Social Icons

Isnin, 15 Februari 2016

Leftenan Muda Adnan bin Saidi - Pertempuran Pasir Panjang 13-14 Feb 1942.

Leftenan Muda Adnan bin Saidi - Pertempuran Pasir Panjang 13-14 Feb 1942.

Allahyarham  Lt Muda Adnan bin Saidi berasal dari Kajang, Selangor. Semasa Perang Dunia Kedua, beliau mengetuai Platun 7, Kompeni C, 1 Rejimen Askar Melayu (sekarang dikenali sebagai Rejimen Askar Melayu DiRaja).

Pada 13 Feb 1942, tentera Jepun menyerang Pasir Panjang. Mereka cuba menyamar sebagai pasukan askar Punjabi. Mereka mahu mengelirukan pasukan askar Melayu bawah Lt M Adnan Saidi supaya mereka dapat menawan Pasir Panjang dengan mudah. Walau bagaimanapun taktik penyamaran ini gagal kerana Lt M Adnan Saidi menyedari dan dapat mengenali mereka bukan dari pasukan askar Punjabi. Lt M Adnan mengarahkan anak buahnya melepaskan tembakan terhadap pasukan askar Jepun yang menyamar tadi.

Serangan itu menyebabkan ramai askar Jepun terbunuh dan cedera. Namun begitu, askar Jepun terus mara dengan ketibaan pasukan bantuan dan tambahan menggantikan askar Jepun yang ramai terbunuh dan cedera tadi. Pasukan Lt M Adnan Saidi pula terus bertempur dan bertahan walaupun jumlah askar Jepun yang tiba jauh lebih ramai daripada pasukan Lt M Adnan Saidi. Lt M Adnan Saidi enggan menyerah kalah dan mengarahkan anggota platunnya terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. 

Platun Lt M Adnan berjaya menghalang kemaraan askar Jepun selama dua hari walaupun mereka kekurangan peluru dan makanan. Ketika itu ramai anggota bawahan beliau telah terkorban dan cedera sepanjang bertahan selama dua hari tersebut. Lt M Adnan sendiri mengalami kecederaan akibat ditembak. Walaupun dalam keadaan cedera parah, beliau enggan mengalah dan menyerah diri kepada Jepun. Beliau mahu membuktikan bahawa askar Melayu pantang berundur dan menyerah kalah dalam perjuangan.

Tentera Jepun dengan bilangan yang amat ramai menggunakan segala apa yang mereka ada untuk menewaskan platun Lt M Adnan Saidi. Dalam 2 jam yang terakhir pertempuran, pasukan tentera Jepun melakukan serangan all-out untuk menewaskan pasukan Lt M Adnan Saidi. Dalam keadaan kekurangan peluru, pasukan Lt M Adnan menggunakan segala apa senjata yang mereka masih ada seperti pistol, bom tangan, malah bayonet secara hand-to-hand bertempur dengan tentera Jepun, membuatkan tentera Jepun merasa marah yang teramat sangat dengan Lt M Adnan Saidi.

Tentera Jepun akhirnya berjaya menewaskan pasukan Lt M Adnan Saidi. Disebabkan kebencian dan kemarahan yang teramat sangat terhadap keberanian Lt M Adnan, tentera Jepun bertindak kejam dengan menyeksa Lt M Adnan.

Mubin, bekas anggota Rejimen Askar Melayu dan POW, menceritakan, “Lt M Adnan menentang askar Jepun yang jauh lebih ramai bilangannya. Askar Jepun melontarkan bom kepada beliau, tapi beliau tetap melawan balik dan berjaya membunuh lebih ramai askar Jepun. Beliau takkan sesekali menyerah diri dan mengalah dalam apa keadaan sekalipun. Malah sebelum bertempur, beliau telah menekankan motto ‘BIAR PUTIH TULANG, JANGAN PUTIH MATA’ kepada anak buahnya.

Korperal Yaakub, yang cedera dan kemudian jatuh di atas mayat askar Melayu yang lain (disangka telah mati oleh askar Jepun) menceritakan bahawa dia telah melihat askar Jepun mengheret Lt Adnan yang berjaya ditawan dalam keadaan cedera parah. Askar Jepun kemudiannya bertindak menggantungkan atas pokok tubuh Lt M Adnan secara terbalik. Selepas itu askar Jepun secara beramai-ramai menikam tubuh badan Lt M Adnan Saidi dengan bayonet secara bertubi-tubi kerana terlalu marah dan bencikan Lt M Adnan yang enggan menyerah diri dan telah membunuh begitu ramai askar Jepun.

Sepanjang pertempuran Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang melibatkan Rejimen Askar Melayu, terutama sekali melibatkan pertempuran paling sengit dari 12 – 14 Feb 1942, Rejimen Askar Melayu telah kehilangan seramai 159 orang anggota.

Sumber:
1. Alih Bahasa dari FB Commonwealth Military Photos.
2. The Battle of Pasir Panjang Revisited. Oleh Mr Lim Choo Hoon, pensyarah di Military History Branch, SAFTI Military Institute.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text