Social Icons

Ahad, 16 Mac 2014

MH370 - Malaysia Berdoa - Panduan Baiki Diri

 
Marilah kita terus membaiki diri. Diri kita sudah lama rosak oleh nafsu, syaitan dan sistem yahudi yang sangat menguasai dunia masa kini. Memikirkan hal diri sendiri lebih utama dan penting kerana diri kita yang akan menanggung segalanya di akhirat. Jika kita ketua keluarga, perhatikanlah tanggung jawab kita terhadap anak isteri dan keluarga kita. 
 
Putaran dunia akan terus berjalan. Peristiwa demi peristiwa akan terus datang dan berlalu. Semuanya terakam dalam sejarah dan akan diputar semula di akhirat. Setiap orang akan mengetahui nasibnya sebaik menempuh kematian. Jika husnul khatimah itulah pertanda keselamatan untuknya di akhirat. Tetapi berapa ramaikah manusia yang boleh selamat? 

Manusia lebih ramai berganda-ganda dihumban ke neraka. Orang-orang pilihan yang masuk syurga hanya sedikit. Tuhan maha adil. Pengadilan Tuhan sangat terperinci, telus dan diakui oleh setiap pesalah sebagai adil dan layak mereka dihukum. Hanya yang benar-benar beruntung sahaja yang akan terdorong mencari, mendapatkan dan berpegang dengan kebenaran sehingga dia mati. 

Manusia yang beruntung dan berjaya itu dapat dikenali melalui tindak balasnya terhadap ujian Tuhan. Apa sahaja kesulitan, penderitaan, kesedihan, keperitan dan kesusahan yang Tuhan timpakan padanya dapat dilepasinya dengan jiwa dan sikap positif; Semuanya dirasakannya baik dan perlu untuk dirinya. 
 
Bagaimana seseorang boleh rasakan ujian perlu untuk dirinya? Adakah sebagai manusia kita diminta pasrah dengan semua keadaan dan tidak berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah kita? Benarkah ajaran sebegini?

Jawabnya, ya! Sememangnya kita diminta untuk menerima semua yang Tuhan datangkan dengan sepenuh penyerahan reda dan terima apa sahaja dari Tuhan. Memang kita diminta berusaha bersungguh-sungguh sedaya yang termampu tetapi serahkanlah keputusannya kepada Tuhan. Jika Dia mengizinkan, berlakulah apa yang kita inginkan. 
 
Jika Dia mahukan sebaliknya, terimalah sebagai suatu yang baik untuk kita kerana jika kita ikhlas berusaha, Tuhan akan gantikannya di akhirat. Apa yang dikurniakan Tuhan untuk kita di akhirat tidak terkira gandaannya. Kita tunggulah habuan-habuan di akhirat dengan bersikap reda atas apa jua ketentuanNya di dunia. Allah maha tahu untuk menyimpankan 'simpanan tetap yang berganda-ganda' bagi keselamatan kita di saat manusia menangis meraung meminta dikembalikan ke dunia!!

Surah al-Baqarah ayat 216 : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui".
Perjalanan hidup kita akan terus menuju destinasi yang pasti iaitu mati. Dari situ kita akan meneruskan perjalanan yang tidak ada kesudahan untuk menerima habuan amal baik atau buruk yang kita lakukan. Semuanya bergantung dengan keikhlasan dalam amalan kita. Sama-samalah kita berusaha dan mencari guru yang boleh memimpin dan mendidik kita sepanjang hidup kita. Tanpa guru, tidak mungkin kita akan sampai ke matlamat tujuan.
 
Kes kehilangan MH370 akan terus diperkatakan sehingga diketahui secara sah apa yang berlaku sebenarnya. Selama belum diketahui nasibnya, kita akan terus menanti dan berusaha berdoa agar Tuhan lakukan keajaiban menampakkan apa yang sebenarnya terjadi.

Rakyat Malaysia terutama kaum keluarga mereka yang terlibat akan terus berdoa dan meminta pertolongan Tuhan. Tuhan tentu mempunyai perencanaanNya tersendiri. Dialah Tuhan Yang Maha baik dan sangat menyayangi kita dan semua yang di dalam MH370. Semua doa yang kita panjatkan dengan sesungguh hati tidak akan di tolak. Tuhan mengetahui bagaimanakah hendak diperlakukan kepada MH370 serta semua anak kapal dan penumpangnya. Dan bilakah pula mempertemukan kita dengan mereka. Semua di dalam ilmu Allah.
 
Jika kita benar-benar jadikan peristiwa ini pengajaran dan iktibar untuk pergi lebih jauh dalam mencari Tuhan, tentulah Tuhan ada cara menggembirakan kita. Apa yang perlu ialah sama-sama kita mengajak semua keluarga dan kawan rakan lebih serius baiki diri. Kita jadikan fokus dan tujuan kita adalah Allah dan Rasul. Ingatlah lafaz yang kita ungkapkan setiap kali memulakan sembahyang. Kita berjanji untuk mendahulukan kehendak Alah dan Rasul di dalam hidup kita. Kita jadikan inilah perjuangan hidup mati kita. 
 
Apa yang dimaksudkan dalam membaiki diri itu ialah melakukan perkara berikut......
1)  Bertaubat dan menyesali apa jua kesalahan yang telah kita lakukan dan berazam untuk 
      terus meninggalkannya serta berazam melakukan ketaatan kepada Allah.
2)  Memelihara sembahyang fardhu di awal waktu secara berjemaah
3)  Mendapatkan ilmu - lepasi sekurang-kurangnya di tahap Fardhu Ain.
4)  Mencari guru atau pembimbing yang khusus dalam membaiki diri dan membimbing kita.
5)  Bina keyakinan dengan apa yang dipelajari dan yang diamalkan. Amalkan semuanya 
      dalam keadaan bersungguh-sungguh mempersembahkannya ke hadhrat Allah SWT agar 
      dinilai sebagai satu ibadah - mendekatkan diri kita padaNya
6)  Lakukanlah amal ibadah serta kebaikan dalam segenap sudut secara istiqamah. Biarlah 
      sedikit amalan tetapi ianya dilakukan secara berterusan.
7)  Pelihara diri dari melakukan dosa secara lahir ataupun secara batin (maknawi). dosa lahir 
      itu seperti meninggalkan sembahyang, mencuri, mengumpat, mengeji, bergaduh dan 
      sebagainya. Manakala dosa batin itu ialah seperti lupa Tuhan dan rasul, lupa akhirat,    
      tidak ingatkan kematian, berburuk sangka, gila dunia, hasad dengki, sombong, hairan 
      dengan kebaikan diri, cinta glamor, suka dipuji, rasa marah jika dikeji dan sebagainya.
8)  Bangun mengerjakan solat malam seperti solat taubat, solat tahajjud, solat hajat, solat witir, 
      membaca Al-Quran, berselawat, berdoa dan sebagainya.
9)  Membanyakkan sedekah, menderma dan menolong orang lain. Jadikan sikap suka 
      menolong orang dalam apa bentuk sekalipun sebagai ciri peribadi kita. Insya Allah ianya 
      membantu memustajabkan doa yang kita mohon.
10) Memberi perhatian serius pada amanah dan tanggung jawab yang dipikulkan kepada kita. 
       Antaranya amanah mendidik dan membimbing anak isteri kita ke jalan Allah. Amanah 
       terhadap saudara mara, orang susah, orang teraniaya, amanah dalam pekerjaan dan apa 
       saja yang bersangkutan dengan agama, masyarakat dan negara.

Ya Allah! Engkaulah keselamatan, dariMu lah keselamatan dan kepadaMu lah kembalinya keselamatan. kami mohon, Engkau rezekikanlah kami kematian husnul khatimah - hanya itulah kematian yang menyelamatkan seperti yang Engkau khabarkan kepada kami!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text