Social Icons

Sabtu, 8 Mac 2014

Pesawat MAS Belum Dapat Dijejaki - Syarikat Penerbangan Dunia Beri Perhatian Kepada Boeing 777-200


Gambar pesawat MAS Boeing 77-200 MH370 yang hilang. 
 
Laporan Bernama:
KUALA LUMPUR – Tumpuan dunia kini terarah kepada MH370 Boeing 777-200 yang dilaporkan hilang, pesawat kerangka luas dengan enjin berkembar yang diterbangkan oleh Malaysia Airlines (MAS), membawa 239 penumpang dari 15 negara berbeza.

Pesawat 777-200 itu, yang dikeluarkan oleh satu daripada pengeluar pesawat terkemuka dunia, Boeing Commercial Airplanes, dianggap sebagai salah satu pesawat paling popular dan selamat di dunia. Ia merupakan satu daripada model paling laris Boeing dan menjadi pilihan utama syarikat penerbangan berikutan keupayaannya untuk terbang bagi jarak yang sangat jauh. Penerbangan paling lama yang ia mampu ialah lebih daripada 18 jam.

Dengan hanya dua enjin, pesawat itu membakar kurang bahan api berbanding pesawat empat enjin dan boleh terbang sehingga setinggi 12,779 km, atau 6,900 batu nautika, dengan kapasiti tempat duduk 282 penumpang.

MAS berkata hari ini penerbangan MH370, perkongsian kod bersama China Southern Airlines, yang terputus hubungan komunikasi di Laut China Selatan, membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal.

Syarikat penerbangan itu mengumumkan pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan untuk mengesan pesawat tersebut yang dilaporkan hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Boeing dalam satu kenyataan dari Seattle berkata ia menubuhkan satu pasukan untuk menyediakan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa yang sedang menyiasat kehilangan pesawat tersebut.

MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi waktu tempatan dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.

Pesawat yang hilang itu merupakan satu daripada 15 pesawat Boeing 777-200s MAS. Model 777 pertama, 777-200, memulakan operasi pada 1995 dengan United Airlines sebagai syarikat penerbangan pertama menggunakan perkhidmatannya.

Sejak itu, empat model 777 tambahan telah dilancarkan termasuk model lebih panjang pada Februari 2000. – Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text