Social Icons

Rabu, 12 Mac 2014

Malaysia Berdoa - Transformasi Rohani Yang Sangat Laju - Catusan Positif Daripada Kehilangan MH370

 
       
 
Malaysia sedang melalui fasa baru dalam transformasi yang digerakkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. Transformasi yang asalnya mungkin berbentuk lahiriah atau material, sekarang berubah kepada transformasi berbentuk rohani atau spritual. 

Mungkin ianya terjadi secara tidak dirancang tetapi ternyata Tuhan menghendaki sebegini. Sekurang-kurangnya suasana "Malaysia  Berdoa" ada di mana-mana dan ianya memang suatu yang serius. Suasana "Malaysia Berdoa" inilah yang dimaksudkan transformasi rohani yang sebenarnya lebih bermakna dan utama. 

Disamping transformasi dalam bidang lain terus berjalan sesuai seperti dirancang, kelihatannya Tuhan mempunyai caraNya yang tersendiri menggerakkan satu transformasi rohani secara besar-besaran untuk rakyat, pemimpin dan negara Malaysia tercinta. 

Kuasa Tuhan telah lakukan sesuatu kepada pesawat MH370 yang sehingga hari ke enam ini, kita belum tahu apa yang terjadi. Semua terdorong mendekatkan diri dengan Tuhan - untuk berdoa, merintih-harap padaNya. Hanya padaNya kita meminta, hanya padaNya kita memohon pertolongan.

Apa yang jelas, fenomena "Malaysia Berdoa" ada di mana-mana. Tentulah situasi sebegini mahu kita kekalkan walaupun akhirnya kita dizinkan Tuhan menemui semula MH370. Hendaknya, hubungan hati yang pasrah dengan Tuhan akan terus berjalan. Suasana ini sangat indah dan membahagiakan malah menguntungkan masyarakat. 

Sekurang-kurangnya kerosakan sosial dapat dibendung. Jika momentum ini dapat dimanfaatkan, transformasi rohani secara menyeluruh dapat digerakkan dalam pelbagai sudut. Hasilnya akan memberi impak yang besar kepada transformasi lahir yang bersifat kebendaan.

Sesungguhnya apa jua pergerakan manusia yang lahir, terhasil daripada perubahan yang terjadi di dalam dirinya. Bukankah Tuhan menyebutnya di dalam Al-Quran: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah (terlebih dahulu) apa yang ada di dalam diri-diri mereka."

Semua pihak sedang 'diproses' sedikit demi sedikit untuk bersetuju dengan kenyataan bahawa kuasa Tuhan itulah yang mesti kita akui. Kita hanya makhluk ciptaanNya yang maha lemah. Tidak ada sekelumit pun kuasa dan upaya pada diri kita. 

Walaupun ada di kalangan kita yang dizinkanNya berselimut dengan 'selimut kekuasaan', tetaplah yang maha kuasa adalah Dia. Jika kita diberi 'kuasa', ianya hanya pinjaman dan ujian. Hakikatnya kuasa bukan milik kita. Kita adalah hamba yang tidak pernah mungkin berupaya memiliki sesuatu apa pun. 

Kejadian MH370 ini adalah 'proses Tuhan' untuk menyedarkan kita semua tentang apa yang ada pada diri kita dan apa pula yang tiada. Sebenarnya sebagai manusia, kita hanya memiliki kelemahan, kesilapan, kekurangan, kedhaifan dan pelbagai cacat cela. Yang tidak ada pada kita ialah kekuasaan, keupayaan, kekayaan, kegagahan serta pelbagai elemen serba mampu.

Jika kita tidak punya apa-apa sepatutnya kita tidak sombong dengan Tuhan. Kita sepatutnya faham dan mengaku betapa perlunya kita merujuk dengan Tuhan. Kita sepatutnya rasa malu dalam mengurus dan mentadbir masyarakat dan negara tanpa mahu serius dengan Tuhan. Dan jika kita masih belum mahu tunduk dengan kekuasaanNya, maka Tuhan ada cara 'memaksa' kita kembali padaNya.

Jika kita membaca dan memerhati apa yang dipaparkan media dalam 6 hari terakhir ini, kita akan dapat mengukur graf pengakuan semua pihak terhadap kuasa Tuhan, meningkat dari hari ke hari. Tentu ada di kalangan kita yang masih ingat, tajuk-tajuk akhbar serta paparan berita sejak hari pertama hingga ke hari keenam ini. 

Pada hari-hari awal insiden hilangnya MH370, semua sibuk bercakap tentang pelbagai aspek teknikal. Bermacam teori dan analisa dihamburkan dalam menanggapi apa yang berlaku dari sudut logik - sekira-kira akal sihat manusia berupaya memahaminya. Maka setiap orang bercakap tentang begitu begini yang semuanya hanya mengagak. Walaupun setiap teori yang dihuraikan itu berdasarkan 'clue' atau pertunjuk yang mendorong itu semua, semuanya berkesudahan dengan hampa malah kecewa. 

Keluarga mangsa yang terlibat menanggung penderitaan menunggu ini dengan perasaan yang lebih terbeban dan tertekan. Semua yang diusahakan seolah-olah kita tidak berbuat apa-apa kerana hasilnya tiada. Apa sahaja cerita atau khabar yang dikeluarkan dalam media, hanyalah penyedap mata dan telinga tetapi tetaplah sangat  tidak memuaskan hati. 

Kesudahannya, apa jua berita berbentuk sedemikian sudah tidak menarik minat lagi. Berita sebegini tertolak kerana ianya menjadikan hati rasa tidak puas. Ada kekosongan yang menghampakan. Manusia perlukan ulasan berita yang hati masing-masing dapat menerimanya. Rupa-rupanya apa yang hati mahu ialah kita menerima ini semua sebagai suatu yang datang dari Tuhan. Hati akan merasa puas mendengar kenyataan ini. 

Walaupun sedih, manusia boleh menerima hakikat kuasa dan taqdir Tuhan. Maka itulah yang berlaku sehingga akhirnya hari demi hari, tajuk-tajuk berita di media berubah sedikit demi sedkit. Semua boleh menerima apabila dibawa kepada satu keyakinan bahawa inilah dia KUASA TUHAN!!

Apa yang menarik, proses untuk sampai ke tahap yang ada iaitu "Malaysia Berdoa" adalah satu transformasi rohani yang sangat laju. Hanya beberapa hari, rakyat Malaysia sudah pandai untuk bermunajat, merintih, berdoa dan mengadu kepada Tuhan. Tangisan dan air mata yang terurai keluar bukan lagi hanya di kalangan keluarga mangsa bahkan semua rakyat Malaysia sedang diresapi rasa bersama menanggung penderitaan ini. 

Justeru ungkapan kata-kata memohon dan merayu kepada kuasa maha agung ini berlaku secara menyeluruh. Tentulah Tuhan maha mendengar dan maha mengetahui semuanya. Sampai bilakah Malaysia akan terus menangis dan menangis mengharapkan berlakunya keajaiban? Apakah syarat yang Tuhan minta kita tunaikan agar doa dan permintaan kita diterimaNya? (Ya Allah tunjukkan kepada kami apa yang perlu kami lakukan seterusnya....)

Tentulah kita semua sangat ingin mengetahui apa yang Tuhan mahukan dari kita ekoran taqdir yang dilakuNya ini..... Pak Lang tinggalkan paparan ini kali ini dengan pertanyaan di atas dengan harapan para pembaca sekelian sudi menitipkan komen masing-masing. (Sila nyatakan komen di ruangan yang disediakan di bahagian bawah paparan). 

Nyatakan apa yang perlu kita lakukan agar doa dan munajat kita, diberi perhatian khas oleh Allah SWT. Tentunya ada beza dan  kelainan pada doa yang dilafazkan kerana Tuhan meletakkan syarat-syarat tertentu agar doa kita diterimaNya. Untuk MH370 apakah yang perlu kita lakukan seterusnya dan seterusnya? Sampai bilakah kita begini? Sila komen....

 
Gambar hiasan: Burung Cenderawasih - Burung dari langit!!

3 ulasan:

  1. Kita melihat ini jelas sperti kata2 kapten nuruddin,iaitu mesti dimulakan dgn taubat, puji-pujian membesarkan Allah dan seterusnya merayulah padaNYA.. karnival jom heboh rakyat mlysia boleh meriahkannya, kenapa tidak kerajaan anjurkan program Khas MH370 ini secara besar-besaran di stadium bukit jalil sperti program SELAWAT Ya HAnaNa..

    BalasPadam
  2. Salam, tuan. KepunyaanNya lah segala yang dilangit dan di bumi dan diantara kedua nya. Kita hanya mampu memohon dan merintih belas kasihanNya. Teruskan berdoa. Ini saja yang mampu kita lakukan, for now.

    BalasPadam
  3. Pertama sekali yg paling penting hati kita harus ikhlas dngn transformasi rohani ini, beri akujanji pd Allah swt mohon belas kasihan NYA menerima taubat kita dn brikrar untuk brtaubat nasuhah, mohon perlindunganNYA dari tipu daya dunia yg mengasyikkn dn pohon dijaga hati kita jgn digelincirkn stlh kita mndpt petunjuk dn hidayah dariNYA. "Sesungguhnya hanya kpd MU aku berlindung Ya Allah, hanya kpdMU aku berserah, segala urusan duniawiku atas kehendak MU Ya Allah, hanya kasih MU dn keredhaan MU yg ku harapkn.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text