988.
Ketika itu Pak Lang baru di tahun 2 Universiti Al-Azhar. Abuya Ustaz Ashaari memberitahu Pak Lang bahawa Cu Mad Adam (panggilan mesranya) adalah tokoh ulamak Thailand lepasan sebuah universiti di Mekah. Banyak ilmunya dan selalu mengukir senyum gaya orang Thailand. Lebih 10 tahun beliau belajar di Tanah Haram Mekah. Beliau meninggalkan peluang dan potensi dilantik sebagai Syeikhul Islam Thailand apabila mengambil keputusan bersama jemaah Al-Arqam sebaik bertemu Al-Marhum Ustaz Ashaari.
Masa berlalu, sekarang beliau sudah mempunyai 4 isteri dan anak-anak seramai lebih 20 orang. Kesihatan dan fizikalnya kelihatan masih seperti dulu. Cuma bila Pak Lang lihat beliau membuka kotak ubat, barulah teringat Cu Mad Adam pernah dimasukkan ke hospital di Bangkok lantaran sakit jantung! Kami yang sedang rancak bersembang tentang perkembangan GISB Holding s di Thailand, teralih kepada persoalan penyakit jantungnya.
Katanya; "Setiap hari Allah kenakan bayaran untuk jantung ana terus berdegup!!" Ujarnya mengejutkan Pak Lang. "Maksud Cu Mad?" Pak Lang bertanya minta penjelasan. "Ya lah! ana kena makan ubat sakit jantung yang bernilai RM30.00 setiap hari". Lalu ditunjukkan satu persatu pil yang mesti ditelannya. Lebih dari 6 butir berbagai warna yang setiap satunya berharga antara RM5.00 ke RM8.00.
"Selama belum sakit, jantung kita berdegup setiap saat tanpa kita hitungkan harganya. Itupun tentulah harganya tidak ternilai! Tuhan memberinya tanpa sebarang bayaran!" ujarnya lagi menginsafi hakikat agungnya kasih sayang Tuhan kepada hamba-hambaNya. Allah swt mengurniakan oksijen tanpa bayaran. Mengendalikan seluruh sistem tubuh dalam keadaan kita hamba-hambaNya masih lalai dari mengingatiNya. Tuhan malah terus memberi dan memberi dalam keadaan hamba ciptaanNya sentiasa menderhakaiNya malah mensyirikkanNya, Maha baikNya Dia!!
Sebab itu tidak sepatutnya kita sombong dengan Tuhan. Cukuplah kesakitan dan kematian sebagai pengajaran untuk menginsafkan kita.
Melihat kawan-kawan yang sakit sepatutnya membantu kita berkata bilakah masanya untuk kita pula digilirkan kesakitan atau kematian. Masanya pasti tiba. Justeru sebaik-baik pengajaran di dunia ialah kesusahan, penghinaan, kesakitan, keperitan dan kesengsaraan. Jika kita dapat berebutkan dunia, orang-orang Tuhan berusaha mendapatkan kemiskinan dan kesusahan demi memperoleh jaminan keselamatan hati dari nifak dan syirik (khafi).
Sombong adalah syirik yang tersembunyi. Ianya sudah lama merajai hati kita. Hanya peringatan tentang mati dan kesusahan sahaja yang mampu melunturkan dan membuang ego. Setiap orang sudah ada dalam senarai menunggu kematian. Ada yang didahului dengan kesakitan, ada pula yang dimatikan secara tiba-tiba.
Baru-baru ini (minggu lepas), Cikgu Rahayu isteri pertama En Zul media telah kembali ke alam akhirat. Hanya sebentar hayatnya di dunia - masih muda dan berwajah ceria, petah berkata-kata tetapi sekarang jasadnya sudah berada sendirian di alam barzakh. Semoga keampunan dan rahmat Allah untuknya berkat taat dan niat baiknya untuk Islam. Demikianlah pergiliran akan terus berlaku. Masa untuk kita juga sedang semakin hampir.
Puan Ibu Hatijah selalu mengingatkan kita, jadilah orang-orang bijak yang bersungguh-sungguh mengejar akhirat yang pasti. Tinggalkanlah dunia yang hanya terbayang-bayang tetapi sentiasa lari dari kita bila kita dekatinya. Puan Ibu Hatijah berpesan agar kita hilangkan dunia dari hati kita untuk membolehkan dunia itu datang semula berkhidmat kepada kita. Mengejar dunia, kita akan letih dan stress sedangkan mengejar akhirat adalah kebahagiaan yang tiada taranya.
Lihatlah sembahyang orang-orang yang khusyuk, kita akan sedar sejarak mana hati kita lalai dari mengingati Tuhan!!
0 ulasan:
Catat Ulasan