Social Icons

Jumaat, 10 Oktober 2014

Belanjawan 2015 - Apa Respon Dan Komen Rakyat

Sekadar memaparkan apa yang dilihat dan dirasai rakyat bawahan. Mereka juga berupaya menilai...

Mujurlah Ada BR1M....

Apakah yang menariknya Bajet 2015 yang bertemakan EKR atau Ekonomi Keperluan Rakyat yang dibentangkan oleh Najib Razak kali ini?

Rata-rata orang ramai bertanya di manakah istimewanya bajet kali keenam yang dibentangkan Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ini setelah rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen pada 2 Oktober lalu.

Satu-satunya yang dianggap menarik dan boleh dijadikan bahan utama berita hanyalah kenaikan jumlah BR1M daripada RM650 kepada RM950 bagi yang berpendapatan di bawah RM3 ribu sebulan dan kenaikan daripada RM450 kepada RM750 bagi yang berpendapatan antara RM3 ribu hingga RM4 ribu.

Bayaran BR1M yang akan dibuat secara ansuran tiga kali setahun ini diprercayai untuk mengurangkan beban kehidupan rakyat berikutan kenaikan harga minyak yang dikecam orangramai kerana diumumkan hanya menjelang tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

BR1M bagi orang bujang pula dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Ketika memberikan reaksinya mengenai kenaikan harga minyak baru-baru ini, Najib menjelaskan kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular itu demi kepentingan rakyat dalam jangka masa panjang.

Namun dengan terus menaikkan jumlah pemberian tunai melalui BR1M, tidak lain ia adalah langkah untuk terus popular yang diambil kerajaan kepada rakyat berpendapatan rendah. Dengan menjadikan pemberian itu sebanyak tiga kali setahun, kerajaan seolah-olah cuba meletakkan pergantungan yang berterusan antara rakyat kepada kerajaan.

Adalah diyakini menjelang tahun-tahun akan datang di mana tarikh pilihanraya umum semakin dekat, dengan jumlah bayaran BR1M ini terus ditambah, tiada lain yang diharapkan kerajaan selain mahu terus popular dan disanjung rakyat.

Sekurang-kurangnya, walau dalam kehidupan yang semakin sukar dan kos hidup kian meningkat, rakyat dipaksa mengingati kerajaan yang dianggap murah hati memberikan mereka wang tunai sebanyak tiga kali setahun.

Dalam masa yang sama, dengan bertambahnya jumlah BR1M bermakna lebih banyak subsidi yang melibatkan petrol, diesel, gula, tepung dan barangan pengguna lainnya akan terus ditarik dan dikurangkan daripada semasa ke semasa.

Jika tidak, bagaimanakah kerajaan mahu menampung pertambahan jumlah pemberian tunai melalui BR1M ini?

Atau mungkin juga bertambahnya pemberian tunai ini akan menyebabkan hutang negara terus meningkat tahun demi tahun.

Nampaknya, sejak beberapa tahun lalu dan akan datang, hanya BR1M inilah satu-satunya senjata Najib untuk terus meraih populariti di kalangan rakyat.

Lain-lain kandungan bajet kali ini seperti bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan, pengekalan baucer buku RM250, Ron95 dan diesel tidak dikenakan GST, projek pembangunan, beberapa lebuhraya baru, tambahan MRT, penambahan tiang lampu di kampung-kampung, rebat untuk pinjaman PTPTN dan sebagainya lagi yang diumumkan Najib, bolehlah dianggap sebagai perkara biasa dan tiada yang mengejutkan sama-sekali.

Walaupun Najib juga mengumumkan anggota pentadbiran kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri ditangguhkan kenaikan gaji mereka tetapi dengan kenaikan gaji Ahli Parlimen dan Senator yang diumumkannya bermula Januari 2015 depan, bermakna anggota pentadbiran yang secara automatik daripada kalangan Ahli Parlimen dan Senator, turut juga menerima kenaikan pendapatan mereka.

Barangkali tiadalah lagi rungutan seperti yang diluahkan oleh Shahidan Kassim bahawa gaji Ahli Parlimen Uganda dua kali lebih tinggi daripada Ahli Parlimen negara kita sehingga kononnya ada yang "mengikat perut" dalam kehidupan seharian.

Secara kasarnya, selain BR1M terus menjadi alat populis kerajaan kepada rakyat, di ketika Najib acapkali menyatakan beliau tidak mengurus negara bersandarkan populis, hakikatnya pendekatan itulah yang terus dilakukannya tahun demi tahun. ( SH 10/10/2014)

KREDIT SUMBER: BLOG SHAHBUDIN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text