Ahmad Seth Zaharie, anak bongsu juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah tidak mengendahkan spekulasi negatif terhadap bapanya kerana katanya, beliau lebih kenal siapa bapanya, lapor akhbar Berita Harian, hari ini.
Ahmad Seth, 26, berkata beliau membaca semua berita spekulasi dan teori yang tersebar luas di laman sosial, termasuk tuduhan bapanya merampas pesawat yang hilang pada 8 Mac itu. Dalam pertemuan 5 minit dengan wartawan akhbar itu, Ahmad Seth yang juga pelajar jurusan Bahasa Jepun di sebuah kolej swasta berkata, apa yang dibacanya tidak meninggalkan kesan di hati kerana beliau lebih kenal bapanya, berbanding orang lain.
“Apa yang saya baca langsung tidak meninggalkan kesan di hati dan saya tidak mempedulikan spekulasi itu kerana sebagai anak, saya lebih mengenali beliau berbanding orang lain."
“Walaupun saya tidak begitu rapat dengannya kerana ayah terlalu sibuk bertugas, kami memahami antara satu sama lain,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Selepas lebih seminggu pesawat itu hilang, siasatan terhadap juruterbang dan anak kapal serta semua penumpang dijalankan dengan lebih giat.
Polis turut memeriksa rumah Zaharie dan pembantu juruterbang, Pegawai Pertama Fariq Abd Hamid serta merampas simulator penerbangan milik Zaharie sebelum dipasang semula di balai polis untuk membantu siasatan.
Zaharie juga dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dikatakan sebagai pengikut fanatik ketua pembangkang itu dan turut berada di mahkamah untuk mendengar keputusan berhubung kes liwat Anwar, sehari sebelum pesawat MH370 berlepas ke Beijing.
Bagaimanapun, sehingga kini, hasil siasatan mendapati tiada motif dapat dikaitkan antara Zaharie dengan tindakan merampas pesawat atau mematikan sistem komunikasi dan transponder MH370.
Ahmad Seth berkata, beliau tenang dan tidak terkejut ketika mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pesawat itu yang berakhir di tengah Lautan Hindi.
“Saya hanya akan percaya mengenai pengumuman pesawat (terhempas) selepas pasukan penyelamat menjumpai bukti seperti serpihan pesawat atau mayat.
Selagi tiada pengesahan dan saya tidak melihatnya dengan mata saya sendiri, saya percaya ayah masih hidup,” katanya.
Berita Harian melaporkan pencarian keluarga Zaharie sejak kehilangan MH370 hampir menemui jalan buntu selepas isterinya, Faizah Khanum Mustafa Khan dan anaknya dikatakan keluar dari kediaman mereka di Seksyen 13, di Shah Alam, selepas pesawat dilaporkan hilang.
Ahmad Seth berkata, ibunya kini tinggal bersama-sama ibu saudaranya.Beliau berkata, aktiviti hariannya berjalan seperti biasa dan kelas tidak terganggu kerana perkara itu.
“Saya lebih senang menghabiskan masa bersama rakan, tambahan pula kelas di universiti baru bermula. Maaflah, ada kawan di dalam, saya perlu melayan mereka,” katanya sebelum mengakhiri pertemuan seperti dilaporkan akhbar itu.MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac lalu selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang bagi perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pada isnin, perdana menteri mengumumkan berdasarkan analisis data satelit daripada Inmarsat, pesawat milik Malaysia Airlines itu mengakhiri perjalanannya di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, dengan tiada kawasan pendaratan yang berhampiran. ~tmi
0 ulasan:
Catat Ulasan