Social Icons

Isnin, 31 Mac 2014

Andaian Apa Yang Berlaku Pada MH370 Akan Terus Wujud

Dalam keadaan pelbagai teori masih berlegar di media dan internet, apa yang sebenarnya berlaku pada MH370 akan terus menjadi tanda tanya. Jawapannya kekal tiada siapa yang tahu dengan pasti.

Keputusan kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan MH370 di Lautan Hindi pada kedudukan 1,900km daripada Perth juga tetap mengundang kontroversi. Kebanyakan waris mangsa terus kekal tidak meyakini sepenuhnya apa yang diumumkan selagi tidak ditemui bangkai pesawat dan mayat mangsa.

Ya, 1001, andaian boleh dikeluarkan dan 1001 peristiwa mungkin terjadi. Apa yang penting, pihak kerajaan teruskan usaha membuktikan benarnya pesawat itu sedang terdampar di perut lautan sedalam 3 - 4km di bawah laut! Biarlah berapa kos pun yang perlu ditanggung, kredibiliti kerajaan sepatutnya di pertahankan.

Sokongan Perdana Menteri Australia yang turut mengesahkan lokasi hilangnya MH370 adalah sama seperti diumumkan Dato' Seri Najib diharapkan akan membantu meyakinkan masyarakat dunia dan keluarga mangsa dengan kenyataan apa yang terjadi.



Perdana Menteri Australia Tony Abbott mempertahankan pengumuman rakan sejawatannya dari negara ini Datuk Seri Najib Razak bahawa penerbangan MH370 “berakhir” di Lautan Hindi. Pengumuman tersebut, yang dipersoalkan oleh waris penumpang di China, merupakan kesimpulan dari sejumlah besar bukti, kata Abbot seperti dipetik dalam laporan akhbar Telegraph.

"Himpunan bukti menunjukkan pesawat tersebut hilang dan ia hilang di satu tempat di selatan Lautan Hindi. Itu adalah gelombang bukti yang amat besar dan saya rasa Perdana Menteri Najib Razak amat berhak membuat kesimpulan itu, dan saya fikir sebaik kesimpulan itu dibuat, beliau bertanggungjawab mengumumkannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Para waris penumpang dari China mula tiba di negara ini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan untuk mendengar permohonan maaf dari Najib atas pengumuman tersebut. ~mk

Berkaitan dengan apa yang diumumkan Tony Abbott itu sila baca pula apa yang ditulis dalam sebuah BLOG seperti berikut:

MH370: Memang ini rahsia paling besar yang bakal meletup!!

MH370: TERDAPAT 5 EJEN AMERIKA DAN ISRAEL MATIKAN TRANSPONDER PESAWAT MH370?

Amerika telah keluar daripada Afghanistan, salah satu sistem kawal dan perintah (command and control system - CNC) mereka (yang digunakan untuk mengawal Drone tanpa pemandu) telah dirampas oleh Taliban ketika konvoi pengangkutan Amerika sedang bergerak ke bawah dari salah satu pangkalan di atas bukit.

Taliban menyerang hendap konvoi tersebut dan membunuh 2 kakitangan Navy Seal Amerika, merampas peralatan/senjata, termasuk CNC yang beratnya 20 tan dan dimasukkan ke dalam enam peti. Peristiwa ini berlaku lebih kurang sebulan yang lalu pada Februari 2014.

Apa yang Taliban mahu ialah wang. Mereka mahu menjual sistem CNC tersebut kepada Rusia atau China. Rusia terlalu sibuk dengan urusan di Ukraine. China pula amat dahagakan teknologi sistem ini. Bayangkan jika China dapat menguasai teknologi di belakang sistem CNC ini, semua Drone Amerika akan tidak berguna lagi. Oleh itu China telah menghantar lapan saintis pakar pertahanan mereka untuk memeriksa sistem yang dirampas tersebut dan bersetuju untuk membayar jutaan dollar untuk itu.

Sekitar awal Mac 2014, lapan saintis China tersebut bersama 6 peti melakukan perjalanan mereka ke Malaysia, dengan berpendapat laluan ini adalah yang terbaik untuk mengelakkan dari dikesan. Kargo ini kemudian disimpan dalam Kedutaan China di bawah perlindungan diplomatik. Sementara itu, Amerika dengan bantuan perisikan Israel, bersama-sama merangka pelan untuk memintas dan menawan semula kargo tersebut.

China berfikiran adalah lebih selamat untuk mengangkut kargo tersebut menggunakan pesawat awam untuk mengelakkan syak wasangka. Lagipun penerbangan terus dari KL ke Beijing mengambil masa hanya 4 jam setengah, dan Amerika dipercayai tidak akan merampas atau memudaratkan pesawat awam itu. Jadi MH370 adalah pilihan yang terbaik.

Terdapat 5 agen Amerika dan Israel, yang sudah biasa dengan operasi Boeing 777 di dalam pesawat ini. 2 warga "Iran" dengan pasport curi kemungkinan diantaranya. Sebaik sahaja MH370 meninggalkan ruang udara Malaysia dan melapor diri kepada kawalan udara Vietnam, satu pesawat AWACS Amerika telah menyekat isyarat komunikasi mereka (jammed the signal), mematikan sistem kawalan juruterbang dan menukar kawalan kepada mod kawalan jauh (remote control). Pada ketika itu pesawat hilang ketinggian secara tiba-tiba untuk seketika.

Bagaimana AWACS boleh melakukannya? Ingat peristiwa 911? Selepas peristiwa itu, semua pesawat Boeing (Airbus dan mungkin semua) dipasang dengan sistem kawalan jauh untuk menentang rampasan pesawat oleh pengganas. Sejak itu semua Boeing boleh terbang dengan kawalan jauh oleh menara kawalan di daratan. Sistem kawalan jauh yang sama digunakan untuk mengawal pesawat pengintip tanpa pemandu dan Drone.

Seterusnya, 5 agen Amerika dan Israel mengambil alih kawalan pesawat, mematikan transponder dan sistem komunikasi yang lain, mengubah laluan dan terbang ke arah barat. Mereka tidak terbang timur, ke Filipina atau Guam kerana Laut China Selatan dan keseluruhan ruang udaranya diawasi sepenuhnya oleh radar dan satelit pengawasan China. Radar tentera Malaysia, Thailand dan India sebenarnya telah mengesan pesawat yang tidak dikenali itu tetapi seperti dijangka mereka bertindak balas secaratidak profesional.
Pesawat itu kemudian terbang ke atas Sumatera Utara, Anambas, India Selatan dan kemudian mendarat di Maldives (beberapa penduduk kampung menyaksikan pendaratan pesawat), mengisi minyak dan meneruskan penerbangannya ke Deigo Garcia, Pangkalan Udara Amerika di tengah-tengah Lautan Hindi.

Sebaik mendarat, kargo dikeluarkan dan kotak hitam ditanggalkan. Penumpang disenyapkan (dibunuh) melalui kaedah secara semula jadi, iaitu kekurangan oksigen. Mereka percaya hanya orang mati sahaja yang tidak akan membocorkan rahsia.

Pesawat MH370 dengan penumpang yang sudah mati sekali lagi berlepas dan diterbangkan dengan kawalan jauh menuju selatan Lautan Hindi, untuk menjadikan orang percaya bahawa pesawat kehabisan minyak dan akhirnya terhempas ke lautan, dengan menyalahkan kapten dan pembantu juruterbang yang degil.

Amerika telah melakukan persembahan yang baik. Pertama, mereka mengalihkan semua perhatian dan usaha carian di Laut China Selatan padahal MH370 terbang ke arah barat ke Lautan Hindi. Kemudian mereka dengan bantuan media-media mereka telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan bukti-bukti untuk mengelirukan dunia. Australia memainkan peranan sebagai pembantu pelakon.

Jika dilihat usaha yang dibuat oleh China, dari segi bilangan pesawat carian, kapal dan satelit, mula-mula mencari di Laut China Selatan, kemudian di Selat Melaka dan Lautan Hindi, ini agak luar biasa. Ini menunjukkan bahawa China amat prihatin, bukan kerana ramainya penumpang awam China, tetapi lebih kepada nilai tinggi kandungan pesawat dan nyawa lapan ahli-ahli sains pertahanannya.

Jangan percaya cerita? Saya tidak mengharapkan anda untuk mempercayai tetapi mari kita tunggu dan lihat bagaimana episod ini mendedahkan diri akhirnya nanti. Atau mungkin ia tidak akan berlaku sehingga kemunculan Snowden (Edward Snowden – pakar komputer US, bekas kakitangan CIA yang berpaling tadah dan mendedahkan pelbagai program dan dokumen rahsia US).

- Abdul Majid Hasan

Maklumat diatas tidaklah kita ketahui kebenarannya. Banyak juga fakta yang boleh dipertikaikan. Jika diteliti satu persatu hujjah penulis di atas, tidaklah tepat sepertimana yang sewajarnya. Apapun, tulisan di atas masih ada teori yang munasabah dan relevan dengan apa yang terjadi.

Bagi orang lain pula apa yang berlaku mungkin lebih rumit dari yang kita andaikan. Segalanya boleh berlaku dalam dunia moden yang serba kacau ini. Dunia mafia, perisikan, komplot dan konspirasi antara negara atau antara kuasa besar dunia memungkinkan berlaku apa saja dan di mana saja.

Sebagai umat Islam, kita yakin pada takdir Allah swt. Kita juga yakin Tuhan tidak lakukan sesuatu yang sia-sia. Untuk negara kita Malaysia, rasanya kita berada dalam situasi yang selamat. Negara kita adalah negara yang diberkati. Tidaklah mudah sebarang kuasa besar memperkotak-katikkan kita.

Bila dikatakan negara kita, negara yang diberkati, asasnya terletak kepada sejarah negara kita dibentuk. Doa daripada para kekasih Allah di bumi Tanah Melayu ini sangat memberkati bumi yang subur ini. Bermula dengan Semenanjung Emas, negara ini sudah menjadi 'dara pingitan' seluruh kuasa besar dunia. Walaupun mereka sempat menjajah kita tetapi perjuangan yang dipelopori ramai para pejuang yang berjasa telah berjaya membebaskan negara kita.

Amanah para pejuang inilah yang mesti kita pikul dengan penuh tanggung jawab. Kita serahkan nasib negara ini kepada Tuhan yang menguasai alam. Dia tahu bagaimana membebaskan negara ini dari semua kemelut yang merosakkan. Sebaik-baik insan yang menerima musibah ialah orang yang bertaubat dan menginsafi diri.

Jika kita serius membaiki diri dengan taubat dan meminta ampun padaNya serta berjanji untuk kembali taat padaNya, nanti kita akan saksikan keajaiban yang Tuhan akan lakukan. Tidak ada siapa yang mampu menghalang pembongkaran dari Tuhan. Hanya masa yang akan menentukan.

MARILAH KITA BERUBAH!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text