Hari ini akhbar menyiarkan berita keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang terhadap Puan Ibu Hatijah Aam bersama 17 orang staf GISB HOLDINGS Sdn Bhd. Pak Lang ikut sama hadir di dalam dewan mahkamah tersebut sebagai OKT (Orang Kena Tuduh). Puan Ibu Hatijah dan kami semua memilih untuk mengaku salah, bertaubat dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.
Pertama kali mengikuti prosiding mahkamah syariah, banyaklah perkara baru yang Pak Lang dapat. Rupanya prosiding mahkamah mengambil masa yang lama. Kalau ikutkan prosiding biasa, sesuatu pertuduhan terhadap mana-mana OKT akan mengambil masa yang panjang. Jika kesnya berat yang melibatkan bukti, saksi dan sebagainya tentulah lebih lama masa yang diperlukan.
Untuk kes yang kami hadapi, setiap orang sepatutnya dipanggil berdiri di depan Tuan Hakim dan dibacakan pertuduhan mengikut enakmen begian begian. Hakim akan bertanya adakah kami - OKT - memahami pertuduhan itu dan adakah mengaku benar apa yang dituduh. Kami semua memilih untuk mengaku bahawa semua pertuduhan itu adalah benar. Kami tahu risiko dan akibat dari pengakuan yang kami sendiri buat secara sukarela - tanpa paksaan mana-mana pihak.
Jika setiap orang mengambil masa selama 20 minit bayangkan kalau 18 orang. Sebaliknya Yang Arif Tuan Hakim telah mengambil langkah bijak. Kami diarahkan untuk dituduh secara berkumpulan tiga-tiga orang. Jadi masa dapat dijimatkan. Ianya tidaklah sempat menjemukan kami. Setiap orang dari kami diminta menjawab dan menjelaskan apakah rayuan yang mahu disampaikan.
Akhirnya prosiding tersebut selesai dalam masa dua jam sahaja. Maknanya dari prosiding pertuduhan, pengakuan OKT dan rayuan untuk diringankan hukuman, masa yang diambil relatif singkat dan cepat. Tidak ada yang menggagalkan atau melambatkannya. Ianya berjalan lancar selancar air mengalir deras ke bawah dari gunung yang tinggi. Kerja Tuan Hakim jadi mudah. Tugas para pendakwa juga jadi ringan dan ringkas. Tidak ada sebarang bantahan dari OKT sama sekali!!
Kami semua akhirnya dipanggil berdiri di hadapan Tuan Hakim untuk dibacakan hukuman. Awalnya Pak Lang sempat pasrah di dalam hati - sama seperti yang Pak Lang buat ketika di dalam 'tarhil' di Jeddah. Pak Lang kata dalam hati - kalau kena denda dan penjara sampai 2 tahun pun aku sedia dan berserah padaMu ya Allah!! Pak Lang siap untuk sekali lagi 'tarhil'.
Rupanya kehendak Tuhan sangat berbeza. Allah maha berkuasa. Kuasanya tidak terjangkau oleh fikiran manusia yang sangat lemah. Jika fikiran asalnya kami akan dihukum denda RM3,000 seorang, Tuhan menentukan mulut Yang Arif Tuan Hakim langsung tidak menyebut angka RM. Jika sangkaan asalnya kami akan dikenakan hukuman penjara yang tidak lebih 2 tahun, maka dalam fikiran kami, hukuman penjara antara tiga ke lima bulan mungkin akan dikenakan ke atas kami.Masya Allah!!
Perancangan Tuhan berbeza dari usaha berhempas pulas oleh manusia. Manusia merancang dan merencana sehabis mampu akalnya berfikir tetapi Allah swt sangatlah hebat perancanganNya. Kasih sayangNya kepada sihamba sepatutnya menjadikan hamba sentiasa terdidik untuk merasa dirinya hamba yang hina.
Masya Allah!! Kami dibebaskan!! Ianya suatu yang tidak kami sangka semudah dan seindah ini. Walaupun dengan syarat berkelakuan baik, ianya bukanlah syarat yang membebankan. Kewajipan untuk berakhlak mulia, mempunyai akidah yang sah serta membuat kebaikan sebanyak-banyaknya adalah tuntutan Tuhan kepada setiap insan. Justeru keputusan mahkamah adalah selari dengan kehendak Allah SWT dan kami sedia untuk menempuh proses ini sebaik mungkin - bukan sekadar satu tahun bahkan sehingga kami mati bertemu Tuhan.
Kami mengucapkan penghargaan, terima kasih dan rasa terhutang budi kepada semua pegawai JAIS yang turut hadir. Mereka sudah sangat mesra dengan kami sejak kami beberapa kali bersama mereka dalam berbagai program. Para Pendakwa yang sangat memahami situasi kami juga tersenyum mesra menerima ucapan penghargaan dari kami.
Dalam pada itu suatu yang sangat perlu disebutkan di sini ialah mengenai ucapan atau komen Yang Arif Tuan Hakim. Kata-kata Tuan Hakim begitu berharga pada kami. "Mengaku bersalah itu satu sikap yang terpuji!!" Seseorang yang apabila dia sedar akan kesalahannya dan dia bertaubat meminta ampun dengan Tuhan, keadaannya seolah-olah tidak berdosa. Lalu dibacakannya hadis Nabi SAW; "Orang yang bertaubat dari dosa itu seolah-olah orang yang tidak ada dosa padanya".
Tuan Hakim juga mengingatkan hadirin agar menghormati ungkapan taubat yang didengar dari seseorang atau sekelompok umat. Adalah menjadi kewajipan setiap orang yang mendengar untuk menerima ungkapan taubat itu seadanya. Tidaklah perlu diselidik keikhlasan hati orang yang mengungkapkannya. Bahkan jangan ada prejudis atau buruk sangka - menganggap itu semua sebagai pura-pura atau sebagainya. Inilah adab di dalam Islam. Terimalah kata-kata taubat saudara semuslim dengan hati terbuka disamping mendoakan mereka.
Kepada kami semua, Tuan hakim menasihatkan kami agar buktikan kata-kata taubat itu dengan amal tindakan yang konsisten. Jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Buatlah perubahan diri dan kembalilah ke tengah masyarakat arus perdana dengan jiwa besar yang ingin saling menjayakan cita-cita ummah. Pilihlah kebenaran berbanding kekeliruan dan pilihlah kesederhanaan dalam segala hal berbanding keterlaluan dalam kefahaman atau tindakan. Pegangilah agama sebagaimana orang awamul muslimin lainnya berpegang!!
Mengenai hukuman, kata Tuan Hakim, mahkamah memilih bentuk hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan dari sudut akidah dan kefahaman. Tentulah tidak ada maknanya memenjarakan pesalah akidah kerana ianya tidak akan mencapai maksud dari hukuman tersebut iaitu untuk memastikan pesalah benar-benar berubah dalamannya, Justeru tidaklah perlu tubuh badannya di penjarakan. Apa yang penting hukuman terbaik ialah memastikan proses kefahaman dan taubat dilakukan secara berterusan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Itulah alasan penghakiman yang sangat rasional dan praktikal.
Alhamdulillah, Allahu Akbar!!
Pak Lang bersyukur atas segala yang berlaku di mahkamah syariah tersebut. Demikianlah pengalaman selalu mengajar kita agar tidak cepat melatah atau terburu-buru menganggapi sesuatu. Ketenangan adalah simbol orang yang mempunyai hati yang tetap pergantungan dengan Tuhan. Gelojoh dan melatah adalah hiburan untuk nafsu dan syaitan. Berpada-padalah dalam berbuat sesuatu kerana segalanya diperhatikan Tuhan yang akan mengiringkannya dengan nikmat syurga atau siksa neraka yang dahsyat. Wal 'iya zubillah!!
Berikut adalah berita yang disiarkan Berita Harian. KLIK KE BERITA HARIAN
(1- Perhatikan pada gambar Puan Ibu Hatijah yang dipilih untuk disiarkan sedangkan mereka mempunyai puluhan gambar Puan Ibu yang lebih sesuai. Kita faham atas niat apakah gambar di bawah dipilih mereka! 2- Lihatlah juga pada ayat paling akhir iaitu; (dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda itu) sepatutnya ada ayat tambahan untuk menjelaskannya iaitu (Beliau telah membayar denda tersebut). Itulah sipengarang berita. Tanpa menulis ayat terakhir ini, dia membiarkan minda pembaca tergantung pada situasi yang tidak diketahui sedangkan di depan wartawan mereka, proses membayar denda RM1,000 itu dilakukan!! Masya Allah, tentu ada hikmah dan pengajarannya untuk kami!!
Balu pengasas al-Arqam, 17 pengikut diperintah jalani bon berkelakuan baik
BALU pengasas al-Arqam, Hatijah Aam ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di Gombak, hari ini. Beliau dan 17 pengikutnya diperintahkan untuk menjalani bon berkelakuan baik bersyarat selama tempoh setahun selepas mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar arahan Mufti melalui fatwa berkenaan dengan pengharaman ajaran itu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
GOMBAK: Balu pengasas al-Arqam, Hatijah Aam dan 17 pengikutnya diperintahkan untuk menjalani bon berkelakuan baik bersyarat selama tempoh setahun selepas mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar arahan Mufti melalui fatwa berkenaan dengan pengharaman ajaran itu.
Beliau yang juga peneraju syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) turut didenda RM1,000 kerana mengaku salah menerbitkan buku berjudul 45 Tahun Perjuangan Abuya yang kandungannya bertentangan dengan hukum syarak.
Hakim Syarie Kamarulzaman Ali ketika membuat keputusan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini turut memerintahkan balu kepada pengasas ajaran al-Arqam yang dikenali Ummu Jah, 59, dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda itu.
Beliau yang juga peneraju syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) turut didenda RM1,000 kerana mengaku salah menerbitkan buku berjudul 45 Tahun Perjuangan Abuya yang kandungannya bertentangan dengan hukum syarak.
Hakim Syarie Kamarulzaman Ali ketika membuat keputusan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini turut memerintahkan balu kepada pengasas ajaran al-Arqam yang dikenali Ummu Jah, 59, dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda itu.
terima kasih tuhan...jazk allah...matur nuwon...UFO
BalasPadam