Misteri kehilangan Penerbangan Malaysia pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing masih belum terjawab. Hari ni masuk hari ke-3 pesawat ini hilang secara tiba-tiba ketika melalui ruang udara Vietnam. Selepas kejutan kehilangan pesawat hilang, susur masa media sosial kami mula dipenuhi dengan pelbagai teori dari “pakar” yang pada pendapat kami kurang faham tentang teknologi yang ada di sekeliling kita.
Artikel ini ditulis bagi memberikan sedikit pencerahan tentang teknologi yang digunakan bagi mencari pesawat yang hilang serta jawapan kepada beberapa kenyataan kurang pintar yang muncul secara pukal sejak 36 jam yang lalu. Kami merasakan kami mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberi penerangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam operasi menyelamat ketika ini.
Soalan : Kenapa Google Earth Tidak Digunakan Untuk Mencari Lokasi Pesawat Yang Hilang?
Ini antara tuitan yang kami lihat mula tersebar sejak petang semalam. Ramai yang ketawa dengan cadangan ini tetapi sebenarnya ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. Buat masa sekarang gambar pemetaan Google Earth hanyadikemas kini setiap 1 ataupun 3 tahun bergantung pada lokasi. Di Amerika Syarikat kemas kini ini dilakukan dengan kerap kerana adanya permintaan dari pengguna yang mahukan data terkini dari pandangan angkasa. Di Malaysia kami tidak pasti berapakah kekerapan kemas kini dilakukan tetapi kami mengesyaki ianya mungkin setiap 3 tahun kerana beberapa bangunan yang telahpun siap dibina di Cyberjaya 2 tahun yang lalu masih belum muncul di Google Earth.
Dalam situasi sekarang penggunaan Google Earth untuk membantu proses mencari pesawat yang hilang masih mustahil. Tetapi tahukah anda Google sudah melakukan inisiatif untuk menjadikan ini sebuah realiti. Januari lalu ada Google melakukan pelaburan terhadap 2 syarikat pengimejan satelit Planet Labs dan Skybox. Melalui Planet Lab mereka mahu membantu proses pengimejan terkini kawasan yang dilanda bencana alam yang dilakukan beberapa kali sehari. Ini bagi membantu pihak berkuasa untuk melihat situasi terkini kawasan yang dilanda bencana sekaligus membolehkan mereka memberikan bantuan kepada kawasan yang paling teruk terjejas.
Melalui Planet Labs beberapa satelit nano akan mengorbit bumi bagi memberikan kemasan imej apabila diperlukan. 24 satelit nano Planet Labs sudah dilancarkan setakat ini dengan lebih banyak lagi akan menyusul di masa hadapan. Satelit mini ini hanya seberat 5.7 kilogram. Ia mempunyai ukuran 100 mm × 100 mm × 340 mm dengan dua panel solar 260 mm × 300 mm. Ia akan mengorbit bumi dari ketinggian 800 kilometer.
Skybox pula akan membolehkan anda melihat mana-mana lokasi di bumi secara langsung untuk tempoh masa 90 saat. Teknologi Skybox masih lagi baru dan di bawah ialah video awal yang dibekalkan oleh Skybox. Ia hanya mampu mengambil video hitam putih dengan resolusi 1 pixel semeter. Di masa hadapan apabila teknologi menjadi lebih matang kemampuan menstrim video langsung menerusi Google Earth mungkin akan menjadi realiti.
Jadi jangan ketawakan insan yang menyuruh MAS dan kerajaan Malaysia menggunakan Google Earth bagi membantu proses mencari kerana teknologinya sudah ada cuma masih belum matang dan dicapai oleh umum.
SOALAN : Kenapa kita masih menggunakan kotak hitam? Kenapa data penerbangan dan audio kabin tidak dimuat turun secara langsung ke menara kawalan?
Sebelum bercerita tentang penggunaan Black Box ataupun nama betulnya Pencatat Data Penerbangan (Flight Data Recorder) ada baiknya jika kami menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah “kotak hitam” ini. Rekod awal penggunaan alatan untuk merekod penerbangan pesawat bermula pada tahun 1939 oleh François Hussenot dan Paul Beaudouin. Kamera dipasang pada pesawat bagi merekod cara pesawat diterbangkan oleh juruterbang. Jika kecelakaan berlaku gambar dari kamera boleh diproses untuk melihat saat-saat akhir sebelum pesawat terhempas. Sistem ini mempunyai kelemahan kerana pita filem tidak boleh diguna semula untuk penerbangan seterusnya selepas didedahkan kepada cahaya. Sistem ini adalah mahal dan tidak praktikal. Ia juga tidak merekod audio percakapan juruterbang,
Pada tahun 1956 sistem merekod data penerbangan dicipta oleh David Warren yang berasal dari Australia. Sistem merekod data penerbangan dan audio kokpit pesawat ini dicipta beliau selepas berlakunya insiden 3 kemalangan pesawat DeHaviland Comet, pesawat jet komersial pertama dunia di antara 1953-1954. Beberapa Comet meletup di udara tanpa sebab dan ketiadaan data untuk dianalisa selepas bangkai ditemui menyukarkan proses penyiasatan. Warren merasakan ciptaan beliau, Aircraft Memory Unit dapat membantu siasatan sekiranya kecelakaan seperti ini berulang. Ciptaan Warren tidak menerima sambutan syarikat penerbangan kerana ianya mahal. Ciptaan beliau hanya mula digunakan secara menyeluruh pada 1960 selepas menerima saranan dari badan enkuiri sebuah pesawat terhempas di Queensland. Australia melalui Qantas menjadi syarikat penerbangan pertama yang meletakkan Red Egg (nama baru untuk Aircraft Memory Unit ciptaan Warren) di dalam kesemua pesawat milik mereka.
Sistem Pencatat Data Penerbangan (PDP) yang digunakan sekarang dicipta pada tahun 1963 dan pada asalnya menggunakan pita magnetik yang merekod 30 minit terakhir pesawat secara berulang. Pesawat moden kini dilengkapi sistem penyimpanan data secara digital di dalam cakera solid state.
Jadi mengapa PDP masih lagi perlu dalam betuk fizikal di dalam pesawat sedangkan sistem storan awanan sudah digunakan secara meluas? Jawapannya mudah dan agak sadis. Jika anda membaca artikel ini dari awal perenggan, anda boleh melihat kesemua ciptaan awal sistem merekod data penerbangan ditolak kerana ianya mahal. Jika rekod penerbangan dan audio kokpit distrim secara terus ke storan awanan ia akan melibatkan kos yang tinggi. Syarikat penerbangan tidak sanggup membelanjakan jumlah wang yang besar untuk teknologi baru ini kerana kos operasi sistem ini adalah lebih mahal dari kos membayar pampasan sekiranya pesawat terhempas. Sama ada anda suka atau tidak ini adalah realitinya.
Saranan sistem “kotak hitam” yang digunakan sekarang harus digantikan sudah disuarakan paska serangan 11 September 2001 lagi. Kotak rakaman audio dari American Airlines 77 yang menerobos menara World Trade Centerrosak teruk dan tidak boleh diselamatkan. Sekali lagi saranan penaik tarafan sistem PDP dilakukan pada tahun 2009 selepas berlakunya kecelakaanAir France 447 yang terhempas di tengah laut. PDP pesawat ini hanya berjaya dijumpai selepas hampir dua tahun di dasar laut. Kecelakaan Adam Air 574 Indonesia pada tahun 2007 juga menunjukkan kepincangan sistem PDP yang sedia ada kerana hanya ditemui 8 bulan selepas kemalangan berlaku.
Jelas sekali sekiranya sistem storan awanan secara langsung digunakan pada pesawat MH370, sekurang-kurangnya pihak penyelamat kini boleh mengecilkan saiz kawasan pencarian berdasarkan lokasi GPS terakhir. Data yang disimpan juga kini sudah boleh dianalisa sungguhpun pesawat masih belum ditemui. Kerana sistem yang sudah terbukti pincang sejak 2001 ini masih degil digunakan kerana faktor kos, kita kini terpaksa menanti PDR pesawat ini ditemui bagi merungkai misteri kehilangannya.
Soalan : Mengapa kapal selam TUDM tidak digunakan dalam operasi mencari?
Ini soalan yang menimbulkan kemarahan ramai pihak kerana ramai masih sakit belakang dengan tuduhan kapal selamKD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak milik TLDM adalah dua gajah laut putih yang membazirkan duit negara. Di laman sosial dua pemimpin kanan parti pembangkang dengan nada sarkastik bertanya mengapa kapal selam tidak dihantar ke kawasan pencarian. Sistem sonar kapal perang ini tidak boleh digunakan untuk mencari pesawat yang mungkin menjunam ke dasar laut?
Pertama mari kita mulakan dengan sebuah analogi. Katakanlah anda ingin memotong sebuah kertas A4. Anda mempunyai pilihan menggunakan gunting atau sistem pemotong menggunakan laser. Yang mana satukah yang anda akan pilih untuk gunakan untuk memotong kertas? Sekiranya anda praktikal dan waras anda akan memilih gunting. Sekiranya anda suka melakukan sesuatu dengan cara susah dan tidak praktikal anda akan memilih menggunakan sistem pemotong laser.
Analogi ini kami gunakan dalam persoalan mengapa kapal selam TLDM tidak digunakan dalam pencarian MH370. Ketika artikel ini ditulis 44 kapal bantuan dari pelbagai negara luar sudah dikerahkan menjalankan operasi mencari MH370. Ada di antara kapal ini dilengkapi sistem sonar yang ditunda (towed array sonar). Sebagai contoh Singapura menghantar sebuah Corvette kelas Victory dan Frigate kelas Formidable mereka. Kedua-dua kapal perang ini mempunyai fungsi sebagai kapal perang anti kapal selam dan dilengkapi sistem sonar untuk mencari objek di dasar laut. Beberapa lagi kapal bantuan dari Amerika Syarikat dan Vietnam turut dilaporkan mempunyai kemampuan yang serupa. Apakah sonar yang ditunda ini? Sonar yang ditunda ditarik di belakang kapal untuk memeta objek di dasar laut. Sistem ini digunakan dalam penemuan bangkai RMS Titanic oleh Dr Robert Ballard pada tahun 1985. Sistem sonar ditunda ini juga digunakan dalam operasi mencari kapal selam K-141 Kursk yang tenggelam akibat letupan pada tahun 2000.
Jadi apa bezanya dengan sistem yang ada pada kapal selam. Perbezaannya tidak banyak tetapi di sini kita kembali kepada persoalan praktikal. Kapal permukaan (surface ship) boleh bergerak lebih pantas ke dan beroperasi lama pada satu-satu masa berbanding sebuah kapal selam. Kapal selam perang tidak pernah dicipta dengan fungsi kedua untuk bantuan kecemasan. Sebaliknya kapal permukaan dibina dengan fungsi ini terbina. Kerap kita dengar pesawat perang menyelamatkan mangsa kapal karam dan membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan dilanda bencana alam. Di akhir hari kapal permukaan seperti Frigate dan Corvette yang memenuhi Teluk Siam dalah gunting manakala kapal selam adalah pemotong laser. Kedua-duanya boleh digunakan untuk mencari MH370 tetapi dalam keadaan sekarang penggunaan kapal permukaan adalah paling praktikal dan sesuai dengan keperluan operasi (operational needs).
Ada bezanya kapal selam yang dihantar Singapura dengan kapal selam Scorpene milik TLDM? Singapura menghantar kapal selam mini DSAR 6 (Deep Search And Rescue 6) di atas kapal MV Swift Rescue . DSAR 6 mempunyai bahagian hadapan berkaca bagi melihat objek di bawah laut. Umum diketahui Scorpene tidak mempunyai tingkap untuk melihat keluar. DSAR 6 bukannya kapal selam untuk berperang dan mempunyai fungsi yang sangat berbeza dari sebuah Scorpene.
DSAR6 tidak digunakan untuk mencari MH370. Ianya hanya akan digunakan jika bangkai pesawat ditemui bawah laut dan pengesahan visual (visual confirmation) diperlukan dari data yang diterima dari bacaan sonar. Setakat ini cebisan pesawat tidak lagi ditemui apakan pula bangkai pesawat di dasar laut. DSAR 6 akan kekal di atas dek kapal MV Swift Rescue sehinggalah ianya diperlukan.
Bagaimana pula dengan penggunaan kapal selam Émeraude oleh kerajaan Perancis dalam pencarian Air France 447 pada tahun 2007? Ini situasi berbeza. Air France 447 dikhuatiri tenggelam di kawasan dengan kedalaman mencecah4700 meter dan kawasan laut dengan ombak bergelora. Bandingkan situasi ini dengan keadaan di Teluk Siam yang mempunyai kedalaman maksimum 80 meter sahaja! Penggunaan kapal permukaan di sini adalah kurang selamat. Semasa proses mencari majoriti operasi mencari dilakukan menggunakan pesawat P3 Orion (pesawat yang sama digunakan untuk mencari MH370) dan Embraer R99. Émeraude hanya digunakan untuk mengesan bunyi sistem pengesan automatik dari PDP Air France 447 kerana sistem pengesan bunyi yang digunakan kapal selam nuklear ini bersesuaian dengan kehendak operasi.
Jadi ingin kami jelaskan tidak timbul isu kenapa Scorpene tidak digunakan untuk operasi mencari MH370 . Tiada keperluan untuk kapal selam TLDM itu dihantar ke Teluk Siam sedangkan aset yang lebih sesuai dan praktikal sudahpun digunakan. Kenapa perlukan pemotong laser sekiranya gunting sudah cukup sempurna bagi menjalankan tugasan.
Kami berharap artikel pendek ini dapat menjawab persoalan anda dan memberikan pencerahan yang jelas tentang penggunaan teknologi dalam mencari MH370.
0 ulasan:
Catat Ulasan