Social Icons

Selasa, 14 Oktober 2014

Bacalah Berita Cendol Bakar Turun Harga

Cendol Bakar turun harga
ARZIANA MOHAMAD AZAMAN
12 Oktober 2014

Kain rentang yang dipasang di hadapan premis menarik perhatian ramai.

DALAM pada rakyat berdepan kenaikan harga minyak, Cendol Bakar telah melakukan satu perubahan drastik iaitu menurunkan harga 20 sen, sebagai salah satu kelainan terbaru yang ditawarkan untuk pelanggannya.

Promosi potongan harga 20 sen untuk semangkuk cendol dari RM2 menjadi RM1.80 itu diberikan kepada semua pelanggan sehingga 30 Oktober ini melalui kain rentang yang dipasang di hadapan premis yang cukup popular di Kuala Selangor.

Lebih menarik, cendol dengan pelbagai jenis perisa itu turut diberikan secara percuma kepada golongan fakir miskin dengan hanya menunjukkan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kaunter.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lokasi premis jualan Cendol Bakar yang terletak di persimpangan berhampiran Assam Jawa itu cukup sesak dipenuhi orang ramai lebih-lebih pada hujung minggu sehingga terpaksa menggunakan khidmat anggota Rela untuk mengawal lalu lintas.

Bercakap mengenai promosi istimewa itu, pemilik Cendol Bakar, Rifhan Farhan Mohamad Arif, 25, berkata, inisiatif itu dibuat selepas mengambil kira kesusahan rakyat yang berdepan pelbagai bebanan kos hidup, selepas subsidi minyak RON95 dikurangkan. Sebagai peniaga katanya, dia perlu prihatin dengan masalah yang membebani pengguna termasuk mengurangkan harga makanan itu sebanyak 20 sen berbanding harga asal.

“Promosi ini juga boleh memperkenalkan produk cendol kami dengan lebih meluas dan ternyata sambutan diberikan cukup menggalakkan.

“Kain rentang di depan premis memang banyak bantu. Pelanggan pun dapat nikmati cendol dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Kami ini orang biasa saja tapi kena main peranan buat perubahan seperti ini. Dengan cara menurunkan harga boleh bantu kurangkan beban pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tarikan utama gerai

CENDOL Bakar bijak menggunakan promosi. Kain rentang yang mempromosikan pelbagai tawaran kepada pelanggan menjadi nadi utama selain namanya yang unik.

Malah bukan sekadar berniaga, soal kebajikan pelanggan menjadi keutamaan pemiliknya. Cendol Bakar tidak melupakan nasib golongan kurang berkemampuan apabila meneruskan pemberian cendol percuma kepada orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin.

Menurut Farhan, sejak dari awal pembukaan Cendol Bakar cendol percuma kepada golongan itu tidak dilupakan sehingga sekarang.

"Saya mahu beri peluang kepada golongan ini menikmati cendol seperti pelanggan lain...biar mereka dapat nikmati produk kami.

“Sebagai peniaga, kita kena saling bantu tangani masalah kenaikan harga minyak ini. Apa yang penting, mesej untuk tidak membebankan orang kurang berkemampuan ini diharapkan ‘sampai’ sekali gus dapat membantu.

"Kita mahu semua pihak buka mata dengan bebanan yang terpaksa ditanggung disebabkan kenaikan minyak,” katanya.

Sejarah Cendol Bakar

CENDOL Bakar penuh dengan keunikannya tersendiri. Bukan sahaja namanya yang mampu mengelirukan pelanggan, namun tawaran demi tawaran yang dibuat pemiliknya kepada pengunjung gerai menjadikan premis tepi jalan ini begitu menyerlah dan popular.

Di Kuala Selangor, Cendol Bakar sudah begitu sinonim. Pendek kata, penduduk di kawasan itu sudah biasa merasa malah mungkin menjadi pelanggan tetap.

Cendol Bakar tiada kaitan dengan cara pembuatannya. Ia tidak dibakar malah cara penyediaannya sama seperti cendol lain. Sebaliknya, pemilik gerai menggunakan nama datuknya Bakar (Abu Bakar Saidin) untuk perniagaannya itu.

Cendol Bakar tidak 'menipu' pelanggan itu diakui beberapa pelanggan. Mereka tertarik kerana keunikannya yang menyediakan konsep pandu lalu.

Tindakan pemilik Cendol Bakar menyediakan laluan pandu lalu kepada pelanggannya dipuji kerana pelanggan tidak perlu beratur panjang di kaunter untuk dapatkan cendol.

Bagi seorang pengunjung, Tengku Suzila Tengku Ismail, 39, dia tertarik untuk membeli cendol di situ disebabkan ada khidmat pandu lalu.

“Saya langsung tak terfikir cendol di sini dibakar. Memang dah dapat agak mungkin itu nama pemiliknya. Lagipun tak ada kesan terbakar...tapi saya adalah tertanya-tanya kenapa namanya Cendol Bakar.

“Bila datang, saya jadi seronok sebab ada pandu lalu...itukan satu yang baru dan memang buat saya tertarik untuk datang. Tempat pun menarik, ada macam-macam jenis,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Noraini Abd Hamid, 47, akui tidak tertipu dengan nama cendol yang mungkin telah mengelirukan orang ramai.

“Saya memang tahu itu nama bukannya dibakar. Tapi tak tahulah kalau orang lain anggap cendol itu dibakar. Kalau betul dibakar memang ajaiblah. Saya dah pernah makan memang sedap. Memang tak ada kesan terbakar pun,” katanya berseloroh.

Kredit SINAR HARIAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text